Lori minyak wangi kemalangan, 2 loji air ditutup


Muatan pati minyak wangi itu dikatakan tumpah dan mengalir masuk ke sungai. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2022.

KEMALANGAN membabitkan sebuah lori membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer (KM) 44.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Elite) arah utara berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan menjadi punca Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi ditutup pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati jarak lokasi kemalangan dengan LRA Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer (km) dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18 km.

Beliau berkata LUAS seterusnya mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk menyiasat secara menyeluruh di kawasan terlibat.

“Sehingga jam 10.30 pagi tadi bau minyak berkenaan masih dikesan di dalam aliran sungai dengan bacaan 1 ton (Nombor Bau Nilai Ambang).

“Oleh itu LRA hanya boleh beroperasi semula setelah bacaan 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut di muka sauk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata lori terbabit ditunda manakala kontena yang dibawa dalam proses pengalihan.

Katanya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta kontraktor melaksanakan kerja-kerja pencegahan dengan pemasangan halangan serta pembersihan awal bagi mengekang kesan tumpahan.

Hee berkata LUAS turut meletakkan tiga penyekat minyak (oil boom) dan penyerap minyak (oil pad) di lokasi tersebut serta 12 beg karbon aktif di Sungai Limau Manis bagi mengurangkan kesan bau.

“Pelepasan air Empangan Semenyih sekitar 360 juta liter sehari (JLH) juga dilaksanakan bagi tujuan peningkatan kadar pencairan di Sungai Semenyih yang akan membantu mengurangkan kesan bau di dalam sungai.

“Kerja-kerja pembersihan ini dijangka selesai pada sekitar jam 5 petang hari ini,” katanya. – Bernama, 24 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen