FELDA sahkan telah mendapat kembali kesemua 16 lot tanah Jalan Semarak di Kuala Lumpur yang sebelum ini bertukar tangan kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
Pengerusinya Shahrir Abdul Samad berkata hak Felda untuk mendapat kembali tanah tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian baharu dengan syarikat itu pada 15 Januari lalu.
“Dalam perjanjian tersebut ada tiga perkara yang dipersetujui di mana SPSB dengan sukarela menukar hak milik persuratan lot tanah didaftar atas nama mereka kembali kepada Felda,” katanya pada sidang media di Menara Felda, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kejayaan mendapatkan kembali tanah tersebut sekaligus membuktikan Felda berpegang kepada janjinya untuk menyelesaikan polemik pemilikan tanah tersebut
“Kita bukan sekadar cakap sebab sebelum ini ramai yang kata hanya cakap- cakap.
“Jadi hari ini kita berjaya buktikan apa yang kita kata ini sahih,” kata Shahrir.
Shahrir bagaimanapun mengingatkan walaupun ada perjanjian baharu dengan SPSB, siasatan polis berhubung skandal tanah tersebut masih diteruskan.
Sebelum ini pelbagai pihak mempertikaikan kemampuan dan kesungguhan Felda untuk mendapat kembali tanah yang dikatakan “sudah hilang” itu.
Menurut Shahrir, pertukaran semula hak milik tanah kepada Felda itu juga dilakukan tanpa melibatkan kos.
Ahli Parlimen Johor Baru itu turut enggan mendedahkan jumlah nama yang dipanggil polis setakat ini.
“Yang itu lebih adil kalau tanya polis,” katanya yang turut menunjukkan dokumen 16 lot geran tanah pada sidang media itu.
Shahrir berkata kejayaan kembalikan tanah itu membuktikan Felda berpegang kepada janji mereka untuk menyelesaikan konflik berkenaan.
“Ini menunjukkan kita bukan sekadar cakap sebab sebelum ini ramai yang kata hanya cakap-cakap.
“Jadi hari ini kita berjaya buktikan apa yang kita kata ini sahih.”
Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi mencurigakan sejak 2015.
Pendedahan itu dilaporkan Berita Harian dengan memetik sumber berkata, pindah milik tanah dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik SPSB sebagai pemaju utama pada 3 Jun, 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.
Shahrir mengakui berlaku transaksi empat bidang tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, namun tiada sesen dibayar pada Felda
Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam empat perjanjian jual beli tanah antara Felda dan SPSB.
Perjanjian itu dilakukan ketika Isa Samad menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari, 2011 hingga 19 Jun tahun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai, 2013 hingga 2017.
Selain itu, Shahrir berkata rundingan semula antara Felda dan SPSB juga termasuk tambah baik terma dan syarat perjanjian pembangunan.
Katanya, Jawatankuasa Khas Rundingan dilantik pada 8 Februari lalu di mana ia turut disertai Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan Ahli Lembaga Felda.
“Jawatankuasa khas ini akan berunding untuk menilai tanah berkenaan pembangunan tanah dan aset kerajaan,” katanya.
Shahrir juga mengesahkan status tanah tersebut tidak dicagar pada mana-mana bank. – 9 Mac, 2018.
Komen