Dr Mahathir patut jaga parti sendiri, kata Ku Nan


Radzi Razak

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Dr Mahathir Mohamad tidak patut mengganggu proses undang-undang dalam hal pendaftaran partinya, ketika ditemui wartawan selepas melawat PPR Kepong, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 11 Mac, 2018.

PENGERUSI Bersatu Dr Mahathir Mohamad diminta jangan mengganggu proses undang-undang dan “menjaga partinya sendiri” yang kini berdepan dengan kemungkinan dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha agung Umno itu dalam mempertahankan tindakan RoS yang masih tidak meluluskan permohonan pendaftaran Bersatu dan Pakatan Harapan, berkata negara ini ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Dia (Dr Mahathir) patut jaga parti sendiri. RoS ada sebab (buat keputusan),“ katanya ketika ditemui wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mempersoalkan tindakan RoS yang dianggap cepat menyelesaikan masalah Umno yang didakwa melanggar Perlembagaan Parti itu. 

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu mendakwa agensi itu sengaja berlengah-lengah dalam isu pendaftaran parti Bersatu dan PH.

Minggu lalu, RoS mengeluarkan notis kepada PPBM yang antara lain memerlukan parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, atau berdepan risiko dibubarkan.

Dalam minggu yang sama, RoS mengesahkan kelulusan permohonan parti Umno untuk perlanjutan mengadakan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi bagi 2017.

RoS dalam kenyataan bertarikh 5 Mac berkata ia adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17, yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan, yang tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Menurut RoS, Umno menetapkan supaya pemilihan tersebut diadakan pada 19 April, 2019.

Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata seminggu sebelum itu bahawa Umno melanggar Perlembagaan Parti yang hanya memperuntukkan tarikh mesyuarat cawangan mereka hingga April tahun ini.

Haniff berkata RoS sepatutnya menggunakan penguatkuasaan yang saksama terhadap semua parti politik untuk mengadakan mesyuarat mengikut masa ditetapkan.

Dr Mahathir semalam berkata Bersatu mempunyai beberapa pelan tindakan yang bakal diambil sekiranya dibubarkan.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan pelan terbabit. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun M perlu la faham dan ikut presedure yang ada. PPBM sebuah parti baru, jadi memang ambik masa untuk approved.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan