Kenapa perlu berunding lagi dengan pemaju, soal Anak kepada Felda


Diyana Ibrahim

Presiden Anak, Mazlan Aliman (dua dari kiri) turut membidas keputusan Felda yang meneruskan projek pembangunan KLVC di kesemua 24 lot tanah di Jalan Semarak. – Gambar fail The Malaysian Inisght oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2018.

PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mempersoalkan tindakan Felda meneruskan rundingan dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), bukannya mengheret syarikat pemaju itu ke muka pengadilan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, Felda sepatutnya mendapatkan segera hasil siasatan polis mengenai kes tersebut.

“Shahrir Samad tak perlu cakap berbelit-belit. Jawatankuasa khas ini untuk apa?

“Kalau tanah itu dah dikembalikan, apa keperluan berunding dengan SPSB yang dituduh menipu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Felda awal pagi tadi mengumumkan telah berjaya mendapat kesemua lot tanah di Jalan Semarak walaupun sebelum ini dikritik banyak pihak yang usaha mereka tidak akan berjaya.

Shahrir pada sidang medianya berkata, rundingan semula antara Felda dan SPSB termasuklah penambahbaikan terma dan syarat perjanjian pembangunan.

Katanya, Jawatankuasa Khas Rundingan dilantik pada 8 Februari lalu di mana ia turut disertai Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan Ahli Lembaga Felda.

Sebelum ini pendedahan mengenai skandal itu dilaporkan Berita Harian dengan memetik sumber sebagai berkata, pindah milik tanah dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik SPSB sebagai pemaju utama pada 3 Jun, 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.

Perjanjian itu dilakukan ketika Isa Samad menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari, 2011 hingga 19 Jun tahun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 hingga 2017.

Akhbar pro-kerajaan itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak yang diambil alih untuk dimajukan pembangunan bercampur projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam empat perjanjian jual beli tanah (SPA) antara Felda dengan syarikat pemaju KLVC, SPSB sebelum ini.

Dalam masa sama, Mazlan turut membidas keputusan Felda yang meneruskan projek pembangunan KLVC di kesemua 24 lot tanah di Jalan Semarak.

“Jika sebelum ini Shahrir menyebut tidak berminat meneruskan pembangunan Vertical City di atas tanah Jalan Semarak, mengapa ia diteruskan?

“Adakah ini suatu sandiwara untuk menutup kelemahan urus tadbir Felda hingga tanah Jalan Semarak terlepas kepada SPSB?” katanya. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen