Meniti dinamik politik Malaysia 2023


Fakhrurrazi Rashid

Tahun 2023 perlu mmenjadi pencetus bagi merealisasikan politik Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar lebih dinamik dan demokratik. – Gambar PMO, 5 Januari, 2023.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi perspektif dan permulaan baharu buat politik negara. Politik negara bertambah sengit sehingga tidak ada satu gabungan parti politik dapat membentuk kerajaan kendiri di peringkat persekutuan dan negeri.

Situasi ini akhirnya memerlukan tolak ansur dan keterbukaan pihak lawan dan kawan membentuk kerajaan perpaduan bagi mentadbir negara selama lima tahun.

Ia disertai empat gabungan dan beberapa parti politik yang memberi kepercayaan kepada kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Peristiwa luar jangkaan ini menarik perhatian rakyat dan penganalisis politik, lebih-lebih lagi memperlihatkan Barisan Nasional (BN) lunak dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan, termasuk di negeri Pahang.

Setakat ini, rakyat menerima formula baharu ini dengan baik dan ia memberi ruang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menjalankan pemerintahan dengan lebih cekap.

Malaysia bakal menempuh ‘norma baharu’ dalam aktiviti politik pada tahun 2023 dengan adanya enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Berbeza dengan amalan terdahulu apabila PRN dilakukan serentak dengan pilihan raya persekutuan. 

Pelaksanaan enam PRN

Pengundi Semenanjung Malaysia mungkin kebingungan kerana tidak biasa dengan pilihan raya berasingan.

Kadar keluar mengundi dijangka rendah bagi kenam-enam PRN atas persepsi pengundi tidak akan keluar mengundi “dua kali”. 

Jika dilihat pratusan keluar mengundi PRN Melaka adalah 68.5%, iaitu lebih rendah berbanding PRU14 sebanyak 80%.

PRN Johor pada Mac 2022 mencatatkan peratusan keluar mengundi terrendah sekitar 55%.

Soalnya, adakah keenam-enam PRN ini akan menghadapi situasi yang sama di PRN Melaka atau Johor atau kadar keluar mengundi yang lebih baik?

Sebahagian penganalisis politik mencadangkan kesemua PRN ini dijalankan serentak, iaitu setelah penggal dewan undangan negeri (DUN) tamat, sekitar bulan Mei dan Jun 2023.

Kos perbelanjaan pilihan raya dapat dikurangkan dan memudahkan pengundi balik mengundi. 

Hakikatnya, setiap kerajaan negeri mempunyai strategi dan kaedah tersendiri memanggil PRN demi mengekalkan kemenangan di negeri masing-masing. 

Keputusan PRU15 memberi gambaran awal PN dan PH adalah dua pesaing sengit yang akan mempertahankan kerajaan negeri masing-masing. 

Kemungkinan yang berlaku

Jajaran baru PH dan BN bakal diuji sehabis baik.

Adakah kemenangan PH dan BN dalam keenam-enam PRN mampu meningkatkan keyakinan pengundi kepada kerajaan perpaduan atau akan berlaku jajaran baharu sekiranya PN membuat kejutan dalam memperluaskan “gelombang hijau”?

Kemenangan PN di lima kerusi parlimen Selangor dan tiga kerusi di Pulau Pinang adalah signal jelas PH dan BN berada dalam zon tidak selamat. Malah, rekod 14-1 PN di Kedah juga menunjukkan peluang PH mahupun BN membentuk kerajaan negeri agak tipis.

Menarik juga melihat situasi di Negeri Sembilan. Komposisi DUN Negeri Sembilan PRU14 adalah 20 orang Adun PH dan 16 orang Adun BN, dengan perbezaan empat kerusi.

PRU15 pula menunjukkan BN menawan semula kerusi Parlimen Tampin dan Kuala Pilah yang dimenangi PH pada PRU14.

PH hanya mempertahankan tiga kerusi parlimen tradisi yang dimenangi sejak PRU12 iaitu Seremban, Rasah, dan Port Dickson. Jelas membuktikan pengaruh PN hampir tiada di Negeri Sembilan.

Persoalannya, adakah PH dan BN akan bekerjasama di Negeri Sembilan atau terus bertembung antara satu dan yang lain, seperti perlawanan PN dan BN di PRN Johor dan Melaka meskipun kedua-duanya duduk bersama di peringkat pusat?

Mungkin ia boleh berlaku memandangkan prestasi BN di negeri tersebut kian pulih pada PRU15.

Status empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar Bersatu pada 10 Disember 2022 turut menguji ketahanan sistem politik negara.

Tindakan tersebut dilihat bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghalang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Pihak Bersatu telah menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker), Johari Abdul berkenaan kekosongan luar jangka empat kerusi tersebut pada 27 Disember 2022.

Kini, pihak speaker akan memutuskan kedudukan ada keempat-empat kerusi tersebut dalam tempoh 21 hari, yakni pertengahan Januari 2023.

Jika didapati keempat-empat ahli parlimen tersebut melanggar perlembagaan persekutuan, pilihan raya kecil (PRK) perlu dilakukan dan menjadi PRK pertama sejak pindaan anti-lompat parti diluluskan.

Mendewasakan politik negara

Tindakan 14 orang Adun Sabah yang keluar Bersatu didakwa tidak mempunyai sebarang implikasi memandangkan DUN Sabah belum meluluskan undang-undang anti-lompat parti.

Ini bermaksud insiden lompat parti boleh berlaku di negeri yang belum meluluskan undang-undang anti-lompat parti seperti Johor, Melaka, dan Terengganu yang boleh menjejaskan kestabilan politik negeri.

Banyak lagi sebenarnya usaha menambah baik keadaan politik Malaysia.

Secara realistiknya, perubahan ini tidak mampu dicapai dalam tempoh setahun.

Perbincangan dan kajian perlu dilakukan dari sekarang agar ia dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun.

Tahun 2023 perlu menjadi pencetus bagi merealisasikan politik Malaysia yang lebih dinamik dan demokratik.

Keadaan ekonomi dunia yang dijangka merudum pada 2023 dan kebimbangan penularan Covid-19 meningkat semula, politik Malaysia perlu berperanan dalam menawarkan solusi terbaik dalam menjamin kesejahteraan rakyat dalam waktu-waktu sukar ini.

Saya percaya, perjalanan politik pada tahun ini akan mendewasakan Malaysia dalam menghadapi ujian di peringkat tempatan mahupun global.

Namun, jika politik Malaysia masih mengulangi kesilapan lampau, khususnya sewaktu kegagalan menguruskan pandemik, politik Malaysia akan menjadi lesu dan akan menghakis kepercayaan rakyat kepada sistem pentadbiran negara. – 5 Januari, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen