PM10 tak perlu usul undi percaya di Parlimen, kata Ramkarpal


Noel Achariam

PEGUAM Ramkarpal Singh berpendapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak perlu berdepan dengan undi percaya apabila Parlimen bersidang 19 Disember ini.

Ketika ini sudah jelasyang Ahli Parlimen Tambun telah mendapat majoriti lebih 140 kerusi di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Bukit Gelugor.

“Malah mungkin PH kini sudah dapat majoriti dua pertiga di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada Khamis, Anwar berkata usul pertama apabila Dewan Rakyat bersidang, selain angkat sumpah, adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya

“Jadi tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai PM10 di Sungai Long, Kajang pada Khamis.

Jumaat lepas presiden PKR berkata kerajaan perpaduannya mendapat sokongan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta 23 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), enam daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tiga daripada Warisan, dan seorang daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bersama PH, sokongan ahli parlimen ini memberikan Anwar majoriti sebanyak 145 daripada 222 kerusi Parlimen.

Ramkarpal berkata undi percaya perlu digalakkan apabila terdapat keraguan sama ada kerajaan cukup atau tidak kerusi.

“Misalnya apabila Perikatan Nasional (PN) berkuasa selepas Langkah Sheraton.

“Dalam keadaan itu, Muhyiddin Yassin (pengerusi PN) sepatutnya buat demikian kerana tidak jelas sama ada beliau dapat sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen.

“Dalam keadaan sebegitu, kegagalannya berbuat demikian wajar dikritik hebat,” katanya.

“Dengan konsesi dan pengesahan Muhyiddin bahawa PN akan memberikan semak dan imbang kepada kerajaan dengan menjadi pembangkang, keperluan untuk undi percaya oleh PH tidak timbul.

“Lebih baik beri tumpuan kepada bajet dan buat persediaan rapi untuk perkara yang sama dalam sidang parlimen akan datang daripada buang masa untuk undi percaya.” – 26 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen