Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dilanjutkan, kata Saifuddin 


Ravin Palanisamy

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan ia tidak akan mempertaruhkan keselamatan negara walaupun program lanjutan itu lebih fleksibel.– Gamgar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2023

PUTRAJAYA bersetuju Program Rekalibrasi Tenaga Kerja melibatkan warga asing sehingga akhir tahun ini, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri memberi jaminan walaupun program lanjutan itu lebih fleksibel, ia tidak akan mempertaruhkan keselamatan negara.

“Sehingga 31 Disember 2022, seramai 418,649 pendatang tanpa izin mendaftar untuk program itu menjadi pekerja asing yang sah.
 
“Dalam tempoh yang sama, seramai 295,425 pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal di bawah program itu,” kata Saifuddin pada sidang media hari ini.

Sidang media Saifuddin dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pengurusan pekerja asing di Malaysia.

Selain itu, Saifuddin juga berkata Putrajaya akan mewujudkan pelan khas bagi memenuhi permintaan oleh sektor yang memerlukan buruh asing.

Beliau berkata ini akan membolehkan majikan mengambil buruh asing dari 15 negara sumber tanpa perlu terlalu banyak birokrasi.

“Kerajaan akan mewujudkan pelan khas yang dipacu oleh unjuran keperluan buruh asing yang diperlukan oleh sektor yang menggaji pekerja asing di Malaysia. Pelan ini dipanggil Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

“Melalui pelan ini, majikan akan dibenar untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan.” kata Saifuddin.

Tambahnya, tawaran lanjut mengenai rancangan kerajaan akan didedahkan oleh kementerian tidak lama lagi.

Beliau juga berkata beberapa siri lawatan kerja delegasi Malaysia akan dilakukan ke negara sumber terpilih bertujuan membincangkan keselamatan dan kebajikan pekerja asing di Malaysia.

Minggu lalu, Saifuddin berkata pengurusan pekerja asing di Malaysia kini akan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri.– 10 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen