Kedai gunting rambut terjejas pengambilan pekerja warga asing dibeku


Ravin Palanisamy

Larangan mengupah pekerja asing menyebabkan pemilik kedai gunting rambut mungkin terpaksa menutup premis mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari 2023. 

PUTRAJAYA perlu menarik semula larangan mengupah pekerja asing atau pemilik kedai gunting rambut mungkin terpaksa menutup premis mereka sepenuhnya tidak lama lagi, kata Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (Mindas). 

Presiden persatuan T. Suthanthiram berkata pembekuan pengambilan sementara pekerja asing ditambah dengan keengganan penduduk tempatan untuk memohon kerja sedemikian merugikan perniagaan.

“Jika kami tidak mempunyai pekerja kami mungkin tidak mempunyai pilihan selain menutup perniagaan,” kata Suthanthiram kepada The Malaysian Insight.

“Apa lagi yang boleh kita buat? Penduduk tempatan tidak mahu, pekerja asing disekat. Bagaimana kita mahu bertahan?

“Tiada pengambilan baharu pekerja asing kerana tiada kelulusan. Kita uruskan dengan mereka (pekerja asing) yang diberi permit lebih awal,” katanya.

Pada 2011 kelulusan khas melalui Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce and Industry (MAICC) diberikan untuk membawa masuk 1,000 pekerja.

Kemudian pada tahun yang sama pembekuan pengambilan untuk sektor perdagangan ini bermula.

Disebabkan kekurangan tenaga mahir dalam industri ini Suthanthiram berkata kebanyakan kedai hanya mempunyai seorang atau dua pekerja.

Suthanthiram melahirkan kebimbangan apabila kurangnya penduduk tempatan yang berminat untuk bekerja dalam industri itu.

Beliau berkata penduduk tempatan khususnya kaum India sangat selektif dan tidak sabar.

“Tiada orang India tempatan yang datang untuk menjadi tukang gunting rambut.

“Walaupun mereka datang, mereka tidak kekal lama dalam pekerjaan itu kerana kebanyakannya kurang disiplin dan mahukan pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Mereka juga tidak mahu bekerja berjam-jam dan tidak mempunyai kesabaran untuk menunggu pelanggan kerana kerja ini memerlukan seseorang itu berdiri lama,” katanya.

Suthanthiram berkata ramai orang India terutamanya belia lebih suka memilih pekerjaan lain.

“Kini dengan pekerjaan seperti e-hailing atau penghantaran, ramai yang bekerja dalam sektor itu daripada menjadi tukang gunting rambut.

“Walaupun kami menyediakan latihan, saya rasa ia hanya membuang masa kerana mereka tidak akan bertahan lama,” katanya. 

Harapan pada kerajaan baharu

Dengan hampir 800 ahli di seluruh negara Suthanthiram berkata persatuan dan pemilik perniagaan meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan untuk menyelesaikan isu mereka yang berlarutan selama sedekad.

Beliau berharap untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia yang baharu V Sivakumar untuk menyampaikan keluhan mereka dan mendapatkan jalan penyelesaian.

“Kini dengan Menteri Sumber Manusia baharu yang bertanggungjawab, kami berharap dapat meluahkan masalah kami kepadanya.

“Kami memulakan perbincangan dengan kementerian masing-masing dan pemimpin India untuk kami mengadakan mesyuarat mengenai isu ini. Kami berharap ia dapat dijalankan segera.

“Kita memperjuangkan isu ini selama bertahun-tahun. Bukan hari ini atau semalam. Kita harap kerajaan sedar.

“Kami meminta kerajaan menyelesaikan isu perniagaan sedia ada. Kami tidak meminta untuk menarik balik larangan itu supaya kami boleh membuka lebih banyak kedai,” katanya.

Suthanthiram juga percaya perniagaan dan pemiliknya mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah mereka di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Masalah kami tidak selesai semasa kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin (Yassin) mahupun Ismail Sabri (Yaakob) sebelum ini.

“Semua pemimpin sedang mencari penyelesaian masalah perniagaan besar tetapi tidak ada yang ingin menyelesaikan perniagaan kecil seperti kami.

“Jadi kita berharap di bawah kepimpinan perdana menteri sekarang kita akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Suthanthiram berkata beliau difahamkan ramai dalam industri perdagangan mengambil pekerja secara haram tetapi menegaskan ahli dalam persatuan itu mahu melalui saluran yang betul dan mengambil pekerja mengikut undang-undang.

“Jadi izinkan kami melakukan perkara yang sewajarnya,” kata pemilik tiga kedai gunting rambut itu. – 5 Januari 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen