PERDANA Menteri Australia Malcolm Turnbull enggan terlibat dalam kontroversi berhubung kenyataan anaknya tentang syarikat pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Alex Turnbull yang dipetik secara meluas semalam berkata kerjaya perbankannya terbantut selepas beliau membangkitkan kebimbangan terhadap tawaran yang didakwa tidak telus melibatkan berbilion dolar antara Goldman Sachs dan 1MDB.
“Tidak. Saya tidak akan komen tentang itu,” kata Malcolm seperti dipetik The Sydney Morning Herald semalam selepas diminta untuk mengulas dakwaan anaknya itu.
Pada 2012 dan 2013, ketika Alex bekerja di Goldman Sachs di Singapura, bank itu menaikkan bon bernilai AS$6 bilion (RM24 bilion) untuk 1MDB, dalam urus niaga yang diatur oleh pegawai kanan bank Tim Leissner.
Bank itu memperoleh yuran dan komisyen sebanyak AS$590 juta daripada urus niaga 1MDB itu.
Akhbar Australia itu melaporkan hari ini yang bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa Malcolm agar membangkitkan dakwaan penyelewengan aset 1MDB kepada Perdana Menteri Najib Razak dalam pertemuan di sidang kemuncak Asean minggu depan.
Dr Mahathir juga menggesa Alex, yang merupakan seorang bekas eksekutif, untuk mendedahkan apa yang diketahuinya tentang peranan Goldman Sachs dalam isu bon tersebut.
“Isu itu harus dibangkitkan kepada Najib. Pasti,” kata Dr Mahathir kepada akhbar tersebut, merujuk mesyuarat Malcolm antara rakan sejawatnya dari Malaysia itu.
“Dia (Alex) mesti sanggup mendedahkan ia kepada pihak berkuasa yang betul - sama ada pihak berkuasa monetari Singapura, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekalipun,” tambah Dr Mahathir.
Pengerusi Pakatan Harapan itu merupakan pengkritik lantang Najib dan mendakwa perdana menteri itu menyeleweng dana awam berkenaan. – 9 Mac, 2018.
Komen