SKMM cadang denda RM500,000, penjara 10 tahun untuk kes berita palsu


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencadangkan agar hukuman bagi kesalahan berhubung sebaran berita palsu perlu ditingkatkan sehingga RM500,000 denda serta penjara 10 tahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Dr Mazlan Ismail berkata hukuman denda RM50,000 dan penjara setahun yang diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada terlalu ringan dan tidak menggerunkan pelaku, lapor akhbar Berita Harian. 

“Ini sebagai pengajaran supaya masyarakat kita tidak menyebarkan berita tidak benar,” kata Mazlan yang menyokong agar undang-undang khusus digubal untuk mengatasi sebaran berita palsu.

Undang-undang baru itu menerima tentangan pelbagai pihak terutama pengamal media yang bimbang ia akan disalahguna kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara, maklumat dan media.

Malah pemerhati juga berpendapat undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengekang masalah penyebaran berita palsu.

Namun, Mazlan berkata, undang-undang tersebut tidak perlu dibimbangi kerana ia menyediakan perlindungan terhadap kesalahan fitnah.

“Tiada pihak perlu takut kalau tidak melakukan apa-apa kesalahan. Undang-undang baharu ini sebenarnya melindungi semua pihak, sama ada individu, keluarga, anggota masyarakat mahupun ahli politik, agar tidak menjadi mangsa penyebaran fitnah atau sesuatu yang mengaibkan. 

“Sudah sampai masanya, kita menggunakan akta khusus untuk menyekat berita palsu, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari ketika ini,” katanya kepada Berita Harian. 

Tambahnya, cadangannya amat wajar bagi memberi pengajaran masyarakat agar tidak menyebarkan berita palsu. 

Katanya lagi, undang-undang ini juga terpakai untuk pengamal media. 

“Media sosial atau konvensional dan penyiaran, tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya terbukti menyebarkan berita palsu.

“Syarikat penerbitan atau pengamal media tidak akan dikenakan tindakan sewenang-wenangnya jika mereka mengamalkan etika kewartawanan dan tidak melanggar undang-undang,” katanya lagi. 

Kerajaan pada bulan lalu membentuk satu pasukan tindakan khas pada bulan lepas untuk mengkaji undang-undang baru itu.

Ia dianggotai wakil Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. – 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen