PERDANA Menteri Najib Razak mengulangi kenyataannya bahawa BN mampu menyelesaikan masalah “semudah” bekalan air di negeri Selangor kerana telah terbukti berjaya melakukan perkara lebih kompleks daripada itu.
Menurut Najib, projek kereta api Mass Rapid Transit (MRT) disiapkan dengan jayanya dan mampu melaksanakan pelbagai perkara lagi sekiranya diberikan mandat mentadbir Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kalau kita sebut Selangor sehari dua ini apa masalah dia? Air. Air bukanlah satu kemudahan yang amat sukar. Kalau kita boleh laksanakan MRT, keretapi tanpa pemandu, takkanlah masalah air tak boleh diselesaikan,” kata beliau.
Najib berucap semasa sambutan Ulang Tahun ke-46 Jabatan Relawan Malaysia (Rela), hari ini.
Tanpa menyatakan nama mana-mana pihak, Najib berkata pihak lawan hanya membangkitkan isu di media sosial tetapi tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.
“Kita lihat sehari dua ini memang ada perbuatan demikian melalui media sosial, tulisan-tulisan tertentu tetapi bagi kita, mereka mempunyai agenda tertentu, untuk mereka mengaut kekuasaan politik dengan apa cara sekalipun.
“Mereka tidak memaparkan agenda yang lebih membina. Dan sudah tentu mereka tak ada kemampuan seperti mana yg telah dilakukan kerajaan kita,” kata beliau.
Masalah berkalan air di sekitar Lembah Kelang yang berlarutan sejak Selasa lalu menjadi modal politik bagi pemimpin dan penyokong BN untuk menyalahkan pentadbiran kerajaan pimpinan PKR di negeri itu.
Bagaimanapun, Menteri Besar Azmin Ali sebaliknya berkata, kerajaan negeri tidak harus dipersalahkan kerana gangguan bekalan air itu berpunca dari kerja pembaikan sebuah loji rawatan di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Menurut Azmin, kejadian yang berlaku di loji itu adalah di luar kawalan kerajaan negeri kerana pentadbirannya sudah mengambil langkah proaktif bagi penyelenggaran.
“Jadi semua tuduhan perdana menteri yang kami gagal mengurus air, masalah bekalan air dan kekurangan air, adalah tak berasas,” katanya semalam.
Beliau mengulas kenyataan Najib pada Rabu lalu yang menyebut, BN akan menyelesaikan krisis air di Selangor sekiranya berjaya menguasai semula pentadbiran negeri itu.
Laporan hari ini menyebut, hampir 50 peratus dari 427 kawasan di sekitar Lembah Klang masih terjejas akibat keputusan bekalan berkenaan.
Kerajaan negeri menjangka bekalan berkenaan dijangka pulih sepenuhnya esok. – 10 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan