SUDAH tiba masanya Putrajaya memberi keutamaan kepada isu kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, kata Family Support & Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers).
Ini adalah reaksi ketua penyelaras kumpulan Bina Ramanand terhadap pengumuman Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Azalina Othman Said yang cadangan untuk meminda peraturan kewarganegaraan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
“Sudah tiba masanya untuk tamatkan perjuangan dan diskriminasi yang dihadapi oleh ibu Malaysia,” kata Bina kepada The Malaysian Insight.
“Kami mengalu-alukan inisiatif diambil Azalina dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mengutamakan isu kewarganegaraan anak kelahiran luar negara kepada wanita Malaysia yang sudah lama tertangguh.
“Kami menghargai langkah positif yang diambil dan sudah tiba masanya untuk menamatkan perjuangan ibu Malaysia, yang mengharungi kepayahan sejak 60 tahun lalu akibat diskriminasi terhadap wanita. Kami menantikan garis masanya,” tambahnya.
Azalina semalam mengumumkan beliau dan Saifuddin akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bersama ke Kabinet untuk cadangan pindaan Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan isu kewarganegaraan.
Walaupun Azalina tidak menjelaskan secara terperinci jenis pindaan yang akan dicadangkan, beliau turut memaklumkan Family Frontiers berhubung pengumuman itu di Twitter.
Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan menetapkan undang-undang seseorang yang dilahirkan selepas Hari Malaysia boleh menjadi warganegara Malaysia.
Family Frontiers kini terlibat dalam tuntutan mahkamah berhubung peruntukan tertentu dalam jadual yang membenarkan bapa warga Malaysia tetapi bukan ibu secara automatik menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Kumpulan itu mahu ibu warga Malaysia mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan mereka kepada anak.
Bulan lalu, Saifuddin berikrar akan mengutamakan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia.
Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum menjanjikan pindaan Perlembagaan yang akan memberi hak kepada bapa dan ibu menurunkan kerakyatan kepada anak-anak mereka.
Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada tujuh wanita dan satu kumpulan masyarakat sivil meneruskan cabaran undang-undang mengenai kewarganegaraan automatik bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia yang mempunyai pasangan warga asing. – 5 Januari, 2023.
Komen