KERAJAAN Selangor dan Putrajaya perlu berhenti menyalahkan satu sama lain dan segera mencari jalan penyelesaian bersama bagi mengatasi krisis air negeri termaju Malaysia itu.
Presiden Persatuan Penduduk Petaling Gardens, Andrew Chan Yik mengatakan, bagi penduduk siapa yang bersalah kini bukan lagi keutamaan kerana yang lebih penting adalah krisis air dapat diatasi dengan segera.
Masalah seperti tekanan air tinggi, air kotor dan ganguan air sering menjejaskan penduduk Petaling Gardens sejak tiga tahun lepas, katanya.
Krisis air di Selangor telah berlaku sejak 1998 dan krisis terbaru negeri ditadbir pembangkang itu adalah masalah gangguan bekalan air berlaku selama lima hari.
Ia disebabkan kerja - kerja baik pulih Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor mulai 6 hingga 9 Mac lepas.
Bagaimanapun, tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak, dua daripadanya pecah.
Kejadian luar jangka itu menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terus terputus bekalan air sehingga hari ini.
Chan berkata meskipun penduduk kawasan itu tidak terjejas dengan kerja- kerja pembaikan tersebut namun bekalan air sering terputus sebelum ini.
Seorang ahli Persatuan Penduduk Petaling Gardens, Jane Kweh pula berkata pihak yang bertanggungjawab perlu melunaskan janji untuk menyelesaikan masalah tersebut
“Jika mereka janji kerja pembaikan memakan masa tiga hari, jadi kena ada bekalan air selepas tiga hari.”
Kweh turut mengkritik perkhidmatan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwanya tidak memuaskan.
“Perkhidmatan mereka teruk, mereka kata bekalan air akan ada jam 10 pagi tapi bila tunggu tidak ada.”

Berang, tapi tidak akan tukar kerajaan
Krisis air yang berlaku di negeri ditadbir pembangkang itu dikritik hebat kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri Najib Razak berjanji yang BN akan menyelesaikan masalah air di Selangor jika berjaya merampas kembali negeri itu.
Tetapi, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya meminta kerajaan negeri tidak dipersalahkan kerana krisis itu.
Seorang penduduk Selangor, Badaruddin Ahmad, 47 mengakui agak marah dengan kerajaan negeri kerana krisis air itu tetapi menegaskan kemarahan itu tidaklah sampai kepada tahap ingin menukar kerajaan.
Badaruddin berkata biarpun wujud rasa marah kerana kehidupan keluarganya terjejas kerana gangguan air selama lima hari tetapi beliau memahami perkara itu di luar kawalan pihak berwajib.
“Lima hari tidak air memang susah, saya ada lima orang ahli keluarga, anak- anak dah sekolah, pagi- pagi kita nak mandi nak kerja, nak solat, bila tidak air semua kerja susah nak buat.
“Tapi saya tidaklah sampai mahu tukar kerajaan, bagi saya ia masih bukan faktor lagi,” katanya yang tinggal di Seksyen 16, Shah Alam lebih lapan tahun.
Seorang lagi penduduk yang mahu hanya dikenali sebagai Adam turut berpandangan sama, marah dengan kerajaan negeri kerana gagal menguruskan krisis itu dengan baik.
“Seperti saya, lima hari saya tidak air. Duduk di rumah lagi susah kita nak angkut air dari bawah tiap- tiap hari.
“Lepas itu saya cakap kerajaan negeri tidak efektif kerana macam rumah kami, rumah flat tapi, mereka cuma letak dua tong air satu flat memang tak cukup, kata Adam yang tinggal di Seksyen 28, Shah Alam.
Adam yang bekerja sebagai peniaga turut mengakui gangguan bekalan air menyukarkan kehidupan peniaga.
“Memang susah nak berniaga, air yang diletakkan tak cukup, jadi biasa kita ambil dekat masjid jaraknya dalam 200 meter dari rumah.”
Pemuda berusia 25 itu bagaimanapun menolak dakwaan yang kononnya ketiadaan air adalah serangan politik ditujukan kepada kerajaan Selangor.
“Saya tidak rasa ada permainan politik sebab kalau kita tengok krisis air bukan sekali dua, selalu sangat (berlaku).”
Normazura Mohd Tahir, 57, pula tidak menyalahkan kerajaan Selangor berhubung krisis air kerana pengumuman awal sudah dilakukan.
“Sebab dah diberitahu awal lagi. Jadi kami memang dah isi air siap-siap,” katanya yang sudah 32 tahun tinggal di Seksyen 20, Shah Alam.
Suri rumah itu berpandangan isu air telah dipolitikkan BN dan menjangkakan akan lebih banyak serangan terhadap kerajaan Selangor akan berlaku.
“Ya, saya rasa ini mainan politik BN dan tak terkejut jika ada lagi perkara lebih buruk akan dimainkan oleh BN sebab nak pilihan raya. – 11 Mac, 2018.

Komen