Peranan ulama angkat nilai kemanusiaan


Mohd Syazreen Abdullah

PARA ulama, kiyai dan guru agama perlu menjadi model kemanusiaan di tengah-tengah masyarakat beragama pada hari ini. Tidak cukup sekadar berfungsi menjadi ulama tadris, ulama dakwah amar ma’ruf nahi mungkar atau ulama siyasi semata-mata.

Masyarakat mahu ulama berfungsi sebagai ejen pencerahan yang mempertahankan tradisi ilmu sekali gus dapat menyebarkan nilai moral bersifat keagamaan sederhana, kasih sayang, keadilan dan rahmah.

Selain memberi bimbingan dari sudut agama dan rohani, ulama harus mendekati umat dalam jalan dakwah kemanusiaan. Mereka mesti menterjemahkan tradisi ilmu dalam bentuk wacana nilai. Ia tidak sekadar mati di lembaran helaian teks. Kekayaan turath pondok perlu digali dan diadunkan untuk membangun kebudayaan dan kenegaraan.

Perkara ini diambil berat oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau baru-baru ini di hadapan ulama dan asatizah di Malaysia.

Beliau menegaskan nilai-nilai seperti keadilan mesti diangkat dalam wacana pada hari ini, sebagaimana beliau nukilkan dalam bukunya mengenai keadilan iaitu “Keadilan Untuk Orang Bersolat” kupasan karya nukilan ulama besar alam Melayu Syeikh Daud Al-Fatani.

Jelas, beliau mahu ulama, kiyai dan guru agama berfungsi di tengah masyarakat untuk mengangkat nilai kemanusiaan dan kesederhanaan dalam beragama. Kerana itu agamawan harus bangkit dari lena sekian lama dibuai dengan tekstual.

Tekstual tanpa aktualisasi umpama kitab dimakan anai-anai tanpa dimanfaatkan ilmunya. Demikian mesej perdana menteri seakan mahu mengembalikan semula keagungan turats sebagai tradisi ilmu Islam yang dirasai manfaatnya oleh masyarakat dengan upaya menggali kembali khazanah turath lama.

Bahkan dalam tradisi keilmuan Islam, peranan kiyai selain mengajar dan membimbing, mereka menjadi simbol perlawanan menentang kezaliman dan penindasan. Sikap mereka diilhami daripada pencerahan turath ilmu.

Justeru mereka berani melakukan ijtihad baharu dalam membahaskan isu kemasyarakatan. Muncullah Kiyai Sahal Mahfudz, KH Ahmad Sanusi dan ramai lagi.

Sejarah merakamkan ulama dan kiyai suatu masa dahulu lantang mengkritik segala bentuk penjajahan dan sifat anti kemanusiaan. Salah satu karya KH Ahmad Sanusi, ulama yang lantang terhadap anti penjajahan, penindasan adalah Majla ath-Thalibin karya Tafsir berbahasa Sunda sekitar tahun 1931-1932.

Kekuatan karya ulama Islam di Nusantara seperti KH Ahmad Sanusi ini terletak pada tafsir kritisnya itu dalam mendepani konflik perlawanan terhadap ketidakadilan sosial. Kemandirian dan sikap kritis ulama pondok suatu ketika berhadapan bentuk penjajahan tidak dapat dinafikan. Langit dan bumi dibandingkan dengan peranan ulama pada hari ini yang malu-malu kucing atau lebih selesa menegur kezaliman secara berbisik dan sembunyi.

Sejarah kemandirian peranan ulama, kiyai dan guru agama dahulu menunjukkan tradisi keilmuwan Islam di pesantren tidak kolot dan tertutup seperti yang didakwa oleh pengkaji Barat. Sebaliknya peranan pesantren sebagai perubahan masyarakat secara mendasar sekali gus menunjukkan agama Islam sentiasa membela dan menjunjung nilai kemanusiaan.

Dahulu, bentuk penjajahan dilawan oleh ulama terhadap situasi ketidakadilan dalam sosial. Misalnya salah satu peristiwa pemberontakan Petani Banten pada 1888 merupakan gerakan protes terhadap kebijakan sosio-ekonomi. Perlawanan wacana pembelaan terhadap golongan tertindas menjadi gerakan kepedulian agamawan ketika itu. Nilai keadilan dalam al-Quran menjadi zikir oleh suara-suara kiyai dalam mengajarkan turats ilmu di tengah masyarakat.

Kesan dan pengaruh persekitaran yang mendesak terhadap pembelaan kemanusiaan menyebabkan pemikiran ulama ini menjadi kritis dan pengaruhnya jelas terpampang dalam kitab tafsir mereka. Seperti KH Ahmad Sanusi dalam Majla ath-Thalibin jelas pengaruh daripada pemikirannya disalurkan dalam beberapa tempat tafsiran al-Quran. Khususnya memberikan kritik terhadap penjajahan dan wacana pengusiran.

Baginya ia sebagai pertanggungjawaban moral untuk melakukan perlawanan. Beliau menjadikan diri sebagai sosok cultural broker yang aktif memberi informasi dan kesedaran pencerahan dalam lingkungan para santri sekali gus menjadi pelopor perubahan sosial untuk menjadi lebih maju dan cakna terhadap moral membela nasib masyarakat.

Lihatlah kritikan keras beliau terhadap penguasa yang membela penjajah dan kaum elitis serta agamawan bisu yang gagal dalam mempertahankan nilai kemanusiaan dan keadilan. Sebaliknya kelompok itu memilih untuk mendokong nilai penindasan sesama manusia seperti sikap pengusiran, menghina dan membenci terhadap keberadaan sesuatu kelompok.

Oleh kerana itu, beliau tegas dalam tafsiran surah al-An’am bahawa semua orang harus dihormati dan dibela keberadaannya. Bukan diusir!

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim. (6;52)

Refleksi beliau ketika berlakunya pengasingan terhadap dirinya sendiri di Batavia Centrum sejak November 1928 hingga 1934. Sikap kritisnya itu dituangkan dalam tafsirnya yang ditulis sekitar 1931-1932 sebagai sasaran kritik sikap penjajahan dan tidak kemanusiaan. Jelas beliau menjadikan turats ilmu sebagai wadah pencerahan dalam membangkitkan kesedaran kepada masyarakat beragama dalam memahami wacana kemanusiaan.

Di sini kita dapat belajar dan mengambil ibrah beberapa contoh ringkas peranan ulama pesantren dahulu kala dalam mengalirkan sifat nilai kemanusiaan dalam tradisi turats. Tidak hanya gerakan fizikal tetapi semangat kepengarangan yang menitikberatkan semangat kemanusiaan itu berjaya disebarkan di tengah-tengah masyarakat beragama. Teks tafsir menjadi produk ulasan terhadap kehidupan sosial atas situasi budaya, agama dan negara.

Teladanilah sikap ulama, kiyai dan guru agama dahulu yang tidak sesekali menjadikan teks agama itu mati tetapi hidup sebagai penyuluh kemanusiaan demi kesejahteraan umat beragama! – 16 Disember, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen