PERJUANGAN menentang berita palsu di Malaysia adalah pertempuran berat sebelah, kerana media tidak berdaya mempersoalkan makna ditetapkan kerajaan tentang kebenaran dan kepalsuan, kata seorang pakar media negara.
Kerana itu, apa sahaja undang-undang menentang berita palsu di Malaysia akan bertindak sebagai “senjata tidak demokratik digunakan pihak berkuasa ke atas penentang mereka,” kata profesor komunikasi, Zaharom Nain.
Di Amerika Syarikat, apabila terma “berita palsu” mula digunakan secara meluas oleh Presiden Donald Trump, media masih lagi boleh mencabar definisi kerajaan sama ada berita itu palsu atau benar.
“Media, kecuali mungkin Fox News yang mengangkat Trump, selalu mencabar dan mendedahkan yang ‘berita palsu’ didakwa Trump adalah laporan dan pandangan yang kritikal terhadapnya,” kata Zaharom kepada The Malaysian Insight.
“Dalam kes AS, Trump dan media yang kritikal berlawan sesama mereka. Media secara terbuka mengkritiknya dan pentadbirannya mungkin tanpa kesan balas, kerana secara prinsipnya mereka ada Pindaan Pertama yang menjamin hak bersuara.
“Ambil situasi itu dan bawa ke Malaysia, kita akan dapati ia tidak berlaku di sini,” katanya.
Putrajaya sedang dalam proses memperkenalkan undang-undang baru menentang berita palsu. Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dilaporkan mencadangkan menaikkan denda kerana pengedaran berita palsu sehingga RM50,000 dan 10 tahun penjara.
Zaharom dari University of Nottingham Malaysia berkata pertempuran berita palsu di negara ini adalah antara rejim pemerintah yang digoncang skandal dan sudah hilang wibawa, dan media yang terpasung dengan kawalan ekonomi, perundangan dan politik.

Media arus perdana Malaysia- akhbar dan saluran televisyen- tertakluk kepada kawalan kerajaan persekutuan menerusi undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Penyiaran 1988.
Kawalan pula dilakukan menerusi pemilikan. Beberapa akhbar dan stesyen televisyen dikawal secara langsung atau tidak langsung pemerintah menerusi parti komponen Barisan Nasional.
“Dalam persekitaran apabila rejim bercakap tentang berita palsu dan keperluan mengawal atau menghapuskannya, suara menentang cadangan perundangan keras ini hanyalah sayup-sayup kedengaran, paling tidak pun sangat berhati-hati,” kata Zaharom.
“Ia bukanlah persekitaran di mana sesiapa boleh mendakwa sesuatu adalah palsu dan ada tindakan mengenainya…ia adalah persekitaran di mana mereka yang berkuasa boleh dan akan menentukan makna berita palsu.
“Mereka akan buat berdasarkan apa yang sesuai untuk matlamat mereka, bukannya untuk faedah masyarakat Malaysia.”
Apa yang tipu?
Berita palsu perlu diberikan makna sewajarnya, dan ia akan memerlukan lebih daripada makna yang ditentukan Putrajaya, kata Zaharom.
“Pertamanya, kita perlu menentukan apa itu berita palsu, dan ‘kita’ bermaksud bukan hanya rejim dan sekutu mereka.”
Pandangan itu turut dipersetujui oleh penganalisis politik, Hisommudin Bakar yang mengatakan makna jelas tentang apakah yang dimaksudkan dengan “berita palsu” sangat penting sekarang apatah lagi dengan penggunaan media sosial sebagai platform berkempen.
“Berita palsu boleh jadi berita dengan maklumat yang dimanipulasi dan dihebahkan sebagai fakta. Biasanya berita palsu ada kaitan dengan propaganda yang bertujuan memenangi psikologi rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Pengundi selalunya boleh ‘menilai’ maklumat propaganda dalam kempen pilihan raya, tetapi berita palsu lebih tinggi tahap manipulasinya dan boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Hisommudin berkata BN dan Pakatan Harapan (PH) sama-sama berdepan cabaran memerangi berita palsu dan tuduhan liar dalam media sosial.
“Sukar untuk menyekat (berita palsu), terutama sekali dalam komen pengguna media sosial.
“Orang selalunya menggunakan sumber tidak sah apabila mereka menulis komen.”

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu juga bimbang tentang berita palsu yang mengandungi maklumat menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
“Merbahaya kepada Malaysia jika maklumat yang dihebahkan itu salah dan mengandungi unsur kebencian. Tidak dikawal, ia boleh mewujudkan kesan buruk kepada perpaduan dan keamanan yang kita bina.:
Zaharom mengatakan bagi perjuangan menentang berita palsu menjadi adil dan tidak berpihak, rundingan dan persetujuan antara pergerakan masyarakat sivil, kerajaan dan pembangkang sangat mustahak.
Dilaporkan bulan lepas yang kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan pergerakan masyarakat sivil, peguam, pensyarah dan wakil rakyat BN dan pembangkang tentang cadangan peruncangan cegah berita palsu itu.
Bagaimanapun, Zaharom mengatakan, rundingan dilakukan kerajaan tentang perkara itu setakat ini hanya terhad dengan individu tertentu mewakili organisasi tertentu.
“Awak-kita- tidak akan diwakili dan lega dengan rundingan sebegitu,” katanya.
“Demokrasi sejati tidak seperti itu, apabila perundingan tidak lebih sekadar prosedur. Kita berhak rundingan yang lebih baik.”– 10 Mac, 2018.
Komen