PAKATAN Harapan (PH) mungkin berjaya mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor manakala Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan negeri pimpinan PAS Kelantan dan Terengganu apabila pilihan raya negeri diadakan, kata pakar politik.
Bagaimanapun, pakar percaya cubaan menawan Negeri Sembilan dan Kedah akan menjadi tumpuan utama dalam pilihan raya, dengan Barisan Nasional (BN) turut bertanding.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata kemungkinan besar PH akan berjaya mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang kerana rekod mereka di negeri itu serta sokongan di sana.
“Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri selamat untuk PH tetapi BN kuat di Negeri Sembilan terutamanya di kawasan luar bandar,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.
Beliau bagaimanapun percaya jika PH dan BN bekerjasama dan mempunyai pakatan pilihan raya, mereka boleh mempunyai peluang lebih baik untuk mengekalkan Negeri Sembilan malah turut menawan Kedah.
“Bila PH dan BN bergabung, mereka ada kelebihan. Bersama-sama, mereka boleh menang dan PH mungkin dapat mengekalkan Negeri Sembilan.
“Peluang di Kedah juga 50-50. Mungkin, dengan gabungan PH dan BN, jika ia berlaku, boleh memenangi Kedah juga,” tambah Mazlan.
Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menyuarakan pandangan serupa dengan Mazlan, berkata PH mempunyai peluang lebih baik untuk mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor.
“Daripada tiga negeri itu, saya rasa pertaruhan terbaik ialah Pulau Pinang dan saya rasa PH juga mempunyai peluang cerah di Selangor memandangkan ia menjadi kubu kuat PKR dan DAP.
“PH masih mempunyai kelebihan di Negeri Sembilan tetapi ia banyak bergantung kepada sama ada ia boleh mewujudkan gabungan atau pakatan pilihan raya dengan BN.
“Di Kedah, berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-15, PN masih mempunyai kelebihan yang besar,” kata Tunku Mohar.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin juga bersetuju mengenai perkara ini.
“Sudah tentu, apabila anda bercakap mengenai Pulau Pinang dan Selangor, ini adalah dua negeri paling selamat untuk PH,” katanya.
Sabtu lepas, selepas mesyuarat majlis presiden PH, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata keutamaan PH adalah untuk mengekalkan “negeri bentengnya” sambil mengambil peranan sebagai pembangkang yang kuat di Terengganu dan Kelantan.
PH mentadbir Selangor dan Pulau Pinang, kedua-duanya menang pada 2008, dan Negeri Sembilan, yang diambil alih pada 2018.
Saifuddin juga berkata PH mempunyai peluang yang sama untuk memenangi Kedah.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut, termasuk perbincangan mengenai kemungkinan bekerjasama dengan BN pada pilihan raya.
PH dan BN dilihat bekerjasama dalam pilihan raya Padang Serai, apabila calon BN bagi kerusi Parlimen, C Sivarraajh, memberi laluan kepada calon PKR Mohamad Sofee Razak.
Pilihan raya itu juga menyaksikan pemimpin BN dan PH, yang pernah menjadi musuh besar, berkongsi pentas yang sama untuk berkempen bagi calon itu, yang akhirnya melihat Sofee tewas kepada Azman Nasrudin daripada PN dengan majoriti 16,206. – 11 Januari, 2023.
Berita penuh di sini
Komen