Cukong, PKR dan tatakelola lebih baik


Ruhan Shahrir

Tindakan pemilik syarikat konglomerat besar menempatkan politikus ke jawatan 'strategik' di syarikat mereka menjadi tanda tanya. – Gambar EPA, 6 Januari, 2023.

ROBIN Tan Yeong Chin meletakkan jawatan beliau sebagai pengerusi Syarikat 7-Eleven Malaysia untuk “meneroka bidang lain”, begitulah menurut laporan daripada beberapa portal berita.

Robin anak kepada Vincent Tan yang merupakan pemegang saham utama dengan kepentingan sebanyak 41.8% dalam Syarikat 7-Eleven. Ini berita biasa.

Tapi yang menjadikannya “sedikit luar biasa” adalah sosok yang menggantikannya – Farhash Wafa Salvador, bekas pengerusi PKR negeri Perak dan juga bekas setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, sekarang perdana menteri Malaysia.

Walaupun ia suatu tindakan yang “sedikit luar biasa” namun bukanlah di luar amalan kebiasaan untuk syarikat koporat melantik mereka yang ada “kabel kuat” dengan kuasa politik ke jawatan “strategik” dalam syarikat.

Dari sudut undang-undang, apa yang dilakukan oleh syarikat 7-Eleven itu tidak salah. Tambahan pula syarikat 7-Eleven bukanlah syarikat milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia kepunyaan swasta dan tentu sahaja dalam sistem pemerintahan demokrasi-liberal yang ditunjangi oleh idea kapitalisme, pasaran bebas dan kebebasan individu, ahli lembaga pengarah syarikat 7-Eleven berhak untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai, layak dan “strategik” untuk menjadi pengerusi syarikat mereka.

Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh media, pihak syarikat 7-Eleven menjelaskan Farhash membawa bersamanya lebih daripada 10 tahun pengalaman di dalam bidang perniagaan, khidmat rundingan dan nasihat. 

Sama ada Farhash benar-benar mempunyai kepakaran, kemahiran dan pengalaman di dalam jenis perniagaan yang dijalankan oleh syarikat 7-Eleven, tentunya adalah suatu perkara yang boleh dipermasalahkan.

Kenapa?

Namun yang lebih penting untuk difahami pada hemat saya adalah permasalahan struktural yang wujud dalam masyarakat, yang membolehkan amalan-amalan seperti ini terus dilakukan. Ini membawa kita kepada persoalan dorongan atau motivasi. 

Apakah yang mendorong para cukong pemilik-pemilik syarikat konglomerat besar mengambil jalan untuk menempatkan politikus ke jawatan-jawatan “strategik” di syarikat mereka?

Persoalan ini bukan hanya berhubungan dengan PKR semata-mata tetapi juga parti-parti politik lain yang turut menerima lantikan-lantikan daripada syarikat swasta. 

Cumanya yang terkait di dalam isu pelantikan pengerusi syarikat 7-Eleven baru-baru ini adalah politikus PKR.

Bukan hanya sekadar politikus biasa, tetapi politikus yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri Malaysia, yakni orang yang paling berkuasa di dalam membuat bukan sahaja keputusan politik, tetapi juga keputusan ekonomi.

Sementara itu dorongan buat mana-mana cukong sekali pun (tidak hanya syarikat 7-Eleven atau pemilik saham utamanya Vincent Tan) adalah dorongan keuntungan ekonomi.

Cukong perlu memastikan modalnya terus berkembang untuk membuat untung. Modal yang tidak berkembang adalah penanda kepada merosotnya produktiviti syarikat. 

Persaingan

Dalam sistem kapitalisme yang didorong oleh persaingan di pasaran, kemerosotan produktiviti sesebuah syarikat itu boleh membuatkan ia tewas di tangan pesaing-pesaingnya.

Jika ini yang berlaku, cukong mungkin perlu menanggung kerugian berjumlah jutaan ringgit daripada modal yang dilaburkan. Ini hakikat dalam sistem kapitalisme. 

Cukong perlu berhadapan dengan pesaing-pesaingnya yang turut mempunyai dorongan yang sama, yakni dorongan untuk mengembangkan modal buat meraih keuntungan ekonomi.

Dalam konteks inilah, cukong memerlukan “jalan strategik” untuk mengembangkan modalnya supaya ia boleh bersaing dengan pesaing-pesaingnya yang lain bagi meraih keuntungan ekonomi buat kelangsungan syarikatnya. 

Salah satu “jalan strategik” yang dipercayai boleh memberikan kelebihan dan peluang yang lebih besar untuk ia mengembangkan modal dan seterusnya membuat keuntungan ialah menerusi penempatan sosok-sosok politikus yang dekat dengan kekuasaan politik di jawatan-jawatan “strategik” syarikat. 

“Jalan strategik” ini mungkin diambil berdasarkan amalan dan pengalaman lalu yang terbukti dapat memberikan hasil positif buat pengembangan modal dan keuntungan syarikat.

Strategi

Justeru, Farhash mungkin dilihat oleh cukong-cukong syarikat 7-Eleven sebagai sosok strategik yang boleh memberikan akses kepada mereka untuk mengembangkan modal dan seterusnya meraih keuntungan buat syarikat. 

Sayugia diingatkan salah seorang cukong pemegang saham utama di syarikat 7-Eleven adalah Vincent Tan.

Beliau bukan hanya pemegang saham utama syarikat 7-Eleven tetapi juga mempunyai kepentingan dan pengaruh yang besar dalam Berjaya Corporation yang terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuklah perniagaan yang memerlukan kelulusan projek dan keizinan pelesenan yang umumnya akan ditentukan oleh politikus di koridor kuasa.

Manakala buat politikus yang ditempatkan di jawatan “strategik” syarikat, selain daripada keuntungan peribadi yang diperolehi menerusi gaji, elaun, saguhati dan faedah lain, mereka juga mungkin berfungsi sebagai perantara antara parti politik dan cukong. 

Memandangkan struktur parti politik Malaysia pada umumnya digerakkan oleh modal khususnya ketika pilihan raya yang berpotensi memakan belanja puluhan juta ringgit kalau pun tidak ratusan juta, maka dana, derma dan sumbangan politik diperlukan.  

Dana politik umumnya bukan hanya untuk tujuan kempen pilihan raya tetapi juga untuk operasi parti sehari-hari serta alat penting buat mengembangkan serta mengukuhkan kedudukan kuasa politik parti mereka. 

Ini tentunya memerlukan sokongan dan dukungan daripada cukong-cukong yang memiliki akses langsung kepada modal yang diperlukan oleh parti-parti politik di dalam “kerjaya” merebut, mempertahankan dan mengukuhkan kuasa mereka.

Model baharu

Justeru, pelantikan Farhash oleh syarikat 7-Eleven yang salah satu pemegang saham utamanya adalah Vincent Tan boleh difahami dari sudut ini – iaitu perselingkuhan antara kepentingan ekonomi cukong dan kepentingan politik politikus yang tersimpul kejap dalam satu hubungan simbiotik yang sukar untuk dirungkaikan kembali kerana masing-masing saling payung-memayungi antara satu sama lain. 

Memandang ia adalah sebahagian daripada struktur hubungan ekonomi-politik yang sudah pun terjalin lama dan berterusan sehingga kini, maka akhirnya ia menjadi suatu amalan yang membudaya.

Tentunya ia bukanlah budaya yang menunjukkan satu bentuk tata kelola yang baik, telus dan bertanggungjawab. 

Justeru, PKR dalam konteks ini menerusi Anwar, sebagai sosok paling berkuasa dalam kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai ruang, peluang dan kuasa untuk menampilkan satu model hubungan ekonomi-politik baharu yang bercirikan semangat reformasi struktural yang dilaung-laungkan selama ini. – 6 Januari, 2023.
 

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen