Penumpang MH128 kongsi saat cemas, puji kecekapan MAS


Yasmin Ramlan Asila Jalil

Ang Teck Huat tidak menyalahkan pihak Malaysia Airlines di atas insiden yang berlaku dan akan terus mendapatkan perkhidmatannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Jun, 2017.

WALAU terkejut dengan ancaman bom dalam penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur semalam, penumpang yang mengalami insiden tersebut memuji kecekapan Malaysian Airlines (MAS) mengendalikannya.

Penumpang yang ditemubual di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2.30 pagi ini, menaiki pesawat MH128D menceritakan pengalaman mendebarkan itu.

Menurut Ang Teck Huat, 56, dia mula menyedari insiden tersebut apabila lelaki yang membuat ancaman bom itu dikejar krew kabin pesawat di kelas perniagaan dan kemudian penumpang lain menangkap tangan untuk menahan pergerakannya.

“Saya tak dengar yang dia kata ada bom tetapi penumpang di kelas bisnes mendengarnya.

“Seorang penumpang di situ bertanya kepada lelaki tersebut berapa orang lagi bersamanya dan dia menjawab lima.

“Saya tahu ia mustahil ada lima orang lagi kerana dia tidak dapat bergerak selama 30 minit tetapi tiada sesiapa datang membantu,” katanya kepada pemberita.

Ang ke Melbourne untuk melawat anaknya yang belajar di sana berkata, isterinya mengambil pesawat ke Kuala Lumpur sehari lebih awal dan sangat risau dengan berita tersebut.

“Semua orang di dalam pesawat itu menangis ketakutan. Bagaimanapun, MAS dan penguatkuasa Australia menjalankan tugas dengan cekap. Tidak mungkin boleh membawa bom kerana kastam Australia cekap.

“Kami cuma berada di tempat dan masa yang salah dan saya akan terbang dengan MAS lagi. Ia bukan satu masalah bagi saya,” katanya.

Sementara itu, warganegara Sri Lanka Manodh Marks, 25, didakwa di mahkamah majistret Melbourne hari ini kerana didakwa cuba memasuki ruang kokpit penerbangan MAS MH128 tidak lama selepas pesawat itu berlepas semasa penerbangan ke Kuala Lumpur, dan mengancam meletupkan pesawat dengan objek hitam yang didakwanya bahan letupan.

Akhbar The Age semalam melaporkan Marks memerlukan rawatan mental segera dan menderita “penyakit psikatri.”

Marks berada di Australia menggunakan visa pelajar.

Seorang warganegara Malaysia Navin Ambrous, 35, yang terbang bersama isteri dan anak perempuan berusia tiga tahun berkata pada mulanya keliru dengan apa yang terjadi kerana menganggap berlaku perubatan kecemasan.

“Saya perasan suspek membawa alat peranti berwarna hitam seperti pembesar suara dan cuba ke ruang kokpit.

“Saya memang agak panik ketika itu. Lebih-lebih lagi saya bersama anak kecil,” katanya.

“Saya gembira kami sekeluarga selamat dan masih boleh bercakap dengan anda sekarang. Krew MAS melakukan kerja yang terbaik dan saya tiada masalah terbang dengan MAS lagi,” katanya kepada pemberita.

Laporan awal menyebut objek dibawa suspek adalah “power bank” atau “speaker bluetooth”.


Jolene Teo mengakui pengalaman dilaluinya itu sangat menakutkan dan yakin dengan cara pihak berkuasa Australia menanganinya walaupun ada yang tidak puas hati dengan kelewatan ia bertindak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Jun, 2017.

Jolene Teo, 39, seorang hartanah pula menganggapnya pengalaman ngeri. 

Bagaimanapun, pada masa sama tidak menyalahkan MAS mahupun penguatkuasa Australia yang dikatakan lambat bertindak.

Dilaporkan penumpang terpaksa menunggu hampir 90 minit apabila pesawat itu berpatah balik selepas meninggalkan Lapangan Terbang Melbourne pada jam 11.11 malam. Kejadian itu berlaku 10 minit selepas ia berlepas.

“Ia sangat menakutkan, dan lelaki itu mabuk dan mempunyai mental yang tidak stabil.

“Memang penumpang terpaksa menunggu agak lama bagi penguatkuasa Australia bertindak seperti dilaporkan, tetapi saya percayakan mereka.

“Ini juga bukan salah MAS. Ini salah penumpang itu (Marks). Jadi saya tiada masalah untuk terbang bersama MAS lagi,” katanya.

Berbeza dengan Teo, warga Australia, Emerson Tan, 41, berkata pengalaman itu belum cukup menakutkannya jika dibandingkan dengan apa yang dialaminya sebelum ini, sebagai seorang yang pernah bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya pernah melalui perkara lebih menakutkan. Saya selalu terbang dengan MAS dan mereka melakukan tugas terbaik setakat ini.

“Pada kejadian itu mereka (kabin krew) hanya dapat melakukan apa yang termampu,” katanya.

Tan yang merupakan warga Australia datang ke Malaysia untuk melawat saudaranya berkata, Marsk kelihatan sangat terganggu dan mental tidak stabil.

“Saya duduk di kelas perniagaan dan dia tiba-tiba membuat kecoh dan mahu berjumpa dengan juruterbang.

“Kabin krew cuba menahannya dan penumpang yang lain di situ turut melakukan perkara sama untuk membantu. Ramai cuba menerkamnya dan saya ke tempat saya semula kerana ia cukup jelas dia tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Tambahnya, situasi tegang sehingga pesawat itu berpatah balik ke Melbourne.

“Sangat jelas lelaki itu bukan ancaman,” katanya.

Pesawat membawa 337 penumpang dan anak kapal itu terpaksa berpatah balik ke Melbourne dan membatalkan penerbangan ke Kuala Lumpur hanya selepas 10 minit berada di udara.

Ia terpaksa membuat pendaratan kecemasan selepas seorang lelaki dikatakan mabuk cuba menceroboh kokpit penerbangan dari Melbourne. Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dihentikan sekumpulan penumpang dan anak kapal. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen