Titik mengah demokrasi liberal


Ruhan Shahrir

PRU15 menyaksikan tidak ada lagi parti yang mampu meraih undi popular yang besar dan kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2023.

DEMOKRASI liberal sudah semakin tepu. Ia telah sampai ke titik mengah. Cumanya alternatif kepada demokrasi liberal masih belum ditemui atau mungkin saja tidak akan ditemui.

Mungkin juga ahli falsafah, pemikir, politikus, aktivis dan cendekiawan belum dapat menemui cara untuk memperbaharui dan menyesuaikannya dengan perubahan yang sedang pesat dan pantas berlaku dalam masyarakat dewasa ini.

Demokrasi liberal adalah suatu fahaman (ideologi) dan juga sebuah sistem. Seperti mana juga dengan fahaman Islam yang punya pelbagai bentuk, begitu juga dengan demokrasi liberal.

Ada yang berbentuk raja berperlembagaan, ada yang berbentuk republik, ada yang berbentuk demokrasi keparlimenan, ada yang berbentuk demokrasi kepresidenan, ada yang berbentuk demokrasi langsung, ada juga yang berbentuk demokrasi berperwakilan dan pelbagai bentuknya yang lain mengikut sejarah perkembangan politik buat sesebuah negara itu.

Kebanyakan negara dunia menggunakan demokrasi liberal sebagai fahaman dan sistem yang mendasari kepemerintahan negara mereka, walaupun bentuk dan kadar pelaksanaannya mungkin berbeza dari satu negara ke satu negara lain.

Namun ciri-ciri yang menjadi teras kepada sesebuah sistem dan fahaman demokrasi liberal itu pada umumnya lebih kurang sama.

Antara ciri-ciri utamanya adalah doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan perlembagaan dan undang-undang, pilihan raya umum untuk semua warganegara yang layak, bukan pemerintahan parti tunggal tapi sebaliknya wujud kepelbagaian parti yang bertarung di medan pilihan raya, terdapatnya suatu bentuk ruang awam untuk dimanfaatkan oleh masyarakat sivil, sistem ekonomi pasar yang melindungi hak milik harta peribadi (baca: kapitalisme), idea kesaksamaan serta kebebasan individu. Demokrasi liberal umumnya berjalan seiring dengan ciri-ciri yang dinyatakan itu.

Istilah liberal yang dilekatkan bersama istilah demokrasi itu tidak semestinya menunjukkan sesebuah negara tersebut mesti menganut fahaman liberalisme.

Ia hanyalah sebagai suatu rujukan kepada hakikat bahawasanya kerangka awal demokrasi liberal tersebut adalah diajukan oleh ahli falsafah Barat yang berfahaman liberalisme pada zaman pencerahan sekitar abad ke-17 hingga ke-18.

Pada zaman itulah idea khususnya yang membahaskan tentang kesaksamaan dan kebebasan individu diangkat sebagai wacana. Seiring dengan idea kebebasan, ada juga idea mengenai perdagangan bebas yang diandalkan sebagai suatu bentuk daripada kebebasan individu yang dapat mengangkat martabat manusia ke kedudukan yang lebih tinggi.

Sama ada ia benar-benar mengangkat martabat manusia atau dijadikan alasan untuk “mentamadunkan” negara yang dijajah atau mengabsahkan kelas pemodal mengaut keuntungan sebanyak mungkin atau membuka ruang buat para cukong menguasai pasaran dan mengeksploitasi sumber alam adalah sesuatu yang boleh diperdebatkan tentunya.

Namun hakikatnya, sebahagian besar daripada negara dunia pada hari ini mengamalkan demokrasi liberal termasuklah Malaysia. Bentuk dan kadar pelaksanaan demokrasi liberal ala Malaysia pula dicorakkan oleh keadaan politik, ekonomi, sosial dan proses sejarah yang dilaluinya, khususnya sejarah kolonial.

Tidak stabil

Setelah berdekad-dekad Malaysia mengamalkan suatu bentuk demokrasi liberal yang khas Malaysia sejak merdeka, kini ia kelihatannya nampak mengah. Kemengahan ini ditandai dengan ketidakstabilan kerajaan yang diakibatkan oleh terpecahnya masyarakat kepada beberapa kumpulan yang rencam.

Tidak ada lagi parti tunggal yang dominan. Tidak ada lagi parti politik atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Tidak ada lagi parti yang mampu meraih undi popular yang besar dan kukuh.

Tidak ada lagi sosok politik “the strong man” yang dapat mengaut kepatuhan mutlak baik daripada pengikut sendiri mahupun masyarakat awam. Tidak ada lagi pola politik yang jelas dan mudah. Tidak ada lagi masyarakat atau komuniti yang boleh dipukul ratakan sebagai satu.

Sebaliknya yang ternampak adalah kerencaman, keberagaman, keterpencaran dan keterpecahan yang berlaku bukan hanya kepada parti politik tetapi juga masyarakat awam.

Keputusan PRU15 yang lepas adalah bukti jelas masyarakat kita pada hakikatnya terpecah-pecah kepada pelbagai kumpulan yang rencam dengan pelbagai kecenderungan serta aspirasi politik yang berbeza-beza.

Kerajaan perpaduan berjaya dibentuk selepas gabungan parti yang bertentangan ideologi sebelumnya melupakan persengketaan. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 2 Januari, 2023.

Latar di sebalik keterpecahan politik ini sebahagiannya adalah kemengahan demokrasi liberal yang sebahagian besarnya dicirikan oleh modal dan pasaran bebas serta kebebasan individu.

Dalam konteks ini kebebasan individu itu sendiri menggerakkan dan digerakkan oleh modal serta pasaran bebas (baca: kapitalisme) yang berselingkuh pula dengan demokrasi.

Salah satu produk yang paling mengesankan buat masyarakat (sama ada positif atau negatif) yang terhasil daripada perselingkuhan ini adalah teknologi komunikasi dan maklumat.

Dewasa ini hampir semua individu (termasuk remaja) yang membentuk masyarakat mempunyai capaian tinggi dan mudah terhadap teknologi serta sumber maklumat. Khususnya menerusi telefon pintar dan wadah media sosial yang rencam. Daripada maklumat yang berbentuk teks hingga ke bentuk imejan, audio dan video.

Hampir keseluruhan pancaindera manusia tersogok dengan pelbagai maklumat yang mempengaruhi tindak-tanduk mereka, baik tindak-tanduk politik, ekonomi, sosial mahupun psikologi.

Keadaan ini telah dan sedang melemahkan peranan serta kuasa institusi negara, masyarakat dan keluarga. Manakala peranan serta kuasa individu pula telah dan sedang menguat. Individu tidak lagi terikat dengan kepatuhan mutlak terhadap institusi formal masyarakat seperti keluarga, sekolah, universiti, persatuan dan parti politik.

Proses individualisasi masyarakat yang sedang berlangsung pesat dan pantas inilah yang mempengaruhi fenomena keterpecahan politik yang berlaku sekarang. Ia nampaknya seperti tidak terkawal sehingga mengakibatkan ketidakstabilan kepada kerajaan, dalam erti kata tiada lagi parti politik yang mampu membentuk kerajaan menerusi gabungannya semata-mata. Ia perlu bekerjasama dengan gabungan parti politik lain termasuklah yang secara ideologinya bertentangan.

Fenomena ini bukan hanya terjadi di Malaysia. Fenomena ini telah pun berlaku di Eropah dan Amerika terlebih dahulu. Negara di belahan sana lebih awal mengalami kemengahan demokrasi liberal.

Pengalaman Amerika Syarikat

Amerika yang sering dijuluki sebagai pembawa obor demokrasi liberal turut berhadapan dengan kerumitan menangani kesan daripada fahaman dan sistem demokrasi liberal.

Pada pilihan raya Presiden Amerika pada tahun 2020 misalnya, calon Demokrat, Joe Biden menang sekitar 51% undi sahaja. Pertarungan sengit ini seterusnya membawa kepada tuduhan penipuan oleh lawannya, Donald Trump.

Rentetan daripada itu berlaku pendudukan secara kekerasan di bangunan US Capitol, oleh penyokong Trump untuk menyekat acara mengangkat sumpah oleh Biden sebagai presiden. Tragedi tersebut akhirnya telah mengorbankan lima nyawa dengan ratusan yang lain cedera.

Manakala berita, maklumat dan naratif sama ada yang berbentuk propaganda, hasutan, palsu atau fitnah terus berleluasa menyebar ke ruang awam masyarakat Amerika melalui media sosial baik sebelum mahupun selepas pilihan raya itu.

Sehingga sekarang politik Amerika terus bergolak dan masyarakatnya terbelah dua dengan intensiti permusuhan yang tinggi serta keras antara Republikan dan Demokrat.

Penyokong Presiden AS Donald Trump merusuh di Capitol Rotunda pada 7 Januari 2021 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya presiden. – Gambar fail EPA, 2 Januari 2023.

Pengalaman Eropah

Di United Kingdom pula fenomena keterpecahan politik ini ditandai dengan dua pilihan raya dan pertukaran empat perdana menteri hanya dalam tempoh enam tahun sahaja.

Begitu juga di Eropah. Pilihan raya legislatif di Perancis pada Jun 2022 yang lalu, menyaksikan Parlimen Perancis tergantung dengan tiada satu parti pun yang berjaya memenangi majoriti daripada kerusi yang dipertandingkan. Buat pertama kali juga setelah beberapa dekad, penyandang jawatan presiden (Emmanuel Macron) gagal untuk memperoleh majoriti mutlak di parlimen. Masyarakat Perancis juga terpecah kepada pelbagai kumpulan dengan pelbagai kecenderungan serta aspirasi politik yang rencam.

Malahan kalau kita meneliti keputusan pilihan raya di Eropah, misalnya di Jerman, Itali, Sepanyol, Austria, Poland, Hungary, Slovenia dan Estonia kita akan dapati terdapat suatu kebangkitan besar-besaran parti berhaluan kanan yang mengangkat idea nasionalisme etnik, anti-pendatang, anti-migrasi, anti-multikulturalisme dan pro-pengukuhan politik identiti kebangsaan.

Ada parti tersebut yang menang dan menjadi sebahagian daripada kerajaan, ada yang bergabung di dalam kerajaan campuran, ada calonnya terpilih menjadi presiden atau perdana menteri dan ada yang tewas tetapi telah mengaut jumlah kerusi yang cukup mempengaruhi lanskap politik negara mereka.

Malahan di negara Scandinavia, misalnya Sweden dan Finland sekalipun, yang punya tradisi politik yang lebih terangkum (inklusif), tidak terkecuali daripada dilanda tsunami politik identiti.

Buat pertama kali selepas beberapa dekad, penyandang jawatan presiden Perancis, Emmanuel Macron gagal memperoleh majoriti mutlak di parlimen. – Gambar fail EPA, 2 Januari 2023.

Fenomena sejagat

Justeru, fenomena yang terzahir di Malaysia pasca-PRU15 yang lepas bukanlah fenomena terpencil tetapi suatu fenomena yang turut melanda negara lain juga.

Kerangka operasi ekonomi-politik dunia yang bersandarkan demokrasi liberal sedang berhadapan dengan gejala keterpecahan politik yang membelah masyarakat kepada kumpulan yang rencam dan berbeza kecenderungan serta aspirasi politik masing-masing.

Di sebalik semua ini adalah fahaman dan sistem demokrasi liberal yang ditunjangi oleh gerak modal (baca: kapitalisme) yang tidak terbatas dan pasaran bebas serta kebebasan individu. Simpulan simbiotik (saling kebergantungan) yang mengikat modal, pasaran bebas, kebebasan individu dan demokrasi ini pada hemat saya sudah pun sampai ke titik mengahnya.

Cumanya dunia masih belum menemui alternatifnya. Atau belum dijumpai cara dan kaedah yang lebih kreatif serta inovatif untuk mengubahsuai, memperbaharui dan mereformasi demokrasi liberal khususnya dalam mendepani masyarakat pasca-kebenaran yang serba rencam dan semakin rumit pada hari ini.

Cabaran yang dihadapi itu sebenarnya adalah suatu peluang buat ilmuan, cendekiawan dan aktivis memikirkan dengan lebih serius bagaimana untuk kita bersama-sama memecahkan permasalahan yang mendesak ini. – 2 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen