Khairuddin nafi cuba putus hubungan Dr Mahathir dengan anak


Khairuddin Abu Hassan berkata tuduhan oleh kumpulan 'munafik politik' dalam Pejuang hanyalah untuk menutup kelemahan sendiri dengan menuding jari pada pihak lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2022.

KHAIRUDDIN Abu Hassan menafikan dakwaan kumpulan dalam Pejuang bahawa beliau cuba memutuskan hubungan Dr Mahathir Mohamad dengan anak bekas pengerusi parti itu, Mukhriz.

Katanya, tuduhan kumpulan digelarnya “munafik politik” itu juga hanyalah untuk menutup kelemahan sendiri dengan menuding jari pada pihak lain.

“Golongan munafik politik ini sedang putar-belitkan cerita dan menuduh kalangan yang menyokong kuat wadah perjuangan Dr Mahathir sebagai cuba memutuskan hubungan di antara seorang bapa dengan anak sendiri kononnya,” katanya.

Dakwaan tersebut timbul selepas Dr Mahathir meletak jawatan dalam Pejuang minggu lalu, dakwanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin menurut langkah Dr Mahathir dengan meletak jawatan sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan turut membubarkan jawatankuasa parti negeri itu.

Turut melakukan tindakan sama, Abu Bakar Yahya yang meletak jawatan ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) dan Abu Hafiz Salleh Huddin dari jawatan ketua Pemuda Pejuang.

Mukhriz masih kekal sebagai presiden parti waktu ini selepas Dr Mahathir letak jawatan.

Selanjutnya, Khairuddin juga menyebut “kumpulan parasit” tersebut menuduh beliau serta dua lagi pemimpin Pejuang mempengaruhi Dr Mahathir membuat keputusan yang salah.

Dua pemimpin yang dimaksudkannya itu Timbalan Presiden Marzuki Yahya dan juga Abu Bakar.

Khairuddin juga memberi amaran beliau akan mendedahkan lebih banyak maklumat jika kumpulan yang dianggapnya “menikam Dr Mahathir” tersebut terus menimbulkan tohmahan.

“Seandainya golongan ini cuba untuk mereka-cerita secara tidak berasas mengenai perletakan jawatan Dr Mahathir selaku pengerusi Pejuang maka saya akan cerita secara terperinci kepada keseluruhan rakyat apa yang sebenarnya berlaku bila masa ketikanya diperlukan,” katanya.

Khairuddin tidak menyebut nama pemimpin Pejuang yang dimaksudkannya itu.

Dalam kenyataannya terdahulu, Khairuddin berkata beliau hilang kepercayaan kepada Mukhriz selepas bekas menteri besar Kedah itu mencadangkan Pejuang menyertai Pakatan Harapan.

Perkara itu didakwanya berlaku dalam mesyuarat MEP pada 15 Disember lalu.

Dr Mahathir dan semua 67 calon Pejuang kalah di semua kerusi ditandingi selain gagal mendapat undi mencukupi dalam PRU15, sekali gus hilang wang deposit.

Pejuang antara parti bernaung bawah Gerakan Tanah Air bersama Berjasa, Putra dan Iman. Kesemua calon gabungan ini bertanding di lebih 120 kerusi.  – 22 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen