Pasca PRU15: Dialog Islam “Kasih dan Kemanusiaan” elak sentimen kaum dan agama


Mohd Syazreen Abdullah

ANWAR Ibrahim baharu dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia kesepuluh. Selain menghadapi cabaran menguruskan ekonomi dan sara hidup rakyat yang gentir, beliau juga berdepan cabaran menyelesaikan masalah sentimen perkauman atas nama bangsa dan agama.

Masalah ini semakin menjadi-jadi dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Saya yakin beliau sebagai Perdana Menteri mempunyai ramuan terbaik dalam usaha memelihara keharmonian dan keselamatan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama di Malaysia.

Suatu ketika dahulu, pasca PRU 14, di bawah Menteri Agama Mujahid Yusof, Islam
Rahmatanlil alamin sebagai agenda utama dalam usaha menzahirkan Islam Rahmah kepada semua bangsa, kaum dan agama sekali gus usaha membasmi pemikiran agama jalur keras.

Namun melihat perkembangan mutakhir ini, Anwar harus lebih kritikal dalam usaha melunakkan ketegangan sentimen perkauman dan agama dilihat semakin bernanah jika tidak dicantas awal.

Lihatlah baru-baru ini semasa kempen PRU15 menunjukkan permainan sentimen perkauman dan agama oleh pihak tidak bertanggungjawab begitu membimbangkan untuk masa depan kehidupan jamak budaya dan agama di Malaysia.

Masalah perkauman dan agama bukan isu baharu sering dijadikan alat politik tetapi ia semakin membarah dan bahaya kepada keharmonian jika tidak dibendung. Lebih membimbangkan budaya ektremisme jelas terpampang.

Fenomena kebangkitan semangat rasisme dalam kalangan anak-anak muda Islam di Malaysia merisaukan. Anak-anak muda semakin liar dan berani menunjukkan slogan kebangkitan agama melalui seruan keganasan di media sosial seperti TikTok.

Dakyah ini mempengaruhi pemikiran dan sikap generasi muda. Mereka bakal memimpin negara di masa akan datang. Bayangkan betapa dahsyatnya pengaruh dan doktrinisasi kekerasan ini sehingga menimbulkan seruan kebencian antara kaum. Telah menyebar seruan anti Cina, membangkitkan provokasi peristiwa 13 Mei, bersampingan laungan berjihad konon menentang kafir demi mempertahankan Islam.

Iya, yang melakukan perbuatan samseng itu adalah datang dari suara anak muda Islam. Yang mengajar seruan perpecahan kaum ini datang dari suara anak muda Islam yang memakai kemas lilitan serban dan berjubah. Mereka lantang menyebarkan keganasan atas nama agama Islam.

Fenomena ini mesti ditentang. Bayangkan sikap ini boleh mempengaruhi pemikiran anak-anak kecil kita di sekolah dan di rumah yang sedang bermain tiktok tanpa sedar sedang menanam benih ektremisme agama.

Lebih bimbang, menghalalkan tindakan kekerasan itu kononnya daripada ajaran agama Islam. Walhal ini bukan ajaran Islam. Agama tidak mengajar begitu.

Gejala ini tidak lahir melainkan terbit daripada doktrinisasi agamawan rasisme. Sedangkan al-Quran mengajarkan dalam surah al-hujurat untuk agama ini berdialog berkasih sayang, bukannya menyebar kebencian.

Pesan Tuhan kepada kita semua untuk saling mengenali dalam kepelbagaian bangsa dan bahasa. Bukan menjauhkan kepelbagaian.

Wahai manusia! sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai negara majmuk berbilang bangsa dan agama, Segala fahaman berbaur rasisme tidak kira lah dari blok parti apa-apa pun mesti dihapuskan oleh mana-mana pemimpin dan kerajaan.

Justeru, hegemoni konservatisme yang membangkitkan seruan keganasan ini boleh mengundang kestabilan kaum di negara dan peradaban jika tidak diambil enteng.

Jangan mudah termakan dengan ajaran songsang ini. Ini bukan ajaran diajar nabi kita Muhammad SAW. Islam agama kemanusiaan yang menentang sebarang kekerasan berbau rasisme.

Kasih dan kemanusiaan

Siapa pun yang memimpin atau menjadi kerajaan, harus menekankan dan mengutamakan agenda menyebarkan Islam berpaksikan semangat belas kasih dan kemanusiaan sejagat. 

Bina kefahaman “dialog baru” dalam hubungan budaya, bangsa dan agama di Malaysia. Bina jambatan paradigma Islam muhibbah dan kemanusiaan. Bina semula pengertian kebersamaan dan nilai-nilai harmoni sebagaimana diajarkan dalam al-Quran.

Apakah kita mahu negara kita terus bergolak dengan kebangkitan budaya samseng ektremisme sehingga memecah belahkan keharmonian bangsa dan agama?

Tanyalah iman masing-masing wahai saudaraku.

Islam agama menitiberatkan komunikasi yang baik; dakwah harmoni tanpa ada sebarang bentuk kekerasan dan paksaan d mana interaksi bukan menghasilkan perkara yang mundur malah sebaliknya menatijahkan kepada kebaikan.

Justeru, Islam menganjurkan dialog atau disebut al-ḥiwār dalam menyebarkan kebaikan, kasih sayang dan kemanusiaan.

Sudah tentu proses tersebut mestilah melalui adab dan tidak melanggari etika dalam al-Quran. Ciri-ciri dialog atau
al-ḥiwār yang baik boleh dipelajari daripada al-Quran dan hadis Imam Muhammad Abduh, salah seorang pemikir Islam pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 tidak pernah berhenti berikhtiar untuk mereformasi pemikiran keagamaan melawan penyakit ektremisme.

Beliau menganjurkan dialog dalam menghadapi pemikiran ekstremis berbau rasisme dan kaum ortodoks yang kaku. Abduh berjaya mereformasikan dialog atau al-ḥiwār dalam kefahaman baharu (tajd al-fahm) sebagai metodologi pembaharuan dalam kerangka fikir islah - al-ḥiwār. 

Barangkali berlakunya kemunduran pemikiran Islam dalam Masyarakat Muslim adalah berpunca daripada kesalahfahaman memahami dialog atau al-ḥiwār sekali gus tidak berpaksikan nilai-nilai wawasan al-Quran.

Dialog terbatal seadainya yang dianjurkan kepada masyarakat itu pemikiran yang berbaur rasisme, penindasan dan anti kemanusiaan.

Dialog merupakan titik moral di tengah ruang sosial. Pemikir Islam, Fazlur Rahman (1997) Kemanfaatan Islam dapat ditunjukkan dengan upaya yang serius untuk membangun tatanan sosial berlandaskan etika di muka bumi. Fazlur Rahman cuba mengaitkan hubungan antara nilai etika dan sosial terhasil daripada hubungan dialog antara alam dan pencipta – Islam kasih dan kemanusiaan sebagai nilai etika dalam budaya dan agama.

Dialog mencorakkan sosial. Bergantung bagaimana kita mencorakkannya. Seperti Abduh berikhtiar melawan fahaman ektremisme dengan membangkitkan kesedaran kemanusiaan, begitu juga Fazlur Rahman membangunkan pesan moral dengan menzahirkan nilai-nilai kemanusiaan sejajar dengan seruan al-Quran.

Justeru, kedua-dua pemikir Islam tetrsebut konsisten bersepakat “mendialogkan” nilai-nilai kemanusiaan dan kasih ke dalam ruang awam sekali gus agenda dalam membangunkan pesan-pesan moral al-Quran.

Sudah tentu “mendialogkan al-Quran” bermakna membuang segala bentuk wawasan yang tidak selari dengan ajaran Islam. Islam membuang sikap perkauman, anti kemanusiaan, dan segala bentuk keganasan ekstremis atas nama agama. Iya sikap itu semua bertentangan dengan semangat islah dan wawasan al-Quran.

Justeru, sebagai umat Islam di Malaysia, kita harus bermuhasabah mengenai dialog agama yang kita semai  selama ini mendorong sikap kemanusiaan atau ekstremis?

Kita harus bermula dari sekarang untuk melakukan pembaharuan ke atas makna statik iaitu “rethinking” permaknaan dialog yang selama ini tidak disulam dengan kemanusiaan.

Islam harus dimakna dengan kefahaman wahyu dalam kerangka semangat universal dialog (Kuntowijoyo (1994). Begitu tauhid harus diterjemahkan dengan agama yang mementingkan kemanusiaan sebagai tujuan utama.

Paradigma Islam kemanusiaan disebut “humanisme teosentrik” harus dihayati dalam masyarakat dan budaya. Bukan secara autoritarian dan kekerasan.

Mengapakah saya sebutkan Islam dialog baru menekankan semangat muhibbah dan kemanusiaan penting selepas pasca PRU 15?

Hal ini kerana setiap butir percakapan dan tindakan kita akan
mempengaruhi pembentukan budaya, pemikiran, masyarakat dan kehidupan.

Malaysia akan musnah andai kita memilih untuk berpaut dengan benih keganasan dan rasisme dalam kehidupan.

Pemikiran Islam di Malaysia akan terus mundur dan kontang nilai-nilai kemanusiaan sejagat dalam kehidupan beragama.

Malaysia harus mengamalkan Islam yang inklusif, muhibbah dan kemanusiaan.

Malaysia di pasca PRU 15 mahu menjadi lebih baik.

Di hari-hari mendatang kita harus hidup meratibkan dialog kemanusiaan dan saling kasih mengasihi sesama manusia tidak kira kaum, bangsa dan agama! – 25 November, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen