Rentak calon Melayu DAP dalam PRU15


Fakhrurrazi Rashid

Pendekatan berani DAP keluar daripada zon selesa dengan mengetengahkan calon-calon Melayu pada PRU15 mendapat perhatian ramai pihak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2022.

KETIKA persaingan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bertambah sengit dan buntu, kebanyakan parti politik memilih jalan ‘selamat’. Penyandang ahli Parlimen ataupun muka baharu berwahyukan ketua parti dicalonkan semula demi mempertahankan kerusi masing-masing.

Ada penyokong parti terima sahaja hakikat ini. Sebahagian besar penyokong parti seperti Barisan Nasional (BN) - Umno pula terus protes dalam senyap setelah calon diumumkan tidak kena dengan selera mereka. Itulah lumrah  politik pilihan raya Malaysia.

Tetapi, pendekatan berani Parti Tindakan Demokratik (DAP) keluar daripada zon selesa dengan mengetengahkan calon-calon Melayu pada PRU15 mendapat perhatian rakyat dan penganalisis politik.

Ada yang berpendapat ini satu eksperimen yang akan mendatangkan risiko kekalahan kepada DAP.

Namun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mempunyai pandangan berbeza. Keputusan ini diambil bagi membuktikan keterbukaan dan komitmen DAP mengangkat pemimpin berbilang kaum, termasuk orang Melayu.

Loke menjelaskan tidak kira sama ada DAP meletakkan seorang atau lebih ramai calon Melayu sekalipun, pihak lawan akan memainkan politik sentimen untuk memburukkan calon Melayu DAP. Sebaliknya, DAP yakin rakyat semakin bijak memilih pemimpin yang mampu memberi khidmat terbaik buat rakyat.

Parti lawan beranggapan DAP tidak laku di kawasan lebih 60 peratus pengundi Melayu. Tindakan meletakkan calon Melayu hanya memberi peluang kemenangan parti lawan.  Persoalannya, sejauh manakah dakwaan ini benar?

Apakah calon Melayu DAP tidak mendapat sokongan di kerusi majoriti Melayu pada PRU15?

Pada PRU15, prestasi calon Melayu DAP di kerusi marginal cukup baik. Syerleena Rashid, calon PH di Parlimen Bukit Bendera dan Syahredzan Johan (Bangi) berjaya mempertahankan kerusi masing-masing. Ia membuktikan sokongan kepada PH di kerusi marginal kekal kukuh meskipun DAP menukar ahli Parlimen terdahulu dengan calon Melayu.

Calon DAP Syahredzan Johan berjaya mempertahankan kerusi Bangi pada pilihan raya umum lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2022.

Perlawanan ‘heavyweight’

Tumpuan calon Melayu DAP di kerusi marginal adalah di parlimen Bentong dan Ayer Hitam. Kedua-dua kerusi ini berstatus ‘heavyweight’ kerana DAP menawarkan calon Melayu DAP yang bertanding di kubu kuat pemimpin kanan MCA.

Di Parlimen Bentong, Young Syefura berdepan dengan bekas Presiden MCA, Liow Tiong Lai dan bekas ahli Parlimen DAP yang bertanding sebagai calon bebas, iaitu Wong Teck. Persaingan ini bukan mudah. PH perlu mempertahankan kemenangan di Bentong yang kali pertama mereka menangi pada PRU14.

Misi DAP untuk memenangi kerusi Ayer Hitam kali ini agak tinggi memandangkan Wee Ka Siong menang PRU14 dengan majoriti kecil sebanyak 303 undi. Keputusan meletakkan Sheikh Omar, bekas Exco negeri Johor dan Adun Paloh adalah keputusan strategik DAP untuk menawan kerusi yang mempunyai 57 peratus pengundi Melayu.

Di sebalik ketidaktentuan ini, Young Syefura berjaya mempertahankan kerusi Bentong dengan margin kecil. Pencapaian sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) Ketari selama satu penggal yang aktif turun padang dan lantang memperjuangkan nasib rakyat, memberi kelebihan kepada Young Syefura menarik sokongan pengundi Bentong.

Namun, pengundi masih mengekalkan Wee sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam pada PRU15. Sheikh bukan calon Melayu pertama yang tewas di Ayer Hitam. Sebelum ini, Zamri Mat Takis dan Hussin Sujak, calon daripada PAS pada PRU11 dan PRU12, tewas di Ayer Hitam dikalahkan oleh Wee.

Situasi calon DAP di Bentong dan Ayer Hitam ini agak menarik. Kemenangan PH di Bentong, meskipun dikatakan bekas kubu kuat MCA dan ramai pengundi Cina, calon Melayu DAP seperti Young Syefura boleh terpilih sebagai wakil rakyat di sana. Manakala pengundi Ayer Hitam pula masih mengekalkan ahli parlimen daripada BN-MCA meskipun ia merupakan kerusi parlimen yang mempunyai 57 peratus pengundi Melayu.

Kedua-dua situasi ini menunjukkan keterbukaan pengundi Cina dan Melayu boleh menerima pemimpin daripada kaum yang berbeza.

Young Syefura berdepan dengan bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai dan bekas ahli Parlimen DAP Wong Tack di Parlimen Bentong pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2022.

Tidak hilang deposit

Calon Melayu DAP yang bertanding pertama kali di kawasan lebih 70 peratus pengundi Melayu seperti Gerik, Jerai, Pontian, dan Mersing tidak hilang deposit dalam situasi pertembungan lebih tiga penjuru dan ledakan gelombang hijau yang menjejaskan kerusi PH.

Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, calon Melayu DAP di Pontian dan Mersing akan tewas dan hilang deposit. Kebanyakan calon PH yang bertanding kerusi DUN di kedua-dua kerusi parlimen pada PRN Johor tewas serta hilang.

Namun, perkara tersebut tidak berlaku. Calon Melayu DAP di Mersing dan Pontian, Zulaikha Zaidi dan Shazwan Zainal berjaya menarik sokongan pengundi dan memastikan PH tidak hilang wang deposit seperti yang berlaku pada PRN Johor. Perkara ini turut berlaku kerana kadar keluar mengundi yang lebih baik berbanding PRN Johor.

PRU15 telah membuktikan komitmen tulen DAP mengetengahkan calon Melayu sebagai pemimpin bagi semua lapisan masyarakat. Dari sudut yang berbeza, perjalanan DAP masih lagi panjang dan berliku untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu.

Pendekatan realistik seperti mengubah sudut pandang parti terhadap politik Melayu yang bertambah kompleks dan dipeunhi citrawarna politik identiti wajar dipertimbangkan DAP supaya calon diketengahkan nanti mudah menyantuni pengundi di kawasan majoriti Melayu.

Politik Melayu bukan soal berapa jumlah peruntukan disalurkan wakil rakyat DAP atau PH kepada institusi Melayu dan Islam. Bukan juga sekadar program memberi bantuan kebajikan semata-mata.

Calon DAP Ayer Hitam Sheikh Omar gagal merampas kerusi itu daripada penyandangnya Wee Ka Siong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2022.

Komitmen berpanjangan

Ia soal komitmen DAP dalam menyantuni pengundi Melayu dalam menguruskan periuk nasi yang kian dalam jangka masa panjang, lebih-lebih lagi DAP sudah dua kali menjadi  sebahagian kerajaan pusat.

Pengundi Melayu yang kian terbuka pada hari ini, wajar menilai DAP dari segi prestasi dan kesungguhan parti itu dalam menyantuni rakyat. Pendekatan ini lebih berbaloi daripada menerima bulat-bulat apa yang dikatakan pemimpin parti lawan terhadap DAP sehingga boleh memecahkan perpaduan negara.

Jika DAP sentiasa komited dalam menyantuni pengundi Melayu dengan pendekatan baharu, sudah pasti ia akan meningkatkan keyakinan orang Melayu memilih DAP sebagai parti kerajaan.

Jika tidak, maka DAP akan berhadapan dengan cabaran besar dalam meyakinkan pengundi yang kian rencam dan kompleks pada masa akan datang.

Soalnya, apakah DAP mampu menambah baik usaha mengetengahkan calon Melayu, khususnya di dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi? – 16 Disember, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen