Sanusi Junid banyak idea luar biasa


Mustafa K. Anuar

Bekas pendukung kuat Umno, Sanusi Junid, yang berkhidmat dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pagi ini pada usia 74 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

BEKAS pendukung kuat Umno, Sanusi Junid, yang berkhidmat dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pagi ini pada usia 74 tahun.

Sebagai menteri pertanian dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad pada penghujung 1980-an, Sanusi pernah mencetuskan idea kontroversi menanam padi di atas bumbung.

Tetapi itu bukan satu-satunya idea bijak yang dicadangkan kepada ramai rakyat Malaysia. Beliau juga mencadangkan pertandingan cabut uban dan program mengurut isteri dan menggalakkan orang ramai minum lebih banyak air kelapa.

Tokoh kelahiran Kedah ini, yang pernah jadi naib presiden dan setiausaha agung Umno, mengikut langkah Dr Mahathir untuk meninggalkan parti keramat orang Melayu itu pada Mei 2008 selepas bekas perdana menteri itu hilang percaya kepada penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

Apabila Dr Mahathir sekali lagi keluar Umno dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Sanusi juga ikut serta. Beliau dilantik sebagai pengerusi lembaga disiplin Bersatu.

Selepas keluar Umno, Sanusi pernah memberitahu The Malaysian Insight pandangannya mengenai parti itu: “Saya sebenarnya tidak berminat untuk berfikir soal Umno yang saya pernah jadi ahli dulu kerana saya anggap ia tidak wujud lagi.

“Parti dengan nama sama tetapi tiada roh dan pemikiran Umno yang dulu.

“Pemimpin Umno yang saya kenal, walau apa juga kelemahannya, tidak pernah takut memihak kepada kebenaran dan tidak takut berdepan apa jua soalan yang diketengahkan padanya.”

Selepas keluar Umno, beliau menerima surat pada 2 Jun 2008 yang menyatakan beliau dipecat daripada jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sanusi memulakan kerjaya profesional sebagai pegawai pelatih di Bank Standard Chartered di Seremban pada 1963. Di situlah beliau mula berjinak-jinak dengan politik apabila menjadi ahli biasa Umno.

Beliau kemudian mendaki tangga politik dengan cepat. Setahun selepas menjadi ahli parti, Sanusi dilantik sebagai setiausaha Pemuda Umno bahagian Seremban, dan pada 1966, dilantik pula jadi bendahari Umno bahagian Seremban Timur sebelum kemudian jadi ketua penerangan dan setiausaha bahagian.

Pada 1981, Sanusi dilantik sebagai menteri pembangunan negara dan luar bandar dan selepas itu pada 1986, menteri pertanian.

Semasa jadi memegang portfolio pertanian itulah beliau muncul dengan beberapa idea kontroversi misalnya menanam padi di atas bumbung, selain idea-idea lain yang mengejutkan Malaysia seperti pertandingan cabut ubat dan mengurat isteri, kumpulan muzik petani dan kempen menggalakkan orang minum air kelapa muda.

Sanusi menjadi menteri besar Kedah yang ketujuh antara 1996 dan 1999.

Selepas menyeberang ke Pakatan Harapan, pandangan Sanusi tentang musuh politiknya pada suatu masa dulu juga berubah.

Mengulas mengenai veteran DAP, Lim Kit Siang, beliau berkata pemimpin pembangkang itu tidaklah seburuk yang digambarkan oleh propaganda Umno kerana bukan beliau yang merosakkan institusi Melayu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Haji, seperti yang didakwa oleh Umno.

“Alangkah baiknya jika ramai pemimpin Melayu seperti Lim Kit Siang,” tulis Sanusi di blognya. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen