Laporan Unicef dedah sikap Umno abaikan rakyat marhaen, kata Bersatu


Diyana Ibrahim

Timbalan pengarah strategi dan dasar Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, apabila dasar gagal dilaksanakan dengan baik, yang paling teruk menanggung kesan ialah kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mac, 2018.

TIMBALAN pengarah strategi dan dasar Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyelar parti Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mengabaikan isu kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak di flat kos rendah di Kuala Lumpur

Kata Wan Saiful, parti kerajaan persekutuan itu tidak bertanggungjawab kerana tidak membuat susulan ke atas kes yang dilaporkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) itu.

Katanya, sikap parti kerajaan itu juga dapat dilihat melalui pentadbiran kewangan untuk membantu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum ini.

“Apa yang berlaku sekarang ialah tiadanya kebertanggungjawaban dan kegagalan untuk membuat susulan. 

“Pada tahun 2017 Kementerian Kewangan sepatutnya memperuntukkan RM300 juta untuk menyelenggara PPR, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dengan wang itu. 

“Masalah sebegini sudah terlalu banyak dan mencerminkan kekurangan fokus Umno terhadap isu yang penting bagi rakyat biasa. Umno gagal memahami keperluan rakyat,” kata Wan Saiful.

Tambahnya, ia turut menunjukkan bahawa pemimpin Umno tidak memahami cabaran kehidupan sebenar yang dihadapi rakyat pada masa ini.

Bekas pengarah eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata, kajian yang dijalankan institut tersebut sebelum ini menunjukkan kesusahan dialami penghuni PPR tersebut sudah lama berlarutan.

“Ambulans dan kenderaan bomba tidak boleh sampai ke rumah pangsa, penyelenggaraan bangunan yang tidak sempurna dan penduduk tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik yang stabil dan air bersih.

“Semua ini adalah cabaran yang tidak pernah dialami oleh pemimpin mewah Umno. Mereka sudah terpisah dari cabaran harian yang dihadapi oleh rakyat biasa,” tambah Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Unicef itu yang diterbitkan pada 26 Februari lalu menunjukkan kanak-kanak di flat kos rendah kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup yang lain.

Penerbitan laporan itu mencetuskan perdebatan hangat, namun ia ditolak mentah-mentah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyifatkan pendedahan itu sebagai mengarut.

Menurut Datuk Bandar Mohd Amin Nordin Abd Aziz, kajian DBKL menunjukkan kehidupan penduduk flat bertambah baik.

Parlimen juga semalam menolak usul oleh ahli Parlimen DAP, Charles Santiago untuk membahaskan laporan Unicef kerana tidak ada keperluan mendesak terhadap perkara itu dan tidak melibatkan kepentingan awam.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ingin mengubah situasi tersebut ia memerlukan pendekatan yang terancang seperti program bantuan tunai bersasar.

“Kita juga perlu memperkasakan pertubuhan kebajikan dan NGO yang sudah lama melakukan kerja secara aktif di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen