PAMERAN Pelancongan Antarabangsa Malaysia (Matta) yang diadakan baru-baru ini menarik minat sebilangan besar rakyat Malaysia yang teruja ingin melancong ke luar negara selepas dua tahun terperap di rumah, kata pakar industri.
Mereka berkata, destinasi utama dalam kalangan rakyat Malaysia setakat ini adalah Eropah dan Turki, manakala majoriti juga memilih perjalanan domestik kerana bimbang dengan wabak Covid-19.
Selagi tiada wabak besar, mereka berkata, orang ramai akan meneruskan perjalanan apatah lagi sempadan sudah dibuka semula.
Setiausaha Agung Matta Nigel Wong berkata pameran terbaharu itu menarik lebih 21,000 orang.
“Berdasarkan laporan awal, sasaran kami untuk mencapai jualan RM40 hingga RM45 juta dicapai,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
Ramai hadir ke pameran itu bertanyakan maklumat perjalanan serta tambang penerbangan, menjadikan pameran itu berjaya, katanya.
Wong berkata ramai memilih untuk melancong ke Eropah dan Turki manakala ada yang memilih untuk melancong di dalam negara kerana pandemik Covid-19.
“Setiap orang mempunyai keutamaan mereka tetapi Matta membuktikan orang ramai mahu mengembara semula.”
Buat masa ini, pengendali memberi tumpuan kepada pasaran Asia dan India, kata Wong, termasuk usaha menarik pelancong dari negara itu.
“Pelancong India antara sasaran utama kami, mereka pelancong terbaik untuk menyokong pemulihan industri di Malaysia.
“Tiada banyak perbezaan dari segi makanan dan budaya. Mereka berasa selesa di sini.
“Kami juga memberi tumpuan kepada pasaran Korea Selatan dan Australia kerana ada tanda-tanda mereka akan membuka semula sempadan mereka kepada pelancong tidak lama lagi.”
Wong berkata, ketika kes di Malaysia dan Eropah masih agak tinggi, selagi tiada wabak besar, industri pelancongan tidak akan terjejas.
Golongan pendapatan tinggi utamakan keselamatan
Pengarah Urusan Kumpulan Apple Vacations Sdn Bhd Koh Yock Heng berkata semasa pameran Matta, syarikat itu melancarkan jelajah 19 hari 16 malam Grand Antartika di Argentina-Ushuaia yang berharga RM160,000 seorang dan ia habis dijual.
Koh percaya golongan berpendapatan sederhana dan tinggi turut menantikan perjalanan ke luar negara kerana wabak itu tidak menjejaskan mata pencarian mereka.
Kumpulan ini sanggup membelanjakan wang untuk menikmati pengalaman perjalanan mewah, katanya.
“Mereka yang mempunyai kuasa berbelanja akan memilih pengalaman mewah dan kumpulan pelancongan lebih kecil. Sama ada hotel atau makanan, mereka sanggup membayar.”
Koh berkata, destinasi paling popular ketika Matta adalah Australia, Korea Selatan, Switzerland, Sepanyol, Portugal dan Turki.
Bagi destinasi di Asia Tenggara, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Laos paling popular, katanya.
__full.jpeg)
Koh berkata, ramai juga datang bertanyakan mengenai tambang penerbangan, insurans Covid-19, prosedur operasi standard di negara lain dan bertanyakan mengenai pakej pelancongan.
Disebabkan perang di Ukraine dan memandangkan beberapa negara belum membuka sempadan mereka, Koh berkata, beliau menasihatkan mereka yang ingin melakukan perjalanan supaya menempah perjalanan lebih awal bagi mengelak kenaikan tambang penerbangan.
“Pakej hari ini lebih fleksibel yang mana pembatalan dibenarkan sebulan sebelum berlepas dan bayaran balik penuh diberikan. Insurans juga boleh memberi ketenangan kepada orang ramai.”
Dengan insurans, jika seseorang dijangkiti Covid-19 semasa perjalanan, mereka boleh dirawat secara tempatan, sesuatu yang perlu diambil perhatian oleh agensi, kata Koh.
“Kami memperkenalkan 10 langkah keselamatan dan pelancong sanggup membayar yuran lebih tinggi untuk selamat.”
Jumlah pertanyaan terlalu banyak
Pengarah PTS Travel & Tours Sdn Bhd Saw Being Teik berkata, syarikatnya menerima sambutan positif semasa Matta.
“Rakyat Malaysia memilih negara yang tidak memerlukan kuarantin seperti Eropah dan Turki yang sangat popular.
“Disebabkan pertukaran mata wang, perjalanan ke Turki juga agak berpatutan.”
Perjalanan domestik juga menerima banyak pertanyaan, kata Saw.
“Kami berasa lega kerana ramai orang datang melawat dan membayar deposit untuk perjalanan mereka.”
Orang ramai sanggup meletakkan deposit untuk pelan perjalanan mereka kerana percaya keadaan akan bertambah baik menjelang Ogos atau Oktober, kata Saw.
Pakej sekarang juga lebih fleksibel, yang mana tarikh berlepas tidak ditetapkan, tetapi orang ramai masih sanggup membayar dan ia petanda baik, katanya.
Disebabkan wabak itu, kos perjalanan ke luar negara juga lebih mahal kerana ia termasuk kos saringan, tegasnya.
Saw berkata, pengendali berharap China akan membuka sempadannya tidak lama lagi supaya rakyat mereka boleh melancong ke Malaysia.
Albert Tan dari Tong Yan Travel & Tour berkata, kejayaan Matta memberi harapan kepada mereka Malaysia International Travel Mart (MATM) yang akan diadakan di Pulau Pinang pada Julai, turut akan berjaya.
Pada Julai, lebih banyak negara akan membuka sempadan mereka sekali gus menjadi petanda bagi industri pelancongan, kata Tan.
“Kami memutuskan untuk mengadakannya pada Julai bagi memanfaatkan cuti sekolah dan cuti umum sekali gus menarik lebih ramai orang.”
Buat masa ini, pengendali hanya tertumpu terhadap Eropah, Turki, Korea Selatan dan Jepun.
Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April selepas dua tahun. Sempadan ditutup pada 18 Mac 2020 apabila Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan virus itu. – 17 April, 2022.
Komen