
PAKATAN Harapan akan melaksanakan manifesto kebangsaannya di negeri yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, walaupun sekiranya mereka gagal menakluk Putrajaya, kata Saifuddin Abdullah.
Ketua sekretariat PH itu berkata, setiap negeri juga akan mempunyai “manifesto mini” bagi melaksanakan keperluan yang lebih terperinci.
“Ianya akan dilaksanakan diseluruh peringkat.
“Manifesto itu adalah komitmen kami, tidak kisah sama ada kami didaftarkan sebagai gabungan,” katanya merujuk kepada permohonan PH untuk didaftarkan sebagai gabungan rasmi.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan yang tempoh dua penggal untuk jawatan tertinggi dalam kerajaan PH akan dikuatkuasakan bila menang PRU14.
Pagi tadi PH berkata, yang mereka yakin dapat melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14.
Dalam manisfesto yang akan dilancarkan tidak lama lagi, PH menyenaraikan beberapa langkah antara lain menyentuh mengenai ekonomi rakyat selain reformasi institusi dan dasar.
“Buku Harapan” oleh PH, yang dijadualkan akan diumumkan esok, terbahagi kepada 5 perkara utama iaitu; mengurangkan kos sara hidup rakyat, reformasi institusi dan dasar, memacu ekonomi kukuh, mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mewujudkan Malaysia yang inklusif dan moderat.
“Janji untuk mengenakan had dua penggal terpakai untuk negeri-negeri yang dimenangi PH,” kata Saifuddin menjawab soalan sama ada dasar itu terpakai buat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang telah pun memegang jawatan itu untuk tempoh dua penggal.
Tambahnya, gabungan pembangkang tidak akan memasukkan beberapa dasar yang berbaur populis.
“Ianya manifesto yang praktikal. Ada perkara yang populis, dan kami tahu yang ianya tidak dapat dilaksanakan di beberapa negeri.
“Tetapi, ada perkara yang rakyat fikir susah untuk dilaksanakan. Namun kami dah buktikan (yang ianya mampu dilaksanakan) di Selangor dan Pulau Pinang.”
Tambah Saifuddin, dalam manifesto 201 muka surat itu, terdapat 60 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
“10 daripada 60 janji itu akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari andai kata PH menang (dalam PRU14),” ujarnya. – 7 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan