PEMBUNUH bersiri terkenal Charles Sobhraj yang dibebaskan semalam selepas menjalani hukuman penjara seumur hidup di Nepal sejak 2003 tiba di Perancis pada Sabtu.
Mahkamah Agung Nepal memerintahkan pembebasannya setahun lebih awal mengambil kira faktor usia, kelakuan baik dan masalah kesihatan.
Mahkamah Agung berkata Sobhraj perlu meninggalkan Nepal dalam tempoh 15 hari.
Semalam, selepas dibebaskan Sobhraj menaiki penerbangan ke Paris melalui Doha dan ketika di dalam kapal terbang, dia bertegas kepada wartawan AFP dirinya ‘tidak bersalah’.
“Saya rasa sangat baik…ada banyak benda nak dibuat. Saya nak saman ramai orang. Termasuk Nepal,” katanya kepada AFP ketika dalam penerbangan pada Jumaat.
Menurut sumber, dia tiba di ibu kota Perancis pagi Sabtu dan setibanya di lapangan terbang dia dibawa oleh polis untuk pemeriksaan identiti.
Menurut polis lapangan terbang, Sobhraj bukan dikehendaki oleh pihak berkuasa di Perancis dan selepas semua pemeriksaan, dia boleh meninggalkan lapangan terbang tersebut.
Sobhraj digelar Bikini Killer kerana menyasarkan wanita muda - dan The Serpent kerana sifat menipu serta kerap melarikan diri dari penjara, kehidupan Sobhraj memberi inspirasi kepada penerbit buku dan filem antaranya drama bertajuk ‘The Serpent’ terbitan BBC.
Sobhraj bersalah membunuh dua pelancong Amerika Utara dan dikaitkan dengan beberapa pembunuhan berprofil tinggi di seluruh Asia pada 1970-an dan 1980-an. Sebelum ditahan di Nepal pada 2003 dia menghabiskan kira-kira dua dekad di penjara di India. – AFP, 24 Disember, 2022.
Komen