Pembunuh bersiri Charles Sobhraj dibebaskan dari penjara Nepal


Gambar Sobhraj yang dirakam pada 26 Mei 2014 ketika dibawa ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan. – Gambar AFP, 23 Disember, 2022.

PEMBUNUH bersiri terkenal Perancis Charles Sobhraj yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Nepal sejak 2003 selepas disabitkan bersalah membunuh dua pelancong Amerika Utara dibebaskan pada Jumaat.

Sobhraj, 78 dibebaskan dari Penjara Pusat di Kathmandu dua hari selepas Mahkamah Agung negara itu memerintahkan pembebasannya setahun lebih awal sebelum tempoh hukuman penjara berakhir.

“Dia sudah diserahkan kepada pihak imigresen dan akan kekal di bawah pengawasan mereka sehingga dia dihantar pulang,” kata pegawai penjara Ishwari Prasad Pandey kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

Keputusan Mahkamah Agung itu mengambil kira faktor usia, kelakuan baik dan masalah kesihatan, kata jurucakap mahkamah Bimal Paudel.

Mahkamah Agung berkata Sobhraj perlu meninggalkan Nepal dalam tempoh 15 hari.

Jurucakap Jabatan Imigresen Kamal Prasad Pandey berkata Sobhraj akan dihantar pulang sebaik sahaja pihaknya menerima semua dokumen yang diperlukan dan tiket penerbangan.

Namun beliau tidak menyatakan bila dan ke negara mana Sobhraj akan dihantar pulang.

“Kami akan memutuskan ke mana untuk menghantarnya selepas meneliti dokumen,” katanya.

Sobhraj tidak akan dibenarkan memasuki Nepal.

Digelar Bikini Killer kerana menyasarkan wanita muda - dan The Serpent kerana sifat menipu serta kerap melarikan diri dari penjara,  kehidupan Sobhraj memberi inspirasi kepada penerbit buku dan filem antaranya drama bertajuk ‘The Serpent’ terbitan BBC.

Sobhraj dikaitkan dengan beberapa pembunuhan berprofil tinggi di seluruh Asia pada 1970-an dan 1980-an. Sebelum ditahan di Nepal pada 2003 dia menghabiskan kira-kira dua dekad di penjara di India.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen