Bolehkah Anwar redakan Gelombang Hijau?


Fakhrurrazi Rashid

Kekuatan Perikatan Nasional dan PAS tidak lagi boleh dipandang enteng, mereka berjaya menggempur kubu kuat Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRU15 lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah pun diketahui. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, tidak ada gabungan parti yang melepasi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Akhirnya, kerajaan perpaduan atas muafakat dengan gabungan parti politik dibentuk dan diterajui Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim.

PRU15 memberi perspektif yang jelas dalam beberapa perkara. Pertama, riwayat Umno-BN seperti telur di hujung tanduk.

Kedua, Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan momentum namun tidak mampu mempertahankan kubu kuatnya.

Ketiga, Perikatan Nasional (PN) dapat menarik pengundi dan mengempur kubu kuat PH dan BN.

Sudah pasti, perspektif ketiga itu mengejutkan kebanyakan rakyat Malaysia. Dalam diam, PN telah menjadi pesaing hebat antara PH dan BN meskipun baru dua tahun berada dalam arena politik. 

Berbeza dengan kempen kawasan-kawasan lain di Semenanjung, persaingan PRU15 di Pantai Timur Malaysia meliputi Terengganu, Pahang, sebahagian Johor, dan wilayah utara dari Perak sampai ke Perlis dihangatkan dengan perang saraf politik dipanggil “Gelombang Hijau”.

Jika PRU14, gelombang ini berjaya meletakkan PAS semula sebagai kerajaan Terengganu, kali ini PAS berjaya sapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan. Malah, berjaya membentuk kerajaan Perlis setelah enam dekad diperintah BN.

Ledakan gelombang hijau juga telah meningkatkan jumlah kerusi PN di Perak dan Pahang sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin dan PAS diketuai Abdul Hadi Awang semakin berkuasa di Pantai Timur, sebahagian Johor dan wilayah Utara Semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

Signifikan Gelombang Hijau

Lebih mengejutkan lagi apabila PN berjaya menumbangkan kerusi asas PH sejak 2008 di Selangor dan Pulau Pinang pada PRU15 kali ini. Soalnya, bagaimanakah fenomena ini berlaku?

Pertama, PAS dilihat sebagai parti pilihan utama di kawasan demografi majoriti pengundi Melayu. Kecelaruan Umno yang terpalit dengan isu integriti dan pengaruh PH yang kurang menonjol di wilayah ini telah membolehkan PAS menggempur kubu kuat lawan seperti Padang Terap, Baling, Permatang Pauh, dan Pokok Sena.

PAS dan PN telah membuka tapak dan pengaruhnya di kerusi lebih 70 peratus majoriti Melayu melangkaui wilayah Pantai Timur pada PRU15.

Kedua, penguasaan pemimpin PAS di wilayah Pantai Timur dan Utara Semenanjung telah memperkukuh pengaruh PAS.

Populariti figura seperti Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu memainkan peranan utama dalam menarik pengundi Melayu atas pagar mendekati PN.

Kepimpinan yang ditonjolkan oleh kedua-dua pemimpin PAS yang mesra rakyat dan berkebolehan dalam menerajui negeri, memudahkan PAS menyantuni pengundi dengan cara yang lebih santai.

Berbeza dengan kepemimpinan PH dan BN yang tidak mempunyai figura menonjol bagi memberi persaingan kepada kedua-dua pemimpin ini di wilayah Pantai Timur dan Utara.

Pendirian Sanusi dan Samsuri yang tidak menjadi calon Parlimen, sebaliknya sebagai pengarah pilihan raya dan membantu jentera parti, telah memberi kelebihan buat PAS memfokuskan sumber yang ada memenangkan calon di kawasan-kawasan strategik.

Populariti figura seperti Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu (gambar) memainkan peranan utama dalam menarik pengundi Melayu atas pagar mendekati PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

Ketiga, PAS hampir mendominasi kempen media sosial. Penguasaan media sosial PAS telah dikesan dari awal apabila terdapat trend ustaz-ustaz menyampaikan tazkirah di platform atas talian seperti Youtube dan Facebook live.

Meskipun mesej disampaikan tidak menjurus menyokong parti politik secara langsung, ia telah membantu rakyat terbanyak memahami konteks yang lebih luas berkenaan nilai-nilai yang hampir dekat dengan PAS, khasnya soal memilih pemimpin dan kerajaan serta isu-isu politik yang lain.

Petunjuk-petunjuk ini memberi asas bahawa perang saraf Gelombang Hijau ini semakin relevan dalam politik negara dan ia semakin membesar tanpa kita sedari.

PAS mampu menumbangkan kerusi asas PH di Selangor sejak 2008 seperti Kuala Langat, Kapar, dan Hulu Langat. Apakah PAS dan PN mampu menggempur kubu kuat PH dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi?

Kemenangan di Parlimen Mersing memberi peluang kepada PN menambah kekuatannya di kerusi Pantai Timur Johor seperti Kota Tinggi dan Tenggara yang merupakan kubu kuat BN dalam tempoh jangka panjang.

Dari sudut yang berbeza, Gelombang Hijau turut memberi kesan mendalam kepada politik tanah air. Agenda dan bahan kempen yang mengetengahkan sentimen kaum dan agama telah mewujudkan kebimbangan utama rakyat selepas keputusan PRU15 diumumkan.

Situasi ini telah melebarkan jurang kesefahaman antara wilayah, bandar atau luar bandar, yang mempunyai jumlah demografi pengundi Melayu yang berbeza.

Jika tidak diuruskan dengan baik, beberapa isu sensitif yang dibangkitkan akan meretakkan kesejahteraan negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Penguasaan media sosial PAS telah dikesan dari awal apabila terdapat trend ustaz-ustaz menyampaikan tazkirah di platform atas talian seperti Youtube dan Facebook live. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

Apa seterusnya?

Gelombang Hijau ini akan terus kukuh selagi tiada gabungan parti politik mampu mencabar dominasi PN, khususnya menjelang enam PRN tidak lama lagi.

Walau apa pun, fenomena ini perlu diuruskan dengan cermat oleh kerajaan baharu pimpinan Anwar Ibrahim.

Pelaburan kepada infrastruktur asas dan ekonomi di wilayah Pantai Timur dan Utara akan menyumbang persekitaran baharu rakyat di kedua-dua wilayah yang selama ini bergelut dengan peluang ekonomi terhad dan pendapatan rendah.

Pendekatan ini sesuai dalam mencari keseimbangan antara ekonomi dan politik agar tidak berlaku jurang begitu besar antara wilayah atau kaum. Dari sudut politik, gabungan parti politik seperti BN perlu bangkit dalam menyusun semula jentera parti di wilayah Pantai Timur dan Utara.

Penyusunan semula BN akan menjadi penentu kepada keseimbangan dominasi politik PAS dalam politik Melayu.

Bolehkah pentadbiran Anwar Ibrahim mengimbangi Gelombang Hijau dengan pelaksanaan dasar yang adil bagi mengekang politik kaum dan agama? – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2022.

Pasca PRU15, PH sepatutnya keluar dari “zon selesa” dan bergerak serius membangunkan jenamanya di Pantai Timur dan Utara negara. Pemimpin baharu perlu dilatih dan pelaburan kepada kerja-kerja parti dalam mendekatkan PH dengan kawasan majoriti Melayu.

PH tidak boleh dilihat menguasai kerusi-kerusi Pantai Barat Malaysia sahaja. Untuk masa hadapan, dengan penambahan undi yang agak signifikan untuk tempoh lima tahun, khasnya pengundi Melayu, Gelombang Hijau akan mengundang risiko kepada kubu kuat PH di Selangor mahupun Pulau Pinang.

Soalnya, apakah kerajaan Anwar Ibrahim dapat mengimbangi fenomena Gelombang Hijau dengan tindakan dasar yang adil?

Atau kita akan menyaksikan Gelombang Hijau menguasai naratif di dalam dan luar Parlimen demi memenuhi naratif kaum dan agama dalam tempoh lima tahun lagi?  – 27 November, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen