PRU15: Memetakan 'tsunami hijau' PAS


Ruhan Shahrir

PRU15 menyaksikan pencapaian bersejarah dan yang terbesar buat PAS yang dipimpin oleh Abdul Hadi Awang dalam perjalanan politiknya menyertai pilihan raya umum Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

TIRAI sudah pun dilabuhkan. Keputusan telah pun diketahui. Proses demokrasi menerusi peti undi berakhir sudah.

Sebahagian besar daripada pengundi Melayu sudah menzahirkan keterpendaman Melayu mereka. Apa yang terpendam telah pun dijelmakan di peti undi.

Daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru berlalu, jelas menunjukkan Pakatan Harapan (PH) masih lagi gagal untuk merebut sokongan daripada majoriti pengundi Melayu.

Sebaliknya majoriti pengundi Melayu mengalihkan sokongan mereka daripada Umno/Barisan Nasional (BN) kepada suatu gabungan alternatif baru yang juga berteraskan Melayu-Islam, yakni Perikatan Nasional (PN), yang diterajui oleh PAS dan Bersatu.

Sebanyak 73 kerusi Parlimen berjaya direbut oleh PN berbanding hanya 30 kerusi sahaja yang diraih oleh Umno?BN.

Daripada 73 kerusi tersebut, PAS mendominasi dengan 43 kerusi, manakala Bersatu memperolehi 30 kerusi. Sementara Gerakan yang juga sebahagian daripada PN, gagal mendapat sebarang kerusi. 

Justeru, PN walaupun menggabungkan dua parti teras Melayu tapi yang akan menjadi jurupandunya adalah PAS yang memegang kerusi terbanyak. 

Kalau dibandingkan pula pencapaian PAS di PRU14 dan PRU15, kita akan mendapati kerusi PAS bertambah dengan drastik sekali.

Daripada hanya 18 kerusi pada PRU14 sebelum ini, PAS kini memiliki 43 kerusi, yang terbanyak oleh satu-satu parti di Parlimen pada PRU15 kali ini. 

PAS bukan hanya memiliki kerusi terbanyak di Parlimen Malaysia, tapi juga menguasai empat negeri – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di tiga negeri – Perlis, Kelantan dan Terengganu – PAS sebagai teraju utama PN menyapu bersih tanpa sisa semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan. 

Di Kedah pula hanya satu kerusi Parlimen sahaja yang ditinggalkan kepada PH.

Selebihnya dibolot oleh PAS/PN. Dan di keempat-empat negeri yang dikuasai oleh PN itu, semua menteri besarnya pula adalah daripada PAS.

Ini sesungguhnya merupakan suatu pencapaian bersejarah dan yang terbesar buat PAS dalam perjalanan politiknya menyertai pilihan raya umum Malaysia.

Pencapaian tertinggi PAS sebelum ini hanyalah 27 kerusi Parlimen. Itu pun ketika PAS bersama Barisan Alternatif pada PRU10 tahun 1999 yang berlatar belakangkan Reformasi 1998. 

Justeru, kebangkitan PAS pada PRU15 kali ini melonjak tinggi daripada apa yang pernah dikecapinya sebelum ini.

Tidak berlebihan untuk kita katakan fenomena yang paling ketara di dalam keputusan PRU15 yang baru lalu, adalah fenomena “tsunami hijau”. 

Kenapa dan bagaimana ia boleh berlaku? Ini tentunya memerlukan suatu analisis untuk memahaminya.

Namun untuk tulisan pada kali ini, saya akan memetakan terlebih dahulu secara ringkas, sejauh mana pengaruh dan jangkauan “tsunami hijau” tersebut, supaya analisis kita di tulisan saya yang selanjutnya akan lebih terfokus dan tidak terperangkap di dalam pernyataan pukul rata.

Untuk tidak memukul rata, maka perlulah diperhalusi setakat mana “tsunami hijau” ini melanda dan apakah batas sempadannya.

Hasil kutipan maklumat, kita masih dapat mengesan terdapat negeri-negeri yang tidak dilanda “tsunami hijau”.

Ada negeri yang dilanda tapi tidak cukup dahsyat untuk memberi kesan kepada tatanan kuasa politik sedia ada. Ada pula negeri yang hanya terkena tempiasnya sahaja.

Negeri Sembilan yang mempunyai 8 kerusi Parlimen dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 11 kerusi tidak tertembus oleh “tsunami hijau”.

Di kedua-dua kawasan ini, PAS/PN gagal untuk memenangi sebarang kerusi. Ini sesuatu yang menarik untuk diteroka. 

Kenapa di kedua-dua kawasan ini “tsunami hijau” tidak berlaku?

Adakah kerana komposisi demografinya yang lebih majmuk, atau kerana proses pembandarannya yang pesat, atau kerana ia terletak berdekatan dengan pusat kota Kuala Lumpur yang lebih aktif kegiatan dan wacana politiknya?

Atau kerana tahap literasi politik pengundi-pengundinya, atau kerana dinamika politik tempatan yang khas, atau sebab-sebab lain – ini semua membuka ruang untuk kajian yang lebih rinci.

Manakala di Sabah, Sarawak dan Johor, PAS/PN hanya mampu meraih 4 kerusi Parlimen sahaja (1 di Sabah, 1 di Sarawak dan 2 di Johor) daripada 82 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di tiga negeri tersebut.

PAS bukan hanya memiliki kerusi terbanyak di Parlimen Malaysia, tapi juga menguasai empat negeri – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

Justeru, di Sabah, Sarawak dan Johor, hanya tempias daripada “tsunami hijau” sahaja yang dirasai. 

Ini tidak susah untuk difahami kerana ketiga-tiga negeri itu bukanlah kawasan tradisi kekuatan PAS yang menjadi komponen utama di dalam PN.

Justeru, “tsunami hijau” di kawasan-kawasan tersebut hanya bersifat tempias semata-mata, dan kemungkinannya lebih dibantu oleh dinamika politik tempatan daripada dipengaruhi oleh faktor PAS.

Kendatipun begitu, di Melaka, Perak dan Pahang, “tsunami hijau” lebih kuat kesannya apabila PN yang diterajui oleh PAS berjaya menembusi ketiga-tiga negeri tersebut dengan jumlah kerusi Parlimen yang relatifnya besar. 

Daripada 6 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Melaka, PAS/PN berjaya merebut separuh daripadanya (3 kerusi).

Separuh lagi kerusi dimenangi oleh PH. Tidak ada satu kerusi Parlimen pun yang ditinggalkan untuk Umno/BN.

Keputusan di Melaka ini secara umumnya menunjukkan terdapat peralihan sokongan pengundi Melayu daripada Umno/BN kepada PAS/PN.

Tapi apa yang lebih menarik ialah, walaupun Melaka adalah antara negeri yang pesat mengalami proses pembandaran seperti mana Negeri Sembilan, namun tetap sahaja “tsunami hijau” berjaya menembusi negeri itu. 

Ini tentunya memerlukan analisis yang lebih rinci – kenapa Negeri Sembilan tidak tertembus tetapi Melaka berjaya ditembusi oleh “tsunami hijau” walaupun kedua-dua negeri itu memiliki ciri kemajmukan dan proses pembandaran yang kurang lebihnya sama.

Di Perak pula, daripada 24 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, hampir separuh daripadanya dimenangi oleh PAS/PN (10 kerusi), manakala BN hanya menang tiga kerusi sahaja.

Seperti mana di Melaka, keputusan kerusi Parlimen di negeri Perak juga menunjukkan pola yang sama, yakni sebahagian besar daripada pengundi Melayu telah mengalihkan sokongan mereka daripada BN kepada PAS/PN. 

Faktor dinamika politik tempatan, misalnya apabila ada “gedebe/warlord” yang tersingkir daripada menjadi calon Parlimen di Perak pada PRU15 yang lepas, pada hemat saya turut mempengaruhi peralihan sokongan pengundi Melayu tersebut. 

Kerusi Parlimen yang selebihnya (11 kerusi) dimenangi oleh PH, sebahagian besarnya daripada kawasan pemilihan yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang relatifnya tinggi.

Manakala di Pahang, PAS/PN menghadapi saingan yang agak sengit daripada BN.

Meskipun begitu, PAS/PN tetap berjaya membolot jumlah kerusi Parlimen terbanyak (7 kerusi) daripada 14 yang dipertandingkan.

Kerusi selebihnya dimenangi oleh Umno/BN (5 kerusi) dan PH (2 kerusi). 

Di Pahang kelihatannya sebahagian daripada pengundi Melayu masih memberikan kepercayaan mereka kepada Umno/BN walaupun jumlahnya menurun.

Manakala pola sokongan kemenangan kepada PH, lebih tertumpu di kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan.

Di dua negeri yang menjadi kubu kuat PH, Pulau Pinang dan Selangor, yang juga merupakan dua negeri yang mengalami proses pembandaran yang paling pesat di Malaysia dengan demografi kemajmukan masyarakatnya yang lebih tinggi, Umno/BN gagal memperolehi sebarang kerusi Parlimen. 

Sebaliknya, gabungan alternatif yang menjadi saingannya, PAS/PN berjaya merebut 3 kerusi daripada 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Pulau Pinang.

Manakala di Selangor pula PAS/PN berjaya meraih 6 kerusi Parlimen di Selangor daripada 22 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tembusnya PAS/PN di dua kubu kuat PH dengan mengorbankan Umno/BN tanpa satu kerusi pun di kedua-dua negeri ini, menunjukkan terdapat sejumlah perubahan sokongan daripada pengundi Melayu khususnya yang memilih PAS/PN berbanding Umno/BN di kawasan tersebut. 

Apa yang menyebabkan perubahan sokongan itu mungkin perlu dilihat dari sudut dinamika politik tempatan khususnya peranan “gedebe/warlord” tempatan yang tidak dicalonkan pada PRU15 kali ini, pencarian “penaung/pelindung” baru, serta kecenderungan pengundi muda tempatan.

Akan tetapi, memandangkan demografi pengundi yang lebih rencam dan majmuk di Pulau Pinang serta Selangor, makanya keadaan ini membolehkan PH menguasai sebahagian besar kerusi Parlimen di kedua-dua negeri tersebut.

PH menang 10 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan 16 kerusi Parlimen di Selangor.

Demografi pengundi

Meskipun begitu, di negeri yang jumlah pengundi Melayunya lebih dominan, kedudukan kerusi Parlimen PH hampir ranap, manakala kedudukan kerusi Parlimen Umno/BN pula ranap total.

PAS/PN menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Kalau sebelum ini di PRU14, Terengganu mempunyai 2 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Umno/BN, pada PRU15 PAS/PN berjaya mengaut kelapan-lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan. 

Di Kelantan pula kalau pada PRU14, Umno/BN berjaya memenangi 5 kerusi Parlimen tapi pada PRU15 kali ini, kesemua kerusi Parlimen di Kelantan (14 kerusi) disapu bersih oleh PAS/PN.

Di Perlis juga PAS/PN turut menyapu bersih ketiga-tiga kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Pada PRU14 yang sebelumnya, Umno/BN dan PH masing-masing memenangi 2 dan 1 kerusi Parlimen dengan PAS gagal meraih sebarang kerusi. 

Namun, pada PRU15 kali ini, menerusi gabungan PN, PAS berjaya meruntuhkan penguasaan Umno di negeri yang menjadi kubu kuat mereka. Malahan di tingkat negeri, buat pertama kalinya dalam sejarah, Perlis mendapat menteri besar daripada PAS.

Dalam konteks politik negeri Perlis, saya berpandangan faktor “gedebe/warlord” tempatan yang tidak dicalonkan perlu diambil kira di dalam menganalisis kemenangan PAS/PN di negeri tersebut. 

Politik tempatan Perlis pada PRU15 kali ini menyaksikan pemberontakan terbuka yang dilakukan oleh “gedebe” politik Perlis yang berpengaruh, Shahidan Kassim apabila beliau memilih untuk bertanding bawah bendera PAS/PN.

Manakala di Kedah pula semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan kecuali satu, dibolot oleh PAS/PN tanpa meninggalkan sisanya kepada Umno/BN.

Kalau pada PRU14 yang lepas, PAS hanya memenangi tiga kerusi sahaja, tetapi menerusi PN, ia berjaya merebut 13 kerusi, meningkat 10 kerusi pada PRU15 kali ini. Sisa satu kerusi lagi Parlimen ditinggalkan pada PH di Sungai Petani. 

Demografi pengundi yang lebih rencam dan majmuk di Pulau Pinang serta Selangor, makanya keadaan ini membolehkan PH menguasai sebahagian besar kerusi Parlimen di kedua-dua negeri tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

Daripada 10 kerusi yang dimenangi oleh PH pada PRU14, kini di PRU15 yang tinggal ditangannya hanya satu kerusi sahaja.

Jika PH menang sekalipun di Parlimen Padang Serai yang ditunda hari pengundiannya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke suatu tarikh yang lain, tetap sahaja dominasi PAS/PN di Kedah tidak ternafikan.

Justeru, daripada pemetaan data kemenangan kerusi pada PRU15 yang lepas, jelas menunjukkan “tsunami hijau” yang diterajui oleh PAS berjaya menguasai hampir semua kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. 

“Tsunami hijau” dalam konteks ini ombaknya melanda kuat dan hampir tak tercabar di lingkungan negeri-negeri yang demografi pengundi Melayunya dominan.

Di negeri yang demografi pengundinya lebih majmuk seperti di Melaka, Perak dan Pahang, “tsunami hijau” terpaksa berhadapan dengan pesaing-pesaing utamanya daripada BN dan PH. Justeru, keputusannya juga lebih rencam. 

Di Perak dan Melaka yang kemajmukannya lebih tinggi, PAS/PN menerima saingan sengit daripada PH.

Manakala di negeri Pahang yang lebih dominan Melayu, saingan sengit untuk PAS/PN datangnya daripada Umno/BN.

Manakala di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat PH, Pulau Pinang dan Selangor, yang juga demografi pengundinya lebih ketara majmuk, PAS/PN berjaya menembusi di beberapa kawasan namun tidak sampai menggugat penguasaan majoriti kerusi Parlimen oleh PH di negeri-negeri tersebut.

Di negeri Johor pula yang merupakan kubu kuat Umno/BN, PAS/PN masih belum mampu memberikan saingan yang sengit.

Dengan hanya memenangi dua daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, “tsunami hijau” nampaknya belum cukup ampuh untuk meruntuhkan kubu kuat Umno/BN di Johor. 

Di negeri kelahiran Umno itu, saingan sengitnya lebih tertumpu antara PH dan Umno/BN.

Malahan di Johor majoriti daripada kerusi Parlimen dimenangi oleh PH (15 kerusi) dan Umno/BN di tempat kedua dengan 9 kerusi. Ini sekali lagi mungkin disebabkan oleh faktor demografi Johor yang lebih majmuk.

Manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak, “tsunami hijau” seperti tidak kelihatan.

Kawasan Parlimen yang berada di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, tidak mencatat sebarang kemenangan buat PAS/PN. 

Walaupun di Sabah serta Sarawak PAS/PN masing-masing mencatat satu kemenangan kerusi Parlimen, tapi saya percaya ia bukanlah disebabkan “tsunami hijau” tapi lebih kepada dinamika politik tempatan di kawasan-kawasan tersebut.

Justeru, fenomena “tsunami hijau” yang diperkatakan oleh ramai orang itu, adalah tsunami yang terbatas.

Ia tidak melanda semua negeri. Tidak semua negeri menerima kesan yang sama. Ada yang terkesan, ada yang tertempias, malahan ada pula yang langsung tak terkena. Manakala polanya pula tidak sekata. 

Ia melanda dalam bentuk yang rencam serta terpencar bergantung kepada tenaga-tenaga sosio-politik yang mempengaruhinya di kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PAS/PN.

Persoalan yang selanjutnya yang lebih mustahak ialah kenapa dan bagaimana “tsunami hijau” ini boleh berlaku dan apakah ia akan menjadi tren yang berterusan atau hanya suatu fasa di dalam perjalanan politik Malaysia? – 24 November, 2022. 

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen