FUNGSI pengurusan pekerja asing di Malaysia kini akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri, kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Beliau berkata pihak berkepentingan seperti majikan, industri, persatuan dan pekerja asing tidak perlu bimbang dengan perubahan dasar ini yang dijangka bermula pada 15 Januari 2023.
“Ini kerana penjajaran semula fungsi ini tidak akan menjejaskan prosedur dan aliran permohonan penggajian pekerja asing sedia ada, memandangkan tumpuan kepada penjajaran semula lebih kepada tadbir urus,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sumber Manusia V Sivakumar di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini tugas itu dikongsi oleh kedua-dua kementerian sehingga menyebabkan kekeliruan dan kelewatan majikan mengambil pekerja asing.
Saifuddin dalam pada itu berkata, peranan Kementerian Sumber Manusia akan diperkukuh dalam aspek pematuhan kepada dasar buruh, penentuan kelayakan kuota dan memuktamadkan serta kerjasama dengan negara sumber.
Beliau juga berkata kedua-dua kementerian telah bersetuju dengan cadangan melonggarkan syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing ke tahap optimum, bagi mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.
“Antara lain, kelonggaran ini akan merangkumi usaha berterusan untuk memudahkan penilaian kelayakan menggaji pekerja asing, penelitian syarat kelulusan kuota dan proses imigresen serta tapisan keselamatan.
“Butiran perkara ini akan dimaklumkan kepada semua pihak berkepentingan dari semasa ke semasa,” katanya.
Saifuddin berkata, ini boleh memendekkan prosedur membawa pekerja asing ke negara ini kepada 30 hari atau kurang.
Beliau mendakwa bahawa keluaran dalam negara kasar negara boleh meningkat sehingga 1% pada suku pertama tahun ini jika pengambilan pekerja asing dipercepatkan.
Beliau juga berkata, kerajaan akan memastikan pengurusan pekerja asing di negara ini sentiasa berlandaskan kedaulatan undang-undang dalam masa yang sama hak setiap pekerja asing terpelihara.
Menurutnya sehingga 31 Disember, terdapat lebih 1.4 juta pekerja asing yang mendapat pas kerja sementara di negara ini.
Beliau berkata kebanyakan mereka adalah dalam sektor pembuatan, diikuti pembinaan dan perkhidmatan.
Tambah Saifuddin, pada 2022, Putrajaya telah meluluskan 676,070 daripada keseluruhan 1,606,724 permohonan kuota pekerja asing. – 5 Januari, 2023.
Komen