Selepas 20 tahun, mampukah PAS terus pertahankan Permatang Pasir?


Looi Sue-Chern

Permatang Pasir sebelum ini menjadi milik Barisan Nasional sebelum PAS memenanginya pada Pilihan Raya Umum 1999. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018.

SELEPAS 20 tahun di bawah PAS, Permatang Pasir akan menjadi medan ujian untuk melihat sejauh mana pengaruh parti Islam itu, yang kini bukan sebahagian daripada pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Dipenuhi dengan rumah-rumah kampung, sawah padi, ladang, sekolah agama, kedai-kedai kecil di bandar, kedai makan kecil dan gerai di tepi jalan, kerusi negeri di bawah kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sehinggalah PAS menang pada pilihan raya umum (PRU) 1999.

Permatang Pauh ketika itu turut dilanda pergerakan reformasi berikutan pemecatan dan penangkapan ahli Parlimennya, Anwar Ibrahim pada 1998, yang merupakan timbalan perdana menteri.

PAS menjadi sekutu Anwar tahun itu, dan sejak itu terus memenangi Permatang Pasir dalam pilihan raya 2004 dan 2008 menerusi penyandangnya Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Selepas Hamdan meninggal dunia pada 2009, Mohd Salleh Man mengekalkan kerusi untuk PAS dalam pilihan raya kecil dan sekali lagi pada PRU 2013 dengan majoriti 6,826 undi. Ia adalah satu-satunya kerusi negeri yang berjaya dimenangi PAS sejak 1999.

Tetapi pada PRU 2018, parti mana yang akan menawan kerusi itu menjadi persoalan.

Peluang BN

Sekarang PAS dan PKR tidak lagi bersekutu, BN mungkin berpeluang merampas Permatang Pasir, kata pekerja kilang Amer Asari.

“Dalam pertandingan tiga penjuru, saya rasa BN boleh memenangi Permatang Pasir kembali. Ia dulu kuat di sini,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

Pertembungan tiga penjuru dijangka berlaku kerana PAS enggan menyertai PH, yang termasuk PKR, selepas berpecah daripada Pakatan Rakyat.

Amer berkata Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said juga bekerja keras di peringkat bawahan untuk memenangi pengundi.

Penyokong BN di sini, seperti peniaga gerai di tepi jalan Aman, mengalu-alukan kemungkinan kembalinya wakil BN selepas 20 tahun.

“Tidak banyak kebaikan mengundi pembangkang. Anda tidak akan menerima banyak manfaat. Saya juga tidak nampak wakil PAS yang dipilih muncul sepanjang tempoh penggalnya.”

Pengawal keselamatan pencen, Ahmad Bahari, 68, juga berkata dia menyokong BN kerana parti itu mempunyai sumber untuk memberi bantuan kepada rakyat.

Sekitar tiga suku pengundi Permatang Pasir adalah orang Melayu Islam, dan dengan undi Melayu mungkin berpecah tiga bahagian, pemandu bersara Lee percaya ini akan menjadikan pengundi Cina penting kepada PAS, PH dan BN. Pengundi Cina membentuk kira-kira 25% pengundi di Permatang Pasir.

“Ketiga-tiga parti menghantar orang untuk bertemu dengan pengundi Cina, malah membawa pelbagai barangan sebelum Tahun Baru Cina.

“Pemimpin Umno di sini bekerja keras, melawat sekolah-sekolah Cina di Permatang Pauh,” kata lelaki berusia 70-an itu merujuk kepada Zaidi.

Zaidi sendiri percaya BN mungkin akan meraih semula undi Cina, berdasarkan penerimaan masyarakat itu terhadap BN.

“Saya melawat enam sekolah Cina sekitar Permatang Pauh baru-baru ini untuk menyampaikan barangan sempena Tahun Baru Cina. Para gurunya lebih mesra berbanding tiga tahunlalu,” katanya.

Bagaimanapun, PAS tidak mengambil kira undi kaum Cina dan sebaliknya akan memberi tumpuan untuk memenangi lebih ramai pengundi atas pagar Melayu, yang membentuk kira-kira 30% undi Melayu, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Permatang Pauh Amir Hamzah Abdul Hashim.

“Berdasarkan tinjauan, kami menganggap semua undi Cina pergi kepada PH,” katanya.

Amir berkata walaupun PAS menjadi penyandang, peluang parti itu juga 50-50.

“Sebab itulah kami perlu terus bekerja keras di lapangan, pergi ke kampung, mengedarkan risalah dan menganjurkan ceramah.”

Menagih simpati dan pengundi atas pagar

Amanah, yang pemimpinnya berasal daripada puak progresif PAS, akan meletakkan calon untuk mewakili PH di Permatang Pasir.

Selain perpecahan sokongan orang Melayu antara Amanah dan PAS, Zaidi  daripada Umno percaya parti yang lebih baru mempunyai kekurangan jika ia meletakkan orang luar.

Seorang penduduk Permatang Pasir, Ismail, bersetuju.

 “Amanah masih baru. Siapa calonnya? (Sedangkan), PAS dan BN meletakkan orang tempatan,” kata lelaki berusia 51, yang bekerja sendiri dan enggan memberikan nama penuh.

Difahamkan Amanah memilih Timbalan Ketua Pemuda pusat Faiz Fadzil, anak kepada bekas presiden PAS Fadzil Noor dan seorang peguam, sebagai calon Permatang Pasir.

Ketua Pengerusi Permatang Pauh Amanah Dr Zaidi Zakaria berkata faktor Faiz bukan berasal dari Pulau Pinang tidak menjadi masalah, kerana parti-parti pembangkang pernah menghantar ramai calon untuk bertanding di seluruh negara dan tetap menang.

“Perkara utama adalah meletakkan calon boleh menang yang boleh melakukan tugas dengan profesional dan berkhidmat kepada rakyat dengan baik.”

Dr Zaidi juga menaruh harapan bagi sokongan terhadap Amanah yang berada di kawasan itu selama lebih dua tahun.

Sebahagian daripadanya mungkin melalui undi simpati ekoran serangan oleh pemimpin PAS terhadap Amanah.

“Pemimpin PAS pergi ke masjid dan menyerang pemimpin Amanah, memanggil mereka pengkhianat dan menuduh mereka menyimpang daripada ajaran Islam.

“Serangan kerap sebegitu membuatkan orang mempersoalkan sama ada Amanah benar-benar begitu buruk, ia turut menimbulkan rasa simpati,” katanya. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dengan situasi sekarang, BN boleh menguasai semula Permatang Pasir yang dirampas oleh PAS suatu ketika dulu. Rakyat sendiri akui yang wakil rakyat PAS hanya akan muncul bila menjelangnya pilihan raya. Sudah masanya rakyat menilai siapakah yang lebih layak menjadi wakil kepada suara mereka di Parlimen nanti.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan