Pengikut Dr Mahathir letak jawatan dalam Pejuang


Pejuang kanan Pejuang, Khairuddin Abu Hassan meletak jawatan selepas kekalahan teruk parti tersebut dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2022.

PEMIMPIN kanan Pejuang, Khairuddin Abu Hassan menyusuli tindakan pengasasnya Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan selepas kekalahan teruk parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Orang kuat Dr Mahathir itu dilaporkan meletakkan jawatan ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan membubarkan Majlis Pimpinan Negeri parti itu.

Laporan Malaysiakini menyebut, Khairuddin hilang kepercayaan ke atas presiden parti Mukhriz yang merupakan anak kepada Dr Mahathir.

Tambahnya, perjuangannya dalam parti itu tidak lagi relevan selepas Pejuang menerima peletakan jawatan Dr Mahathir.

“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa kekal berprinsip…” katanya seperti dipetik portal itu.

Dr Mahathir dan semua 67 calon Pejuang kalah di semua kerusi ditandingi selain gagal mendapat undi mencukupi dalam PRU15, sekali gus hilang wang deposit.

Pejuang antara parti bernaung bawah GTA bersama Berjasa, Putra dan Iman. Kesemua calon gabungan ini bertanding di lebih 120 kerusi. – 20 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen