11 petisyen pilihan raya akan diputuskan oleh mahkamah, kata sumber


Ravin Palanisamy Noor Azam Shairi

Sebanyak 11 petisyen pilihan raya difailkan di mahkamah tinggi selepas berakhir tempoh yang ditetapkan mengikut undang-undang bagi mencabar keputusan PRU15 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

SEBELAS petisyen pilihan raya difailkan di mahkamah tinggi selepas berakhir tempoh yang ditetapkan mengikut undang-undang bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata beberapa sumber peguam dan parti politik.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon atau pengundi di sesebuah kawasan pilihan raya boleh mengemukakan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya berkenaan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan diterbitkan dalam warta kerajaan.

Tempoh 21 hari itu berakhir pada 3 Januari, berikutan warta yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Disember 2022.

Sebelas petisyen itu melibatkan empat kawasan parlimen di Sabah, tiga di Terengganu dan masing-masing satu di Kelantan, Melaka, Johor, dan Sarawak.

Dua sumber parti politik turut memberitahu The Malaysian Insight, SPR juga hanya menyiapkan keputusan penuh dan terperinci bagi 211 daripada 222 kerusi Parlimen, berdasarkan suratnya kepada parti-parti politik Isnin lalu.

“Baki 11 kerusi itu ada petisyen pilihan raya,” kata seorang sumber.

Lima daripada 11 kerusi itu dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN), empat oleh PAS dan satu oleh Bersatu. Tiga kerusi dimenangi Pakatan Harapan, masing-masing satu oleh PKR, DAP, dan UPKO, sementara tiga kerusi lagi dimenangi Barisan Nasional (BN) melalui Umno, GPS melalui PRS dan seorang calon bebas.

Dua sumber parti politik turut memberitahu The Malaysian Insight, SPR juga hanya menyiapkan keputusan penuh dan terperinci bagi 211 daripada 222 kerusi Parlimen, berdasarkan suratnya kepada parti-parti politik Isnin lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

Seorang peguam yang mengendalikan petisyen berkenaan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mengesahkan lima petisyen dikemukakan terhadap kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).

The Malaysian Insight difahamkan kelima-lima petisyen itu dibuat dengan alasan berlaku sogokan dan rasuah kepada pengundi semasa pilihan raya umum lepas.

“Di Terengganu, ada petisyen untuk Kuala Terengganu, Kemaman, dan Marang, kemudian ada petisyen untuk Gua Musang di Kelantan dan Masjid Tanah di Melaka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Petisyen di Gua Musang dikemukakan oleh seorang pegundi Mohd Azmi Mahmood yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada PRU15 Tengku Razaleigh – wakil rakyat 11 penggal – kalah dengan hanya 163 undi kepada calon PN Mohd Azizi Abu Naim dari PAS.

“Bagi Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman, dua petisyen difailkan oleh calon yang kalah dan satu lagi oleh pengundi.

“Di Masjid Tanah, petisyen dibuat oleh calon yang kalah,” tambah Baharudeen.

Tiga kerusi di Terengganu itu dimenangi calon PAS termasuk Marang oleh presidennya Abdul Hadi Awang. Kerusi Masjid Tanah dimenangi bekas timbalan menteri Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu.

Menurut Baharudeen, peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah akan mengetuai pasukan peguam bagi pihak pempetisyen kerusi Parlimen Gua Musang.

Selain Baharudeen, pasukan peguam itu terdiri daripada Mohd Hafarizam Harun, Abu Bakar Isa Rahmat, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman. 

Peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah akan mengetuai pasukan peguam bagi pihak pempetisyen kerusi Parlimen Gua Musang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2023.

Sebahagian peguam sama juga akan mengendalikan petisyen bagi Masjid Tanah.

Media sebelum ini melaporkan mengenai petisyen pilihan raya yang difailkan terhadap keputusan bagi kerusi Parlimen Tenom dan Lubok Antu.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony yang ditolak pencalonannya pada hari penamaan calon memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari untuk mencabar keputusan SPR terhadapnya.

Pada hari sama, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Lubok Antu Dr Johnichal Rayong Ngipa mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuching untuk membatalkan keputusan PRU15 itu. Beliau kalah 100 undi kepada Roy Angau anak Gingkoi dari GPS.

Sumber turut memberitahu The Malaysian Insight, empat lagi keputusan PRU15 yang dicabar di mahkamah ialah bagi kerusi Parlimen Segamat, Putatan, Sandakan dan Tuaran yang dimenangi presiden UPKO Madius Tangau dengan majoriti 233 undi.

Semua petisyen ini perlu diputuskan oleh mahkamah pilihan raya tidak lebih enam bulan dari tarikh ia dikemukakan, mengikut Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sekiranya hakim pilihan raya memutuskan menerima petisyen yang dikemukakan, mahkamah akan memutuskan pilihan raya pada 19 November lalu bagi kawasan berkenaan terbatal dan SPR akan mengeluarkan notis untuk pilihan raya semula.

Bagaimanapun pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah pilihan raya boleh juga membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, dan rayuan itu akan juga diputuskan dalam masa enam bulan. – 15 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen