KEDAI gunting rambut di Selangor dan Kuala Lumpur kini boleh beroperasi selepas memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun ia sudah terlambat bagi kira-kira satu pertiga daripada pengusaha kedai gunting India di Lembah Klang yang kini gulung tikar.
Beberapa siri perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu menyebabkan mereka tiada pilihan, kata naib bendahari Persatuan Pemilik Kedai Gunting India Malaysia, Meenaq Kumar.
Banyak yang menutup operasi lebih tujuh bulan lalu dan mereka adalah kira-kira 30% daripada 720 ahli persatuan itu yang kebanyakannya mengusahakan perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor, katanya.
Faktor terbesar penutupan adalah kegagalan mereka untuk membayar sewa kedai kerana pendapatan berkurangan.
“Ahli kami terpaksa menutup operasi lebih tujuh bulan lalu kerana mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk kekal bertahan,” kata Meenaq kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga koordinator bagi persatuan pemilik kedai gunting India di Negeri Sembilan, yang mana katanya perniagaan mereka merudum hampir 50%.
Satu lagi alasan penutupan itu adalah kekurangan tenaga pekerja, kebanyakannya dari India yang sudah kembali ke negara asal mereka selepas PKP pertama dilonggarkan tahun lalu.
Kepulangan beramai-ramai mereka menyebabkan kekurangan kira-kira 2,000 tenaga kerja.
“Sektor ini memerlukan kira-kira 3,000 tenaga kerja asing untuk beroperasi seperti biasa.
“Disebabkan kebanyakan mereka meninggalkan negara ini selepas PKP pertama tahun lalu, banyak kedai gunting terpaksa ditutup,” kata Meenaq.
Pendandan rambut tempatan biasanya tidak bekerja di kedai gunting rambut India kerana mereka mempunyai perniagaan sendiri.
Kedai gunting rambut India terkenal kerana kemahiran menggunting yang sangat baik dengan harga yang lebih rendah dari salon lain dan digemari oleh beberapa pelanggan kerana adanya perkhidmatan urutan kepala yang diberikan selepas rambut dipotong.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia Mohammad Jaffar berkata, ahli kedai gunting rambut hanya memperoleh 50% daripada apa yang biasa mereka perolehi sebelum wabak berkenaan.
“Sejak banyak kali operasi ditutup, 36 daripada 480 ahli kami sudah menutup operasi kedai mereka.
“Sebab utama adalah kerana mereka tidak dapat membayar sewa apabila tuan rumah tidak memberikan potongan harga sewa semasa PKP,” katanya.
Mohammad berkata, apabila tukang gunting rambut dapat memulakan kembali perniagaan, kos juga meningkat kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Dia berkata bahawa beberapa tukang gunting rambut berusaha menaikkan harga menyebabkan pelanggan kurang berpuas hati.
“Kami berusaha menaikkan harga kira-kira RM3 untuk menampung perbelanjaan tambahan. Tetapi pelanggan mahu kami kekal pada harga RM10 bagi setiap potongan rambut,” katanya.
Kos tambahan yang dikenakan adalah untuk barang seperti alat pelindungan dan pembersihan.
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat lalu.
Hanya Kedah dan Johor yang masih berada dalam Fasa 1 di mana sekatan pergerakan ketat masih berkuatkuasa sementara negeri lain berada di Fasa 2 dan seterusnya.
SOP untuk negeri Fasa 2 akan membenarkan salon dan kedai gunting rambut memberikan perkhidmatan penuh kepada pelanggan yang diberi vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, Meenaq dan Mohammad merasakan bahawa sebahagian besar pelanggan masih takut untuk ke kedai gunting rambut kerana jumlah Covid-19 harian tetap tinggi. – 19 September, 2021.
Komen