Anwar mahu teruskan usul undi percaya terhadapnya


Ravin Palanisamy

USUL undi percaya tetap akan diteruskan di Dewan Rakyat 19 Disember ini bagi membuktikan kerajaan perpaduan cukup sokongan, dan untuk tangani persoalan keabsahannya, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata demikian menjawab cadangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh supaya pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak bentang usul tersebut kerana ia membuang masa, selain sudah jelas Anwar cukup sokongan ahli parlimen.

“Ya betul. Ramkarpal mentafsirnya mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana majoriti yang jelas.

“Saya sudah bincangkan dan ini bukan sekadar mengenai kehendak Perlembagaan Persekutuan tetapi kita juga perlu ambil kira kesahihan dari aspek persepsi politik.

“Jadi, kita masih akan teruskan usul undi percaya pada 19 Disember,” kata presiden PKR kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya hari ini.

Pada Sabtu, Ramkarpal berkata Anwar tidak perlu berdepan dengan undi percaya apabila Parlimen bersidang 19 Disember ini.

Ketika ini sudah jelas yang Ahli Parlimen Tambun telah mendapat majoriti lebih 140 kerusi di Dewan Rakyat, katannya.

“Malah mungkin PH kini sudah dapat majoriti dua pertiga di Parlimen,” katanya pada Sabtu.

Ramkarpal berkata keperluan usul undi percaya adalah berpandukan Perlembagaan, yang juga berlaku di United Kingdom dan negara Komanwel lain.

Beliau mengambil contoh bekas perdana menteri United Kingdom Boris Johnson yang terselamat daripada undi percaya pada Jun 2022, sama seperti yang terjadi terhadap Theresa May pada 2018.

Ramkarpal berkata jelas kedua-dua mereka tidak ada majoriti selesa, dan oleh itu, perlu uji sokongan mereka.

Pada sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai perdana menteri, Anwar berkata beliau mahu berdepan usul undi percaya di Parlimen bagi membuktikan beliau cukup jumlah untuk membentuk kerajaan. – 28 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen