PUTRAJAYA bersetuju untuk menubuhkan cawangan khas autonomi untuk kanak-kanak yang akan diletakkan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), kata Anwar Ibrahim hari ini.
Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan penganiayaan dan pelbagai isu sosial yang dihadapi oleh kanak-kanak.
“Terlalu banyak masalah gangguan, penderaan dan masalah sosial berkaitan kanak-kanak,” kata Anwar pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata penubuhan cawangan khas itu akan dimulakan serta-merta.
Beliau juga berkata timbalannya Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan jawatankuasa sosial khas untuk mengkaji isu yang dihadapi oleh kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri juga akan menjadi sebahagian daripada jawatankuasa itu, tambah Anwar.
Beliau berkata nama pesuruhjaya itu akan diumumkan kemudian oleh salah seorang menteri.
Awal bulan ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan penubuhan suruhanjaya bebas untuk lebih menjaga kesejahteraan kanak-kanak di negara ini. – 18 Januari, 2023.
Komen