Pakatan letak dasar pro-Bumiputera dalam manifesto


Radzi Razak

Dasar tindakan afirmatif (affirmative action) yang sebelum ini tidak dimasukkan dalam Buku Jingga, manifesto 2013 pembangkang itu dilihat sebagai salah satu penyebab merosotnya sokongan Melayu. Gambar menunjukkan pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mac, 2018.

BAGI menarik sokongan Melayu, Pakatan Harapan akan memuatkan dasar pro-Bumiputera dalam manifesto yang bakal dilancarkan esok.

Dasar tindakan afirmatif (affirmative action) yang sebelum ini tidak dimasukkan dalam Buku Jingga, manifesto 2013 pembangkang itu dilihat sebagai salah satu penyebab merosotnya sokongan Melayu. 

“Ya, ia dimuatkan dalam manifesto kali ini,” kata Ketua Sekretariatnya Saifuddin Abdullah kepada The Malaysian Insight di Parlimen hari ini.

Ketiadaan sebarang polisi yang membantu Bumiputera sebelum ini dilihat beberapa penganalisis sebagai antara sebab lemahnya sokongan kaum Melayu dan luar bandar terhadap PH.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Kajian Asia IKMAS Dr Faisal S. Hazis turut berpendapat parti pembangkang perlu “mengahwinkan” naratif Melayu dengan polisi “garis tengah” yang dibawa PH.

“Pada tahun 2011, dalam kerangka Buku Jingga Pakatan Rakyat, ada dirujuk perkara seperti hak istimewa Melayu, agama Islam dan sebagainya dalam kerangka polisi bersama pakatan. Tapi menjelang 2013, polisi itu tidak lagi dibawa.

“Umno kemudiannya mengambil kesempatan dengan berkempen bahawa Pakatan telah dikuasai bukan Melayu dan Pakatan hilang banyak kerusi kerana itu,” kata Dr Faisal.

PH bakal melancarkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok di Shah Alam yang menjanjikan 60 perkara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mereka turut yakin dapat melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14.

Saifuddin menegaskan manifesto 201 muka surat itu tidak mengandungi janji populis, sebaliknya lebih bersifat praktikal.

“Manifesto ini adalah sangat praktikal malah Harapan tidak memasukkan janji-janji populis yang tidak mampu ditunaikan.

“Sebenarnya ada perkara-perkara yang populis tapi kita tahu tak mampu buat jadi kita tak akan umumkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Manifesto itu terbahagi kepada 5 perkara utama iaitu; mengurangkan kos sara hidup rakyat, reformasi institusi dan dasar, memacu ekonomi kukuh, mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mewujudkan Malaysia yang inklusif dan moderat. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen