Parlimen penentu kestabilan politik dan perpaduan negara


Fakhrurrazi Rashid

Parlimen merupakan institusi penting dalam menentukan kestabilan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari 2023.

POLITIK United Kingdom (UK) agak unik pada 2022, apabila berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri dalam setahun. Ia dimulakan dengan perletakan jawatan Boris Johnson sebagai perdana menteri pada 7 Julai 2022 kerana terpalit dengan skandal dan melanggar sekatan pergerakan Covid-19.

Penggantinya, Liz Trus hanya bertahan 50 hari setelah dasar ekonominya dan belanjawan pemotong cukai mendapat tentangan ahli Parlimen parti Konservatif, menjadikan dia sebagai perdana menteri yang memegang jawatan paling singkat dalam sejarah politik UK.

Rishi Sunak dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Liz Trus pada 25 Oktober 2022 dan masih berkhidmat sehingga hari ini. 

Kemelut pertukaran perdana menteri UK berlaku ketika parti Konservatif selaku parti pemerintah, mempunyai jumlah majoriti selesa di Parlimen. Situasi ini agak berbeza dengan pandangan biasa bahawa parti kerajaan  yang ada majoriti selesa lebih stabil dan kukuh.

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) juga menghadapi detik cemas pada permulaan tahun 2023 setelah proses memilih speaker dilakukan sebanyak 15 pusingan pengundian. Kedudukan majoriti parti Republikan di Dewan Perwakilan sepatutnya memberi kelebihan kepada calon speaker parti itu, Kevin McCarthy menang dengan mudah.

Perpecahan undi dalam kalangan Ahli Dewan Perwakilan Republikan menyukarkan McCartny mendapat undi majoriti mudah sebagai speaker. Menariknya, ini adalah kali pertama speaker tidak dipilih pada undian pusingan pertama dalam tempoh 100 tahun dalam Dewan Perwakilan AS.

Malah, pemilihan speaker Dewan Perwakilan AS amat penting memandangkan jawatan ini paling tinggi selepas naib presiden AS, dan dia boleh menjadi presiden sekiranya AS ketiadaan presiden dan naib presiden. 

Cabaran demokrasi

Demokrasi negara-negara besar menyusuri jalan mencabar. Jumlah majoriti di dalam badan perundangan tidak lagi menjamin kestabilan dan memudahkan urusan membuat keputusan. Situasi ini dijelaskan A.C.Grayling, seorang ahli akademik dan falsafah UK dalam bukunya, Democracy and its Crisis.

Katanya, pemerintahan majoriti dalam sistem demokrasi hari ini tidak lagi mampu mewujudkan kestabilan dan keseimbangan dalam badan perundangan.

 Ia sedikit menjejaskan kekuatan prinsip semak dan imbang dan berlaku pemusatan kuasa yang besar kepada eksekutif, seperti sistem demokrasi di UK pasca Brexit dan pasca pemerintahan  Donald Trump di AS.

Grayling berpendapat perlu ada perubahan institusi yang lebih baik bagi memperkukuh sistem demokrasi seperti memperkemas undang-undang bagi mengatasi salah guna kuasa dan mekanisme berkesan bagi mengurus perbezaan pandangan yang timbul dengan cermat.

Sistem demokrasi Malaysia yang masih muda berbanding UK dan AS, turut berada dalam fasa perubahan dengan cabaran baharu. Situasi Parlimen tergantung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali lagi menguji kestabilan politik negara. Tidak ada satu pun gabungan parti politik boleh menubuhkan kerajaan.

Namun, kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan antara gabungan parti politik diterajui Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 adalah formula baharu untuk mengatasi situasi Parlimen tergantung.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang dipinda sebelum PRU15 bagi menghalang ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah dibentang agar tidak berlaku lagi percaturan politik yang memanipulasi sistem demokrasi berparlimen demi kepentingan tertentu. 

Keterbukaan Anwar membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat pada 11 Disember lalu adalah satu permulaan baharu dalam mengangkat fungsi Parlimen setelah peranan institusi ini hampir lumpuh di bawah pentadbiran terdahulu.

Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah satu kesedaran dan komitemen anggota pentadbiran untuk mengekalkan kestabilan politik meskipun mempunyai majoriti di dalam Parlimen. 

Pusat kestabilan dan perpaduan

Faktanya, Parlimen akan menjadi tumpuan rakyat dan menjadi institusi penting dalam menentukan kestabilan politik di Putrajaya dalam tempoh lima tahun. Menyedari hakikat ini dan iktibar daripada insiden politik di dalam dan luar negara, banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan untuk memperkukuh institusi Parlimen bagi mengatasi polemik politik yang sering menjejaskan kesejahteraan rakyat. 

Memorandum Transformasi Parlimen yang diserahkan kepada perdana menteri oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara pada 29 Disember lalu menjadi penggerak dan rujukan utama dalam memacu agenda reformasi Parlimen dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Agenda reformasi Parlimen Malaysia perlu diperkemas dan mempunyai perancangan jelas dalam menambah baik fungsi Parlimen. Parlimen Malaysia boleh mengambil contoh komitmen Parlimen Pakistan yang membuat satu blueprint National Assembly Strategic Plan 2019-2023 bagi membangunkan sebuah badan perundangan yang demokratik, inovasi, dan berfungsi di republik Islam itu, selaras dengan era digital.

Penting juga untuk Parlimen sentiasa mendekati rakyat atau istilah popular digunakan adalah ‘Merakyatkan Parlimen’. Parlimen Malaysia perlu dilihat sebagai institusi yang menyatukan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran-cabaran luar biasa pada era digital dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Rasa kemanusiaan, empati, solidariti, dan perpaduan harus menjadi perkara penting yang perlu diterapkan dalam institusi Parlimen agar nilai dan peranannya benar-benar dihargai oleh rakyat.

Usaha menambah baik akses maklumat dan informasi di Parlimen kepada orang awam mampu memupuk masyarakat yang boleh membuat pertimbangan berdasarkan fakta dan hujah dalam sesuatu isu semasa.

Pendekatan ini dapat menghakis prasangka buruk dan memerangi informasi tidak benar yang sering memainkan sentimen emosi rakyat, khasnya golongan belia.

Pemimpin dan rakyat perlu bekerjasama dalam memainkan peranan masing-masing bagi mengangkat sistem demokrasi berparlimen ke tahap yang lebih baik agar ia tidak lagi dipandang seperti ‘sarkas’ dan gelanggang gusti ahli Parlimen memainkan sentimen politik yang merugikan negara. – 15 Januari 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen