BINTANG filem Jeremy Renner yang terkenal dengan watak sebagai Hawkeye dalam beberapa karya terbitan Marvel, berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang membajak salji.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap pelakon itu kepada media AS, The Hollywood Reporter dan Deadline hari ini.
“Kami boleh mengesahkan Renner berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil dengan kecederaan yang dialami selepas mengalami kemalangan susulan cuaca buruk semasa membajak salji awal hari ini,” kata jurucakap beliau kepada portal media hiburan itu, tanpa menyatakan di mana kemalangan itu berlaku.
“Keluarga Jeremy bersamanya dan beliau menerima rawatan yang sangat baik,” tambah jurucakap itu yang enggan namanya didedahkan.
Renner, 51, dicalonkan untuk dua anugerah Oscar bagi watak dalam filem “The Hurt Locker” dan “The Town”.
Beliau juga pernah muncul sebagai Clint Barton, juga dikenali sebagai adiwira Hawkeye, dalam beberapa filem Marvel dan siri mini baru-baru ini.
Menurut The Hollywood Reporter, Renner memiliki hartanah berhampiran pergunungan Rose-Ski Tahoe, kawasan berhampiran Reno, Nevada yang dilanda ribut ketika musim sejuk.
Beliau baru-baru ini menyiarkan di media sosial tentang keadaan cuaca buruk di kawasan sekitar Tasik Tahoe, yang bersempadan dengan California dan Nevada dan merupakan destinasi ski terkenal di dunia.
Pada 13 Disember, Renner melakukan ciapan foto sebuah kereta yang tertimbus oleh salji dengan kapsyen “Tasik Tahoe salji bukan jenaka.” – AFP, 2 Januari, 2023.
Komen