Tuan Ibrahim ingatkan PAS musuh sebenar dalam setiap tulisannya


The Malaysian Insight

Tuan Ibrahim Tuan Man secara jelas menzahirkan kebenciannya terhadap Barisan Nasional dan pemimpinnya dalam setiap artikel yang ditulis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2017.

TIDAK syak lagi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah membentuk hubungan rapat dengan Perdana Menteri Najib Razak dalam tempoh lebih kurang 10 bulan lalu.

Ciri permusuhan yang sepatutnya ada di antara ketua kerajaan dan pembangkang juga hilang, digantikan keinginan yang sama untuk melindungi kuasa politik Melayu dan kedudukan utama agama Islam di Malaysia.

Perkembangan ini pasti agak menyakitkan bagi individu nombor dua PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Setiap kali beliau menulis esei atau artikel mengenai politik atau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jelas kelihatan kebencian beliau terhadap Barisan Nasional (BN) dan pemimpinnya.

Dalam artikel terbarunya yang disiarkan di harakahdaily.net, Tuan Ibrahim berkata ramai pemimpin negara ini jatuh ke dalam kategori pemimpin yang lemah atau gagal mengawal dirinya terhadap keinginan atau di mana mereka membenarkan orang bawahannya hidup bermewahan.

“Itu semestinya sudah dapat menjawab mengapa rasuah menjadi berleluasa, salah guna kuasa menjadi kebiasaan, keborosan menjadi budaya dan penipuan menjadi amalan. Bagi mereka, rakyat dijadikan sumber pendapatan, dan tidak lagi untuk dilindungi,” tulis beliau, sambil menambah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan tanpa mengambil kira umur atau sama ada rakyat Malaysia mampu membayarnya.

“Selain itu, penipuan dijadikan jalan keluar apabila ada mana-mana skandal yang terdedah. Apabila penipuan tidak berkesan, kuasa pula disalahgunakan. Contohnya laporan audit 1MDB sehingga hari ini masih di bawah OSA walaupun perdana menteri mengumumkan masalah 1MDB sudah selesai,” kata beliau merujuk kepada skandal yang melanda firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tuan Ibrahim juga menekankan perihal keputusan penjualan 49.9% pegangan saham Proton kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co.

Beliau hairan mengapa tiada seorang pun daripada para menteri menyentuh mengenai kesan penjualan terhadap Dasar Automotif Nasional.

Antara lain, dasar yang menggesa penglibatan Bumiputera dalam industri automotif.

“Apakah Geely akan memajukan Proton dan menyokong objektif Dasar Automotif Negara? Atau ia sekadar berminat untuk menguasai kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam untuk menghasilkan kenderaan Volvo? Tiada pimpinan negara yang mengambil berat mengenai persoalan-persoalan ini.

“Bagi mereka, mendapatkan pembeli bagi 49.9% kepentingan Proton adalah satu kejayaan. Mereka tidak bimbang tentang apa yang berlaku selepas itu,” kata timbalan presiden PAS itu, menyatakan tindakan yang sama berlaku kepada penyenaraian Felda Global Ventures (FGV).

“Yang dikejar hanyalah duit dan glamor, dan sekarang negara dan rakyat menanggung bebannya,” katanya.

Pendek kata, Malaysia memerlukan perubahan dalam kepimpinan dan memastikan pemimpin akan datang berkhidmat demi Allah dan rakyat.

Dan perubahan itu perlu berlaku sebelum ia terlewat, kata Tuan Ibrahim.

Berdasarkan apa beliau kata dan tulis sejak sekian lama, sukar membayangkan Tuan Ibrahim ingin menjalin hubungan rapat dengan pentadbiran Najib atau bekerjasama dengan Umno.

Ini adalah saat mengelirukan bagi ahli PAS. Mereka diminta memutuskan hubungan dengan sekutu yang berjuang bersama sejak sekian lama semasa berdepan PRU12 dan PRU13.

Ia juga pastinya menjadi tempoh mencabar bagi Tuan Ibrahim. Semua naluri dan kompas moral beliau mengarahkannya jauh daripada Najib dan Umno. – 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • semua parti politik musuh PAS ni. Lain dia cakap lain dibuatnya. tengoklah berapa ramai pemimpin PAS berpaling tadah dengan parti sendiri.

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan