Anwar pimpin Kabinet kleptokrat, kata Muhyiddin


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kecam Kabinet Anwar Ibrahim yang dilabelnya sebagai kleptokrat kerana melantik individu yang terbabit rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2022.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana melantik kleptokrat menganggotai Kabinetnya.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkan sebagai timbalan perdana menteri malam tadi, walaupun selama ini lantang bercakap tentang pentadbiran yang bersih.

“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Anwar turut menamakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof yang juga mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai timbalan perdana menteri kedua.

Bagaimanapun, pelantikan Zahid disambut dengan reaksi berbeza-beza daripada rakyat berikutan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu masih sedang berdepan 47 tuduhan rasuah.

Ramai yang melihat pelantikan Zahid itu sebagai mesej salah tentang pendirian tegas Anwar terhadap anti rasuah, sementara ada berkata ia langkah perlu untuk memastikan kestabilan kerajaan yang terbentuk daripada pesaing politik.

Muhyiddin melabel Kabinet Anwar sebagai “Kabinet kleptokrat” yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

Beliau turut menyelar Anwar kerana memegang jawatan menteri kewangan, yang boleh membawa kepada pemusatan kuasa.

“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.

“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” kata Muhyiddin. – 3 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen