KETIKA mereka baru sahaja pulih daripada kesan pandemik Covid-19, pemain industri pelancongan berkata jangkaan terhadap kemelesetan ekonomi dan inflasi yang meruncing akan menyukarkan industri itu.
Mereka berdoa dan berharap rakyat Malaysia akan tetap mengembara di dalam dan ke destinasi luar negara.
Mereka berharap lebih ramai pelancong asing akan mengunjungi negara ini tetapi berkata pemain tidak seharusnya meletakkan keutamaan terhadap pelawat dari China kerana negara itu bergelut dengan peningkatan ketara kes Covid-19.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata pasaran boleh optimistik tetapi perlu berhati-hati.
Beliau bagaimanapun berkata, sikap positif terhadap peningkatan pempamer pada pameran Matta tahun depan menunjukkan petanda yang menggalakkan bagi industri dan pasaran.
“Tahun depan, pameran Matta kali ke-52 akan berlangsung dari 17 hingga 19 Mac dan setakat ini, kami sudah mencapai angka 1,100 gerai pameran dan kami terpaksa memindahkan pameran itu ke Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).
“Jadi, ia menunjukkan terdapat keyakinan dalam pasaran untuk perniagaan itu meningkat kerana rakyat Malaysia terus mencari peluang untuk melancong,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
Edisi ke-51 pameran Matta diadakan pada September lalu, yang mana Tan berkata hanya kira-kira 350 pempamer mengambil bahagian.

“Melihat kepada trend, kami optimis untuk 2023 berdasarkan sambutan pameran Matta oleh pempamer, lembaga pelancongan negara, lembaga pelancongan negeri, lembaga pelancongan serantau dan antarabangsa yang komited untuk mengambil bahagian.
“Ia menunjukkan kami perlu berhati-hati tetapi kami juga berada pada tahap positif pemulihan,” tambahnya.
Bagaimanapun, Tan berkata kemelesetan ekonomi global sesuatu yang tidak boleh diketepikan.
“Kadar inflasi yang tinggi, dengan kemelesetan global yang datang dan dengan isu bekalan makanan yang hadir, ini adalah cabaran yang kita tidak boleh ketepikan sama sekali.
“Oleh itu, kemelesetan global yang akan berlaku dengan inflasi yang tinggi adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan dan kebanyakan negara tidak akan terlepas daripada situasi kewangan,” katanya.
Pelancongan adalah salah satu penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar.
Tan berkata pelancongan di Malaysia perlu mendapat lebih tumpuan di peringkat antarabangsa jika mahu menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini.
“Kita perlu mencuri tumpuan dunia, dalam pasaran, dalam promosi luar negara, dalam media sosial,” katanya. – 1 Januari, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen