Kararkah Kabinet kerajaan koalisi kleptokrat?


Izmil Amri

PARTI Liberal Demokrat (Lib-Dem) UK diasaskan 34 tahun lalu. Sehingga pilihan raya 2015, ia merupakan parti ketiga popular, berasaskan jumlah undi diterima. Pada 2010, bawah pimpinan Nick Clegg, ia menyertai kerajaan campuran pimpinan David Cameron. Clegg dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Pilihan raya 2010 menyaksikan parlimen UK ‘tergantung’ buat pertama kali dalam tempoh 36 tahun, justeru memaksa Cameron berunding bagi mendapatkan majoriti dan membentuk kerajaan campuran lantas mengakhiri pentadbiran Parti Buruh (Labour) selama 13 tahun.

Meski menyertai kerajaan campuran, Lib-Dem melingkup teruk pada pilihan raya 2015 dengan tewasnya 48 daripada 56 kerusi yang disandang. Sehingga kini, Lib-Dem masih bergelut untuk pulih ke era pra-koalisi. Malah pada pilihan raya 2019, ketuanya Jo Swinson kalah terduduk tidak mampu mempertahankan kerusi yang disandangnya.

Perjanjian kerajaan campuran bersama Parti Konservatif dimeterai pada bulan Mei 2010. Hanya satu bulan kemudian, tinjauan populariti Lib Dem merudum. Empat tahun kemudian, populariti parti kiri-tengah ini hanya tinggal 8%. Pergi tak kembali, bak kata kumpulan nasyid Rabbani.

Jurnal Parliamentary Affairs, terbitan Hansard Society pada 2015 menggarap dengan panjang lebar kejatuhan Lib Dem setelah ia menyertai kerajaan campuran Cameron.

Antara lain ia menyebut bahawa Lib Dem dilihat telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai sebuah parti yang melawan, dan akhirnya menjadi tumpuan utama ketidakpercayaan dan kemarahan umum.

Setahun selepas menyertai kerajaan campuran, Lib Dem tewas bertalu-talu dalam siri pilihan raya kecil dan pilihan raya kerajaan tempatan yang berlangsung. Setelah meletakkan dirinya sebagai pencabar utama Parti Buruh di kawasan bandar sebelum 2010, prestasi parti ini kian jatuh dengan merekodkan pecahan sokongan paling sedikit dalam tempoh tiga dekad.

Penyebab kepada keadaan ini adalah para pengundi jalur tengah-kiri yang merasa dikhianati. Sektor pengundi yang menyokong Lib Dem selama ini telah menyokongnya sebagai alternatif kepada Parti Buruh. Apabila Lib Dem ikut serta dalam kerajaan campuran, tapak sokongan ini mengamuk tak sudah. Mereka melihat parti tersebut sebagai sudah tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya, dan justeru tidak lagi mempunyai fungsi.

Kerajaan campuran David Cameron bukanlah kerajaan campuran yang pertama dalam sejarah UK. Kabinet Perang Winston Churchill pada 1945 tentunya lebih popular, bahkan sudah dibuat filem. Kerajaan campuran Cameron-Clegg ditubuhkan 70 tahun kemudian.

Di Malaysia, kejadian ‘parlimen tergantung’ tidak pernah berlaku. Sehinggalah penghujung November lalu. Namun kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim bukanlah kerajaan koalisi yang pertama dalam sejarah negara.

Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2022.

Pakatan Rakyat

Sedar atau tidak, kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat pasca pilihan raya umum 2008 adalah kerajaan campuran.

Ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat menempuhi PRU ke-12 secara mandiri, dan hanya membentuk koalisi selepas keputusan diumumkan pada 8 Mac 2008. Meski wujud rundingan antara parti-parti terlibat agar tidak bertembung, akomodasi politik parti-parti yang berbeza ideologi dan dasar ini hanya berlangsung apabila keputusan menunjukkan bahawa Barisan Nasional ketika itu tidak mempunyai angka mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Di Kedah, Ustaz Azizan Razak dilantik menjadi menteri besar. Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilantik menjadi ketua menteri setelah mendapat majoriti mudah bersama PKR. Manakala di Selangor dan Perak, ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP membentuk gabungan dan melantik Khalid Ibrahim dan Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar.

Penubuhan Pakatan Rakyat kemudiannya dimasyhurkan pada 1 April 2008. Kita kemudiannya dijamu dengan Buku Jingga dan Dasar Bersama, sebagai dokumen yang mengikat parti-parti komponen ketika itu. Masihkah anda ingat?

Pakatan Rakyat kemudiannya arwah pada 2015 setelah melalui sakaratul-maut yang sangat panjang dan menyeksakan. Daripada soal Langkah Kajang masuk ke hudud, kemudian pemilihan PAS yang menyaksikan gerombolan Mat Sabu terbuang dan membentuk sebuah parti baharu.

Semua itu asam garam kesan langsung daripada sebuah kerajaan campuran yang disebut ramai sebagai sebuah perkahwinan paksa, terbentuk kerana masing-masing tidak ada pilihan lain.

Soal tiada pilihan ini jugalah yang menyaksikan tertubuhnya kerajaan campuran Anwar Ibrahim pada hari ini.

Harapan Nasional?

Pengumuman jemaah menteri dan timbalan mereka oleh Perdana Menteri ke-10, atau lebih manja dipanggil “PMX” membuka ruang yang sangat besar untuk perbahasan dan proses mencerakin secara panjang lebar. Kabinet ini ditubuhkan dalam keadaan ‘tiada pilihan’.

Apa masalahnya kabinet Anwar Ibrahim? Banyak. Takkan tak ada yang bagus? Pun banyak juga. Tetapi fitrah manusia melihat tompok nista di lembar kain putih, bukan sebaliknya. Ya, memang kain itu putih, tapi kenapa ada tompok di situ?

“Biasalah tu. Dalam sebuah kabinet dapur, mesti ada satu dua mangkuk.” Demikian reaksi ramai pihak untuk cuba berseloroh dengan pengumuman kabinet Anwar yang menyaksikan penampilan semula watak antagonis, Ahmad Zahid Hamidi serta watak pelakon tambahan, Tengku Zafrul Aziz. Kedua-duanya dalam bingkai yang jauh berbeza berbanding sewaktu kempen PRU15 berlangsung. Mangkuk dan pinggan retak dalam sebuah kabinet yang baru dibeli.

Zahid dilantik menjadi timbalan perdana menteri, suatu jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Zafrul pula, seakan punya daulat yang tidak terkalahkan, kekal menjadi menteri dalam kabinet ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga tahun. Dan ini sebenarnya yang lebih membuat serabut perut ramai pihak. Zafrul tewas kepada Dr Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor. Dr Dzul tak jadi bersara kerana mahu melawan Zafrul. Zafrul kalah, tetapi dilantik jadi menteri. Belum ada khabar tentang Dr Dzul sehingga hari ini.

Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz kekal menjadi menteri dalam Kabinet ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2022.

Di sinilah kita mula menemukan dilema penyokong Pakatan Harapan dalam mendepani hari-hari muka. Di titik ini juga kita menyaksikan kesan-kesan langsung seperti domino yang tumbang berkait menuju sebuah ketentuan yang tidak pasti.

Keputusan PRU Padang Serai dan Tioman adalah domino pertama. Di Padang Serai, kerusi yang disandang PKR sejak 2008 melalui N. Gobalakrishnan. N. Surendran dan mendiang M. Karupaiya akhirnya dirampas Perikatan Nasional dengan penuh bergaya.

Dalam tempoh mungkin kurang lebih enam bulan lagi, kita bakal menyaksikan pilihan raya negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Jika Padang Serai boleh diunjur sebagai iklim politik seluruh negara, apakah ertinya buat kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Harapan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan? Adakah akan berkesudahan seperti nasib yang menimpa Lib-Dem pada 2015?

Itu belum kita ambil kira kesudahan kes Zahid yang bakal sambung bicara Januari depan. Jika terlepas bebas, apakah persepsi yang bakal diberikan kepada kerajaan; meski ia nanti gigih menepis sebarang kaitan dengan keputusan mahkamah?

Bagaimana pula kalau nanti selepas Perhimpunan Agung Umno tiba-tiba presidennya bertukar lain? Apa kesannya terhadap kerajaan koalisi?

Mampukah Anwar sebagai Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan kekal karar mendepani segala kemungkinan yang bakal berlaku? Kita hanya boleh tunggu dan lihat. Sebab, iyalah, kita bukan tahu apa. – 13 Disember, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen