Jeffrey kenang memori ditahan ISA 33 tahun lalu


Jason Santos

Jeffrey Kitingan berkata beliau lega kini isu Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian 20 perkara Sabah mendapat perhatian seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2024.

JEFFREY Kitingan masih tidak lupa kenangan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hari ini, pada usia 75 tahun, beliau kadang-kala masih emosional mengenangkan ada perkara yang beliau terlepas ketika ditahan di kem tahanan Kamunting.

Dipenjarakan dua tahun setengah memang memberi kesan buruk kepada sesiapa juga, dan bagi Jeffrey, beliau masih sedih dengan mereka yang pernah mengkhianatinya, dan melalui waktu sukar sepanjang ditahan.

Tetapi Jeffrey mampu kekal bertenang dan tidak hilang akal dengan mengalihkan fikirannya kepada menulis puisi dan lagu, malah belajar untuk memaafkan individu yang bertanggungjawab menyebabkan beliau ditahan 33 tahun lalu.

“Bila orang tanya pengalaman saya, saya jadi emosional. Baru beberapa hari lalu, saya ditanya tentang mereka yang mengkhianati saya, dan saya tidak sanggup dan hanya berlalu dari mereka,” katanya pada satu forum anjuran Sabah Way Forward dan KupiKupiFM sempena mengingati tahun ke-33 beliau ditahan ISA.

Jefferey ditahan pada 13 Mei, 1991 mengikut Seksyen 73 ISA kerana didakwa terbabit dalam plot membawa Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia – di mana beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Beliau bertegas mengatakan tidak pernah ada plot sedemikian; dan beliau menjadi sasaran pendakwaan politik kerana mempertikaikan alasan Kuala Lumpur yang menafikan hak Sabah seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963, khususnya berkaitan perjanjian 20 perkara.

Jeffrey berkata beliau menjadi sasaran berikutan ketegangan antara Kuala Lumpur dan kerajaan negeri Sabah yang diketuai Parti Bersatu Sabah pada 1990-an.

Susulan kemenangan pilihan raya parti itu, beliau berkata kerajaan persekutuan menafikan dana pembangunan kerajaan negeri, sebaliknya memilih untuk menyalurkan dana menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan.

Rasa tidak puas menyebabkan beliau mempersoalkan layanan kerajaan persekutuan terhadap Sabah, mendakwa ia tidak menghormati perjanjian 20 perkara dan hak negeri.

Beliau percaya perdana menteri pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad melihatnya sebagai pengacau dan menyasarkannya untuk didakwa.

Jeffrey berkata beliau pada masa itu sudah pun disiasat pihak berkuasa atas pelbagai alasan termasuk isu cukai pendapatan dan rasuah sebelum kemudiannya ditahan.

Katanya, sepanjang ditahan keadaan amat sukar kerana beliau juga terpaksa melihat kegilaan tahanan lain.

“Saya lihat ada tahanan cuba bunuh diri, panjat dinding dan hentak kepala kerana kecewa. Tetapi saya beritahu diri sendiri yang saya tidak akan jadi seperti itu. Saya beritahu diri, saya ada di sini untuk belajar tentang sifat sendiri,” katanya.

Susulan pembebasannya pada Januari 1994, Jefferey mengembara ke Himalaya, di mana beliau dapat memahami dirinya dengan lebih baik, dan melakukan yoga serta menyertai budaya tempatan.

Beliau mengaku tidak berdendam kepada Dr Mahathir atas penahanannya.

Sebaliknya, beliau memaafkannya walaupun Dr Mahathir melabelnya gila dan pernah memberi amaran “jangan ajar rakyat benda yang mereka tidak tahu” merujuk kepada hal Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian 20 perkara.

“Saya tidak balas dendam. Saya lepaskan, saya teruskan hidup. Saya harap Dr Mahathir akan terus ada hingga akhir perjuangan untuk hak negeri,” katanya.

Hari ini, Jeffrey percaya ketabahannya dalam memperjuangkan hak Sabah sudah membuahkan hasil kerana Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian 20 perkara kini menjadi isu negara. – 14 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen