LELAKI yang membuat ancaman bom dalam penerbangan ke Kuala Lumpur, MH128 memerlukan rawatan mental segera dan menderita “penyakit psikatari,” lapor akhbar The Age hari ini.
Warganegara Sri Lanka Manodh Marks, 25, didakwa di mahkamah majistret Melbourne hari ini kerana didakwa cuba memasuki ruang kokpit penerbangan Malaysia Airlines MH128 tidak lama selepas pesawat itu berlepas, dan mengancam untuk meletupkan pesawat itu dengan objek hitam yang didakwanya bahan letupan.
Laporan awal menyebut yang objek itu adalah “power bank” atau “speaker bluetooth”.
Dia berada di Australia menggunakan visa pelajar.
Pesawat itu membawa 337 penumpang dan anak kapal terpaksa berpatah balik ke Melbourne dan membatalkan penerbangan ke Kuala Lumpur hanya selepas 10 minit berada di udara, lapor akhbar itu.
Marks didakwa kerana kesalahan di bawah Akta Jenayah Penerbangan Komanwel 1991, yang melibatkan kecuaian sehingga membahayakan keselamatan dalam pesawat, melakukan ancaman atau kenyataan palsu dan mengancam untuk memusnahkan, merosakkan atau membahayakan keselamatan pesawat atau membunuh atau mencederakan sesiapa sahaja dalam pesawat.
Dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun sekiranya didapati bersalah.
Marks tidak hadir di mahkamah hari ini, kerana kebimbangan keselamatan yang ditimbulkan majistret Suzanne Cameron.
Peguambelanya Tessa Dunsford memberitahu mahkamah yang Marks bimbangkan keselamatannya dalam tahanan kerana “umur dan penampilannya”.
Tiada permohonan ikat jamin dibuat dan Marks akan ditahan reman sehingga menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada Ogos depan.
Dunsford memberitahu mahkamah yang Marks “sebelum ini merupakan pesakit di Monash Health ( sebuah pembekal penjagaan kesihatan dengan kemudahan terletak di seluruh Melbourne)”, tetapi tidak dapat dipastikan masalah kesihatan yang dialaminya.
AFP sebelum ini melaporkan yang Marks dibebaskan daripada penjagaan psikatari beberapa jam sebelum penerbangan itu berlepas. – 1 Jun, 2017.
.
Komen