PENGERUSI Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi meminta Muhyiddin Yassin untuk berhenti “merengek serta meroyan”, sebaliknya beruasaha memastikan Perikatan Nasional menjadi pembangkang yang kuat.
Dalam catatan di Facebook, beliau yang juga presiden Umno itu memberitahu Muhyiddin dan sekutunya untuk mencontohi DAP yang lebih mementingkan negara berbanding parti dan individu.
“Mahiadin (Muhyiddin) dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu dan perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Zahid menambah yang pengerusi Bersatu dan sekutunya juga patut berasa malu kerana kelihatan gila kuasa sehingga tidak menghormati institusi diraja.
Beliau menambah yang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memberi perkenan ke atas pelantikan Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.
“Mahiaddin (Muhyiddin) perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Mahiaddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Mahiaddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata tindakan Muhyiddin mengecam Anwar yang turut menjawat jawatan menteri kewangan adalah sebagai tidak berasaskan keperluan semasa.
Jelasnya, prestasi Anwar sebagai menteri kewangan sebelum ini diiktiraf pelbagai pihak membuktikan kewibawaannya berbanding Muhyiddin yang terpalit pelbagai skandal.
“Anwar juga pernah mendapat The Asian of The Year dan Malaysia mendapat gelaran The Asian Tiger kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan.”
Semalam, Muhyiddin mengecam barisan jemaah menteri dicadangkan Anwar, menyifatkannya sebagai “Kabinet Kleptokrat”.
“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut mengecam Anwar kerana memegang portfolio menteri kewangan, yang didakwanya boleh membawa kepada pemusatan kuasa.
“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.
“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” kata Muhyiddin.
Kritikan Muhyiddin itu bagaimanapun dikecam Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil yang berkata Kabinet Anwar dipersetujui semua parti dalam kerajaan perpaduan.
Tambahnya, Muhyiddin sepatutnya lebih tahu yang kerajaan semasa bukanlah kerajaan PH untuk Anwar melantik sesiapa sahaja yang dimahukannya. – 4 Disember, 2022.
Komen