AS gesa Georgia layan bekas presiden mogok lapar secara bermaruah


Rakyat Georgia turun ke jalan raya pada 15 November lalu membantah penahanan bekas presiden Georgia Mikheil Saakashvili. Amerika Syarikat hari ini turut menggema nada sama dengan menggesa kerajaan negara itu memberi layanan yang berperikemanusiaan terhadap Saakashvili yang sedang mogok lapar sejak 49 hari lepas. – Gambar EPA, 19 November, 2021.

AMERIKA Syarikat menggesa Georgia memberikan layanan berperikemanusiaan kepada bekas presiden yang dipenjarakan, Mikheil Saakashvili, yang sedang mogok lapar sejak berminggu-minggu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Kami gesa kerajaan Georgia melayan Encik Saakashvili secara baik dan bermaruah,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Rice pada Khamis.

“Kami juga desak kerajaan Georgia pastikan Encik Saakashvili dapat hadir ke semua perbicaraan mahkamah untuk kes jenayahnya yang belum selesai, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Saakashvili, yang enggan makan sejak 49 hari membantah hukuman penjaranya selepas pulang dari buangan di Ukraine. Beliau kini dipindahkan ke hospital penjara kerana kesihatannya semakin merosot.

Pada Rabu, sebuah majlis perubatan yang ditubuhkan oleh pegawai Nino Lomjaria berkata selepas memeriksa Saakashvili “status semasanya didapati kritikal” dan beliau berhadapan risiko maut “dengan cepat”.

Reformis pro-Barat berusia 53 tahun itu berkata beliau dipukul pengawal di penjara.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa telah mengecam layanan terhadap Saakashvili, menggelarnya sebagai dendam politik.

Beberapa penggubal undang-undang pembangkang juga telah membuat mogok lapar selama beberapa hari, menuntut rawatan perubatan yang sewajarnya untuk Saakashvili, seruan yang turut digema oleh Amerika Syarikat dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. – AFP, 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen