Wartawan WSJ terbit buku tentang Jho Low, 1MDB


Bede Hong

“Biliion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood” bakal diterbitkan pada 18 September tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Mac, 2018.

WARTAWAN The Wall Street Journal yang memecahkan tembelang 1MDB kepada dunia pada 2015 akan menerbitkan buku mengenai ahli perniagaan Low Taek Jhow dan skandal paling besar di Malaysia itu.

Naskhah bertajuk “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood” itu dikarang oleh Bradley Hope dan Tom Wright, dua orang wartawan yang disenarai pendek untuk hadiah Pulitzer, anugerah berprestij untuk kecemerlangan kewartawanan.

Menurut penerbitnya Hachette Books, buku yang bakal diterbitkan pada 18 September tahun ini merupakan satu kisah agung mengenai “sifat angkuh dan tamak tentang sosialit muda yang membuat salah satu rompakan kewangan terbesar dalam sejarah.”.

Selain itu, ia turut mendedahkan rahsia mengenai hubungan para elit kaya, perbankan, selebriti Hollywood dan ahli politik.

Tambah penerbit itu, Billion Dollar Whale “akan menjadi naskhah klasik kerana menggambarkan dunia kewangan di abad ke-21.”

Buku yang sudah boleh dipesan daripada Amazon dan Barnes & Noble itu antara lain membawa pembaca kepada krisis kewangan dunia pada 2009 ketika “graduan Wharton itu sedang bersedia untuk membuat penipuan.”

Low, dikenali sebagai Jho Low, bertemu Riza Aziz, anak Perdana Menteri Najib Razak ketika menuntut di Harrow School di London sebelum menyambung pengajian di University of Pennsylvania’s Wharton Business School.

Walaupun tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam 1MDB, nama Low menjadi buah mulut skandal itu kerana penyiasat di enam buah negara mendakwa beliau terlibat dengan urusan haram dengan beberapa ahli perniagaan, tokoh terkenal dan pegawai dari Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, Abu Dhabi dan Kuwait.

Wright yang mula meneliti masalah 1MDB kemudiannya muncul dengan satu laporan bertarikh 2 Julai 2015 yang menyebut, sejumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) dikaitkan dengan 1MDB telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib Razak pada Mac 2013, sebelum pilihan raya umum.

Najib bertanggungjawab menubuh dan menjadi pengerusi 1MDB pada 2009. Najib sentiasa menafikan penglibatannya dalam salah laku skandal itu dan mendakwa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu adalah hadiah daripada seorang putera Saudi. Pada Januari 2016, peguam negara membebaskan Najib dari sebarang tuduhan salah laku.

Mahkamah Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat menyebut, sepanjang 2009 hingga 2015, sejumlah lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB telah dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat itu dan juga oleh sekutunya termasuk Low.

Minggu lalu, sebuah kapal layar mewah bernilai RM1 bilion, Equanimity yang dimiliki oleh Low telah dirampas oleh FBI dan pihak berkuasa Indonesia.

Naskah buku yang bakal diterbitkan itu turut disebut semalam oleh pegawai bank Alex Turnbull yang juga anak kepada Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull. – 9 Mac, 2018

Baca selanjutnya di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Barat mmg x habis2 gasak jubor mo1

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • dah siap buat buku ye? ikut la. kalau betul orang 1mdb bersalah. terus terang. jalankan siasatan. tarik orang2 1mdb sekali dalam siasatan kamu. tak perlu nak cipta pelbagai spekulasi yang bukan2.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan