ISU penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual dan pencabulan hak asasi manusia terhadap kanak-kanak memerlukan tindakan pantas, kata Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Othman Said.
Beliau dalam satu kenyataan berkata penubuhan cawangan suruhanjaya kanak-kanak bebas di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) seperti dipersetujui oleh Kabinet akan melaksanakan empat fungsi utama.
Empat fungsi suruhanjaya itu ialah:
i. Menggalakkan kesedaran dan pendidikan mengenai hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang ramai;
ii. Menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal undang-undang, arahan dan prosedur pentadbiran, dan mengesyorkan tindakan yang perlu diambil;
iii. Menasihati kerajaan mengenai kewajipan antarabangsa di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak dan perjanjian antarabangsa lain yang berkaitan;
iv. Mengadakan inkuiri dan menjalankan siasatan terhadap aduan pencabulan hak kanak-kanak.
Azalina melahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinet kerana bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya kanak-kanak itu.
Semalam, Anwar berkata kerajaan bersetuju menubuhkan cawangan autonomi Suhakam yang khusus untuk kanak-kanak.
Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan penganiayaan terhadap kanak-kanak dan pelbagai isu sosial yang mereka hadapi.
Beliau juga berkata nama pesuruhjayanya akan diumumkan kemudian.
Mengenai perkara ini, Azalina berkata pesuruhjaya akan mengetuai proses penggubalan akta khusus untuk suruhanjaya itu sepanjang tempoh pelantikan mereka. – 19 Januari 2023.
Komen